Jawapan atau jawaban?

30 March 2009

Memang telah menjadi suatu kelaziman bagi masyarakat kita, apabila berlaku sesuatu perubahan, kita akan mengambil masa yang lama untuk menerimanya. Untuk pengetahuan saudara, Kamus Dewan Edisi Keempat (hlm.615) telah mencatatkan seperti hal yang demikian:

jawaban, jawapan 1. jawab, balas (an)2. sesuatu yang dituliskan sebagai penyelesaian atau keputusan terhadap sesuatu soalan atau masalah (terutamanya dalam ujian bertulis).

Oleh itu, kedua-dua patah perkataan itu betul dan diterima pakai. Namun begitu, dari segi morfologinya, yang lebih tepat ialah jawaban. Perkataan ini berasal daripada perkataan jawab. "Jawab", apabila dibubuh imbuhan -an, maka yang terhasil tentulah "jawaban". Bentuk "jawapan" telah lama digunakan dalam masyarakat, dan oleh sebab itulah, untuk tidak mahu menimbulkan kesulitan kepada pengguna bahasa, kedua-dua bentuk diterima, walaupun bentuk "jawaban" yang seharusnya digunakan.

Sumber: Blog Azhar Salleh (Munsyi Dewan)http://witra.blogspot.com/2009/03/tatabahasa-mengikut-atau-mengikuti.html>

Latihan 25&26 Mac: Karangan

24 March 2009

Soalan karangan:
i. Tulislah dua karangan berdasarkan soalan yang disenaraikan di bawah.
ii. Soalan 1 ada kaitan dengan bahan-bahan yang dikumpulkan oleh kumpulan 6.
iii. Soalan 2 pula ada kaitan dengan bahan-bahan yang dikumpulkan oleh kumpulan 1.
iv. Berdasarkan bahan-bahan yang diperolehi, berbincanglah dengan rakan-rakan untuk memantapkan karangan tersebut.


1. Kad kredit digunakan dengan meluas dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku dan masalah yang timbul akibat penggunaannya.

2. Kementerian Kesihatan telah berusaha untuk menangani penyakit demam denggi dan chikungunya, namun penyakit berbahaya ini terus berlaku dan membimbangkan masyarakat. Pada pendapat anda, mengapakah penyakit ini sukar untuk ditangani?

Jawab dalam kertas jawapan SMKD sahaja.
Hantar pada 29 Mac 2009.

"Bahasa Malaysia" atau "Bahasa Melayu"

18 March 2009

Terdapat dua artikel berkaitan tajuk ini.

Artikel 1

Klik imej untuk paparan yang lebih jelas.

Artikel 2
Klik imej untuk paparan yang lebih jelas.

Latihan Cuti: Latihan Analisis Kesalahan Bahasa

16 March 2009

Maaf kerana cikgu terlewat memasukkan latihan cuti. Berikut terdapat 4 latihan analisis kesalahan bahasa untuk dijawab.

Latihan 1


Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]

Kerajaan kita sentiasa berusaha untuk membantu rakyat yang miskin di negara ini. Di antara usaha yang dilaksanakan ialah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di luar bandar. Melalui langkah tersebut dapat menjamin penduduk memperolehi pendapatan. Bila ada pendapatan, mereka dapat menumpukan dengan lebih banyak lagi perhatian kepada usaha menjaga kesihatan diri dan keluarga. Walaubagaimanapun, usaha ini mestilah mendapat sambutan dari golongan yang miskin itu sendiri. Berjaya atau gagalnya usaha tersebut amat bergantung kepada kerjasama yang mereka berikan. Tegasnya, kejayaan usaha tersebut tidak hanya bergantung kepada kerajaan sahaja.

Latihan 2

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]


Dalam isu Maybank, ia menegaskan bahawa pemilihan firma guaman terus dibuat berasaskan merit dan kenyataan itu seharusnya membantu melenyapkan sebarang kontroversi berpanjangan. Kita sedar ada pihak juga mahu kerajaan mempertahankan tindakan Maybank mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan Bumiputera dalam firma guaman yang mahu menjadi panel bank terbabit, dengan alasan ia selari dengan dasar kerajaan untuk mengagihkan secara adil kekayaan negara, khususnya kepada kaum Bumiputera yang masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding kaum lain. Kita harus menerima hakikat mengenai semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih wujud dan diperlukan selagi kemiskinan antara kaum belum seimbang.

Latihan 3

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]

Cadangan untuk mengharamkan iklan makanan segera merupakan tindakan yang drastik, namun kami kurang pasti sama ada ia berkesan atau tidak. Ini kerana, mengharamkan iklan tidak akan memberhentikan pengguna daripada mengambil makanan segera, sebab makanan segera telah lama bertapak di Malaysia dan menjadi sebahagian makanan harian. Bagi saya, jalan penyelesaiannya ialah melalui pendidikan. Kita perlu beritahu kepada pengguna apa sebenarnya makanan segera dan kandungan yang terdapat dalam makanan segera iaitu komposisi nutrient. Setelah pengguna mendapat semua maklumat yang penting mengenai makanan segera, terpulanglah kepada pengguna untuk membuat pilihan yang bijak. Kita tidak perlu mengharamkan iklan kerana ia bukan tindakan yang baik. Contohnya iklan rokok dan arak telah diharamkan tetapi masih ramai yang menghisap rokok walaupun sudah tahu keburukannya.

Latihan 4

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
[15 markah ]

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin sangat dengan kenaikan mendadak harga cili merah yang dijual disekitar pasar Pulau Pinang. Tinjauan CAP ke pasar yang dilakukan pada 9 Mei lalu menunjukkan harga cili merah tempatan meningkat dari RM7 kepada RM15 sekilogram. Peningkatan ini adalah lebih daripada 100 peratus sejak seminggu lalu dan telah menyebabkan kekurangan yang besar di pasaran. Pemborong mempersalahkan penuaian hasil cili merah yang rendah di kawasan terbabit menyebabkan harganya meningkat 100 peratus. Aduan biasa yang diterima dari surirumah ialah harga tiga biji cili adalah kira-kira RM1.50 yang lebih mahal berbanding nasi lemak. CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyiasat bekalan dan harga cili. Bekalan cili perlu ditingkat dan mengurangkan harganya.

Analisis Kertas 2 BM STPM 2008

Sumber: Blog Cikgu Mohd Khir Kassim

Analisis Soalan Kertas 2 Bahasa Malaysia STPM 2008

Calon-calon STPM tahun ini bolehlah meneliti analisis soalan tahun 2008, seperti yang dipaparkan. Teliti trend soalan tahun lepas untuk membuat jangkaan soalan pada tahun ini.

Bahagian A : Karangan

1. Telefon bimbit kini semakin digemari oleh masyarakat tanpa mengira golongan. Jelaskan sebab alat ini menjadi piihan ramai dan kesan yang timbul daripada penggunaannya. (Tiada format khusus)

2. Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang telah berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah gejala rasuah perlu dibendung? (Tiada format khusus)

3. Bersempena dengan Kempen Pengguna Bijak yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, anda telah terplih mewakili daerah dalam pertandingan syarahan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri. Tajuk syarahan anda ialah ”Hak-hak Pengguna”. Tulis teks syarahan anda itu. (Format Syarahan)

4. Pada masa ini, kebanyakan rancangan televisyen lebih mementingkan keuntungan kewangan berbanding dengan melaksanakan tanggungjawab sosial. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini? (Tiada format khusus)

Bahagian B : Rumusan

Soalan 5
Malaysia sebagai pusat produk makanan halal dunia – usaha untuk merealisasikannya.

Bahagian C : Alih Bentuk Bahasa

Soalan 6
Undang-undang Pemeliharaan Haiwan
Soalan 7
Prosa klasik – Hikayat Siak

Bahagian D : Kesalahan Bahasa

Soalan 8
Hukum DM, penjodoh bilangan, kata hubung, imbuhan, dan ayat tiada subjek.

Kewajiban atau kewajipan ?

12 March 2009

Persoalan ini ditanya oleh student dalam ruang sembang.
Penjelasan ringkas saya adalah seperti berikut:

i) Ejaan yang betul ialah kewajipan. (sila rujuk Kamus Dewan & Koleksi Lembar Bahasa (2002-2003)


ii) Persoalan ini juga diungkapkan dalam http://www.semestian.net/ghalib.
Berikut adalah penjelasannya:

Jawapan atau Jawaban, Kewajipan atau Kewajiban??
Posted on Tuesday 6 March 2007

Lihatlah jawapan yang diberikan oleh pegawai daripada Bahagian Khidmat Nasihat Bahasa DBP kepada Editor Buku Pearson Malaysia Bhd.

From: sbmbsys@dbp.gov.my

Salam sejahtera ZULKIFLI BIN JAMAASIM,

Soalan: KDE4 cenderung menggunakan bentuk “jawaban” dan “kewajiban” dlm ayat contohnya berbanding bentuk “jawapan” dan “kewajipan”. Apa komen pihak Tuan tentang hal ini.

Jawapan: Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.

Terima kasih diucapkan kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat Bahasa.

Sekian, terima kasih.
.....................................

Mudah-mudahan dapat membantu.

“Gerko” Tiada dalam Kamus Dewan

09 March 2009

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |26 Februari 2009|
Artikel ini juga dipaparkan dalam blog penulis artikel ini di
(http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com)


MENURUT Kamus Dewan, kokurikulum ialah kurikulum yang sebahagian daripada kurikulum asas. Ungkapan kegiatan (aktiviti) kokurikulum pula dijelaskan sebagai kegiatan atau aktiviti, selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian kursus pendidikan pelajar di sekolah.

Pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an, ungkapan baru 'gerak kerja kokurikulum' mula digunakan di maktab perguruan. Akronim ungkapan itu ialah `gerko'. Ada satu lagi akronim digunakan di maktab perguruan, iaitu 'kokum'. Penggunaan akronim ini terbatas di beberapa maktab perguruan saja.

Sejak awal 1980-an, penggunaan perkataan gerko meluas. Perkataan itu tercatat dalam beberapa banyak dokumen bertulis di institut pendidikan guru (IPG). Misalnya, unit gerko, setiausaha gerko, dan sukatan pelajaran gerko.

Carian dengan Google baru-baru ini menunjukkan semua ungkapan ini tersebar di internet. Ungkapan 'unit gerko' mencatat kekerapan tertinggi, iaitu terdapat lebih 4,500 dokumen.

Dokumen terpenting yang menunjukkan luas dan mantapnya penggunaan perkataan gerko ialah sukatan pelajaran gerko. Dokumen kualiti `Pelaksanaan Gerko' dalam pengurusan sistem kualiti IPG pula mengukuhkan lagi penggunaan perkataan itu.

Selain itu, perkataan gerko tersebar luas di kalangan masyarakat melalui bahan bercetak terbitan IPG dan penerbit buku.

Rumusannya, perkataan gerko sudah wujud dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 30 tahun lalu. Penyebaran perkataan itu luas dan kekerapan penggunaannya tinggi.

Perkataan yang sudah lama wujud, luas penyebarannya dan tinggi kekerapan penggunaannya dapatlah dikatakan sudah mantap. Perkataan yang sebegini sepatutnya dapat dikesan dalam Kamus Dewan edisi terkini.

Namun, perkataan ini tidak ada dimasukkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Mengapakah perkara ini berlaku? Dewan Bahasa dan Pustaka mungkin ada jawapannya.

MOHD ISA ABD RAZAK,
Seremban,
Negeri Sembilan.


Soalan Ujian 1

02 March 2009

Soalan Ujian 1.

a) Alih Bentuk Teks
b) Analisis Kesalahan Bahasa
c) Analisis Kesalahan Bahasa


....................................
Jawab semua soalan.

a) Alih Bentuk Teks

Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog kepada bentuk cakap pindah. [ 15 ]

Retti Eliza bersiap-siap di biliknya. Dia akan menemui Hamzan di Medan Mara Kuala Lumpur jam tiga petang. Di dalam kereta abang iparnya nanti, dia tidak akan berpeluang bercakap tentang Sofian dengan kakaknya. Kalau tidak berpeluang bercakap hari ini, dia terpaksa menunggu sampai seminggu lagi kerana sejak berkahwin, kakaknya pulang ke Melaka seminggu sekali.

Apabila dia keluar dari bilik, didapatinya kakaknya sedang membasuh pinggan di dapur. Segera dia ke dapur.

"Kakak, boleh Ti tanya?" katanya.
"Eh, macam ada yang rumit pula!" Kakaknya tersenyum.
"Apa pendapat kakak, saya pun turut putus tunang dengan Sofian?”
“Itu hak Ti, macam kakak gunakan hak kakak juga. Itu saja."
"Tapi tak ada alasan kan?"
"Eh, Ti lulusan tinggi, kakak hanya SPM! Ti buat keputusan ikut pertimbangan sendirilah," balas kakaknya selamba.

Retti Eliza tidak beroleh apa-apa maklumat daripada kakaknya. Kenapakah Sofian ditolak oleh kakaknya dulu? Sekarang kakaknya seperti menyindir dia dengan menyebut soal kelulusan.

Di Kuala Lumpur, Retti meminta abang iparnya berhenti di mana-mana sahaja. Dia akan menaiki teksi ke Pasar Budaya sebelum ke Medan Mara.

( Dipetik dan diubahsuai daripada novel “Takungan Hajat"
Terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1995)

b) Analisis Kesalahan Bahasa

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan. [15]

Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, telah berusaha menjadikan sukan sebagai suatu kegiatan yang bermanafaat demi meningkatkan tahap kesihatan rakyat negara ini. Sukan bukan sahaja menyihatkan badan, malah berupaya untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang terkenal sekali di peringkat antara bangsa. Kerajaan juga turut berusaha untuk menyedarkan tentang kebaikan bersukan dan beriadah melalui media rnassa dan kempen-kempen yang pelbagai agensi kerajaan jalankan.

c) Analisis Kesalahan Bahasa

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan. [15]

Malaysia perlu berusaha menjadikan konsep “masyarakat berfikir” sebagai suatu agenda penting dalam pembangunan bangsa dan pembinaan negara. “Masyarakat berfikir” adalah asas penting bagi mencorakkan perubahan masyarakat maju di abad ke-21. Kemajuan material dan ekonomi yang negara kita miliki sepatutnya merintis perubahan yang lebih dinamis kearah melahirkan “masyarakat berfikir”. “Masyarakat berfikir” ialah masyarakat yang berwibawa, produktif, berfikiran jauh, optimistik pada perubahan, bersifat demokratik, dan dapat membina serta mempertahankan nilai-nilai yang menjamin kesejahteraan anggota masyarakatnya. Masyarakat yang mempunyai tahap berfikir yang rendah merupakan masyarakat yang yang tidak mempunyai daya kekuatan, daya ketahanan psikologi, dan tidak dapat menentukan haluan perubahan untuk membangun, menghadapi cabaran, dan merintis kepada perubahan.