Format Peperiksaan Kertas 910 Bahasa Malaysia

21 May 2009

Format peperiksaan kertas 910 Bahasa Malaysia ini adalah untuk panduan pelajar prauniversiti yang baru memulakan pengajian di Tingkatan 6 Bawah.

Bentuk Peperiksaan
Peperiksaan bagi mata pelajaran ini terbahagi kepada dua kertas, iaitu Kertas 1 (910/1) dan Kertas 2 (910/2).


Kertas 1 (2 jam)
Kertas ini mengandungi 60 soalan aneka pilihan yang merangkumi pemahaman, sejarah dan perkembangan bahasa Melayu, dinamika bahasa Melayu, dan sistem bahasa Melayu.

Kertas 2 (3 jam)

Kertas ini mengandungi empat bahagian, iaitu A, B, C, dan D. Calon dikehendaki menjawab semua bahagian.

Bahagian A: Karangan (50 markah)
Calon dikehendaki menu lis karangan berdasarkan salah satu daripada empat tajuk yang dikemukakan. Panjangnya antara 650 hingga 700 patah perkataan.

Bahagian B: Rumusan (20 markah)
Satu petikan yang panjangnya an tara 450 hingga 500 patah perkataan akan dikemukakan. Calon dikehendaki merumuskannya sehingga menjadi lebih kurang satu pertiga (1/3) daripada jumlah perkataan dalam petikan asal.

Bahagian C: Alih Bentuk Teks (15 markah)
Dua petikan teks yang setiap satu panjangnya antara 120 hingga 150 patah perkataan akan dikemukakan. Calon dikehendaki memilih salah satu teks dan mengalih bentuk teks tersebut mengikut arahan soalan.

Bahagian D: Analisis Kesalahan Bahasa (15 markah)
Rangsangan yang mengandungi kesalahan bahasa akan dikemukakan. Calon dikehendaki mengenal pasti, menjelaskan sebab kesalahan, dan membetulkan kesalahan-kesalahan bahasa.

--------
Sukatan pelajaran dan soalan contoh Kertas 910 Bahasa Malaysia boleh diperoleh di http://www.mpm.edu.my/download.php?FilePoolID=93

SELAMAT HARI GURU

13 May 2009




Beza intelek, ilmuwan

12 May 2009

Sumber: Rencana Kosmo |12 Mei 2009|

Acap kali kita merumuskan individu yang tamat pengajian di universiti ialah seorang intelektual. Benarkah begitu?


ADAKAH semua orang mampu menjadi intelektual? - Gambar hiasan

BERBEZA dengan kaum intelegensia (terpelajar) sebagai 'orang yang berpendidikan', kaum intelektual (cendekiawan) ialah mereka yang berilmu dan memiliki rasa tanggungjawab untuk mencari dan mewujudkan kebenaran agar terbentuknya kehidupan masyarakat yang lebih baik.

Perkataan intelektual berasal daripada bahasa Inggeris iaitu intellectual bererti memiliki atau menunjukkan kekuatan-kekuatan mental dan pemahaman yang baik.

Sedangkan intellect juga diertikan sebagai kekuatan pemikiran yang dengannya kita mengetahui penalaran (dapat memahami buruk baik) dan berfikir di samping menjadi sebagai seseorang yang memiliki potensi.

Secara umumnya pengertian intelektual dapat disimpulkan sebagai 'pemikir-pemikir' yang memiliki kemampuan menganalisis terhadap masalah-masalah tertentu.

Dengan pengertian umum tersebut, apakah semua orang mampu menjadi intelektual? Dalam pemahaman bahasa yang mudah, intelektual sering dikaitkan dengan sarjana dan ilmuwan.

Sarjana dapat diertikan sebagai orang yang lulus dari institusi pengajian tinggi dan jumlahnya terlalu banyak kerana setiap tahun universiti melahirkan graduan sarjana.

Ilmuwan pula ialah orang yang mendalami ilmunya kemudian mengembangkan ilmunya, baik dengan pengamatan mahupun dengan analisisnya sendiri.

Di antara sekian banyak sarjana, beberapa orang sajalah yang kemudian berkembang menjadi ilmuwan. Sebahagian besar terbenam dalam kegiatan rutin dan menjadi tukang-tukang profesional.

Pengertian intelektual

Kaum intelektual bukanlah sarjana yang menunjukkan kelompok atau golongan yang melalui pendidikan tinggi dan memperoleh pelbagai gelaran akademik.

Kaum intelektual juga bukan sekadar ilmuwan yang mendalami dan mengembangkan ilmu dengan penalaran dan penelitian.

Mereka ialah kelompok yang berasa terpanggil untuk membaiki, membimbing dan memahami aspirasi masyarakat dan merumuskannya dalam bahasa yang dapat difahami oleh setiap orang.

Dari situ mereka menawarkan strategi dan alternatif pemecahan masalah.

Walaubagaimanapun, pengertian intelektual ini pelbagai dan tiada kesatuan pendapat mengenainya.

Menurut James Maccregor Burns dalam bukunya Leaderships, intelektual ialah a devotee of ideas, knowledge and values atau seorang yang terlibat secara kritis dengan nilai, tujuan dan cita-cita yang diperjuangkan.

Sementara George A. Theodorson dan Archilles G. Theodorson dalam buku A Modern Dictionary of Sociology mendefinisikan intelektual sebagai anggota masyarakat yang mengabdikan diri kepada pengembangan gagasan asli dan terlibat dalam usaha-usaha intelektual kreatif.

Kaum intelektual merupakan sebuah segmen yang kreatif daripada lapisan intelegensia. Mereka memberikan kepemimpinan intelektual kepada lapisan intelegensia lainnya.

Seorang sosiologis tersohor, Edward Shills yang terkenal dengan kajian-kajiannya tentang dunia intelektual menyatakan bahawa intelektual ialah orang terpilih dalam masyarakat yang sering menggunakan simbol-simbol bersifat umum dan rujukan abstrak tentang manusia, masyarakat, alam dan kosmos.

Lebih lanjut lagi Shills dalam tulisannya The Intellectuals and the powers: Some Perspectives for comparative analysis, menyatakan bahawa kaum intelektual ialah orang yang mencari kebenaran.

Mereka mencari prinsip-prinsip yang terkandung dalam kejadian atau dalam proses penyaluran hubungan antara peribadi (the self) dan hakikat (the essential), baik hubungan yang bercorak pengenal (cognitive), penilaian (appreciative) atau pengutaraan (expressive).

Menurut Shills, tugas intelektual ialah mentafsirkan pengalaman masalah masyarakat, mendidik pemuda dalam tradisi dan keterampilan masyarakatnya; membimbing pengalaman estetik dan keagamaan dalam berbagai lapisan masyarakat.

Bagi Lewis Coser pula dalam tulisannya Men of Ideas, intelektual ialah orang yang kelihatan tidak pernah puas menerima kenyataan seadanya.

Mereka bertanya kebenaran yang berlaku pada suatu saat dalam hubungannya dengan kebenaran yang lebih tinggi dan luas.

Daripada beberapa pengertian di atas, terlihat bahawa intelektual berbeza dengan intelegensia. Pada umumnya intelegensia dirumuskan sebagai orang terpelajar, khususnya graduan universiti.

Intelektual boleh jadi bukan lulusan universiti dan mungkin saja berkelulusan sekolah rendah tetapi mampu mengembangkan pemikirannya.

Mereka mampu berfikir bebas, mencakupi pengamatan yang cermat terhadap gejala-gejala di suatu lingkungan, pemahaman tentang sebab gejala itu dan korelasinya dengan gejala lain. Pada akhirnya ia merumuskan suatu kesimpulan yang dapat dikomunikasikan kepada masyarakat dalam bahasa yang jelas.

Budi Bahasa dan Nilai Murni Khazanah Kita

Sumber:Web Pejabat MB Johor

Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju.

Tambahan pula, prinsip pembangunan tersebut digilap dengan asas keIslaman yang dipandang sebagai suatu teori sejajar dengan kemajuan masyarakat. Islam Hadhari menjadi satu garis panduan berasaskan prinsip sebenar Islam di dalam menggalakkan peningkatan terhadap kemajuan dan pembangunan yang seterusnya akan menjamin kualiti hidup.

Masyarakat pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara. Dengan sikap majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang.


Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga. Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa.

Dari aspek kenegaraan pula, Perdana Menteri kita pada 11 Januari 2005 lalu menggambarkan bahawa "Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju." Demikian diucapkan pada majlis pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni.

Demikianlah betapa pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat ‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri.

Budaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa.

Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.

Walaupun berbudi bahasa dan nilai-nilai murni itu secara istilahnya bukan disebut sebagai Akhlak mulia, namun ia tetap membawa maksud yang sama. Sesuai dengan galakan agama yang menyatakan kepentingan menjaga suara hati dan pertuturan sebagai garis permulaan mempertingkatkan budi pekerti diri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar,lagi maha mengetahui." (Surah an-Nisa'ayat 148)

Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara."

Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus dipraktikkan di setiap aspek kehidupan agar keindahan Islam itu akan memberi kesan baik yang menyeluruh terhadap kemaslahatan sesebuah masyarakat.

Masyarakat kini digesa untuk menghidupkan dan menghangatkan kembali nilai murni dalam kehidupan seharian. Walau apa pun status dan kerjaya kita sebagai seorang generasi millenium atau kita terlibat dengan penglibatan antarabangsa, maka berpasak teguhlah pada peribadi budi seorang yang berbudi bahasa.

Kemajuan dunia merangsang kita untuk bekerja, berdaya maju dan berusaha. Tetapi jangan sampai kemajuan itu mengajarkan kita pada perkara yang sebaliknya. Iaitu mengurangi nilai-nilai murni yang sedia ada dan pernah menjadi suatu kebanggaan atau aset bangsa.

Setiap golongan dan peringkat memainkan peranan untuk bekerjasama mempertahan dan memperkukuhkan budaya menjadikan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu cara dan gaya hidup berkesinambungan.

Permulaan yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada anak-anak. Permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat berkesinambungannya khazanah budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni.

Dalam memanfaatkan kepentingan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu agenda pembangunan material dan mentaliti, adalah suatu yang perlu untuk membudaya dan memperteguhkan etika kerja berdasarkan pendekatan tersebut. Anggota perkhidmatan awam dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan penguatkuasaan seperti polis, imigresen dan semua yang terlibat dengan khidmat pelanggan khususnya haruslah memberi perkhidmatan dengan penuh beradab. Tutur kata yang mesra, bersopan dan sentiasa membantu adalah tunggak kecemerlangan bagi sesebuah perkhidmatan.

Suatu masa dahulu, senario di sekitar pengangkutan awam pernah menggambarkan suasana kesopanan dan budi bahasa yang boleh dibanggakan. Namun sekarang, masyarakat boleh merasa malu untuk mempraktikkan nilai-nilai murni di khalayak ramai kerana keprihatinan telah berkurang sehingga boleh muncul mentaliti mempersenda nilai-nilai yang baik.

Secara tidak sedar, pelbagai gejala negatif akan boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa dan nilai murni. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa".

Kalau tiada nilai-nilai murni, maka rosaklah tingkah laku masyarakat kita. Kerosakannya bukan hanya menyentuh aspek kesihatan atau kecacatan jiwa, bahkan menular ke pembangunan fizikal. Mentaliti kita adalah membina. Bukan merosak apa yang telah terbina. Tanpa nilai murni, remaja kita berperangai sewenang-wenangnya. Membudayakan vandalisme, gangsterisme, samseng jalanraya, gangguan seksual dan pelbagai jenis perlakuan delinkuen akan menjadi sorakan di persekitaran negara kita.

Justeru, setiap pihak perlu positif dan turut serta membudayakan budi bahasa dan nilai murni sebagai gaya hidup yang sempurna. Perjuangan sebuah bangsa itu bukan sekadar mempertahankan kuasa dan labelnya sebagai suatu ‘bangsa'. Tetapi harus diingat juga bahawa praktik di samping mempertahan dan memperkukuhkan khazanah bangsa adalah sangat bermakna.

Kerajaan negeri Johor mengenai agenda ini mempunyai pendekatan tersendiri yang bersifat holistik atau menyeluruh. Di bawah program Pembangunan Beridentiti, telah banyak program-program yang bermanfaat telah dirangka bagi mempastikan pembangunan masyarakat itu sejajar dengan mutu identiti tersendiri.

Di dalam memartabatkan khazanah budaya, sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni, program pembentukan dan didikan kekeluargaan dikenal pasti sebagai satu pendekatan paling efektif dan mesra masyarakat. Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim di negeri Johor telah menjalankan peranannya mendidik institusi keluarga melalui Modul Keluarga Sakinah yang menyentuh setiap peringkat kekeluargaan dari permulaan hidup hinggalah ke akhir hayat. Modul tersebut dikesan dapat menyerapkan sentimen mengamalkan nilai-nilai murni di peringkat keluarga.

Pemupukan nilai-nilai murni ini juga diserapkan melalui pendekatan tidak langsung menerusi program-program sihat di dalam memastikan kebudayaan dan kesenian adalah seiring dengan pembangunan ekonomi dan fizikal. Kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan seni dan budaya yang meliputi bidang teater, permainan tradisional, seni tari,seni muzik, seni silat, pemuliharaan budaya, Kembara Puisi Darul Ta'zim dan sebagainya. Penglibatan-penglibatan ini diharap dapat memberikan kesan halus kepada masyarakat Johor untuk menghayati nilai-nilai murni di sebalik kebudayaan-kebudayaan tertentu.

Program-program Gaya Hidup Sihat juga banyak menitik beratkan sumber nilai-nilai murni apabila kerajaan menggalakkan penglibatan sukarela daripada hampir setiap golongan menyertai Program Rakan Muda, J-Robik, Belia dan PROSTAR.

Negeri Johor akan terus menerus mempertahankan budaya agar nilai-nilai murni dan budi bahasa yang dianggap paling penting di dalam pengamalan budaya itu dapat diperah dan menjadi identiti masyarakat secara umumnya.

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi, runtuhlah bangsa.

Oleh MOHD FADZLI ABU BAKAR

Rumusan STPM

09 May 2009

Sumber: Blog Cikgu Mohd Khir Kassim

Bahagian B : Rumusan STPM


Selain soalan karangan, calon-calon STPM juga perlu bersiap sedia untuk menjawab soalan rumusan. Sebenarnya, soalan rumusan lebih mudah untuk dijawab berbanding dengan soalan karangan kerana semua isi yang dikehendaki dalam soalan ini memang ada dalam petikan. Hal ini demikian kerana, isi utama terdapat dalam perenggan pertama, isi-isi sampingan lain terdapat dalam perenggan-perenggan yang berikutnya dan isi kesimpulan pula sudah tentu terdapat dalam perenggan yang terakhir. Namun demikian, cikgu mendapati bahawa masih terdapat kelemahan jawapan pelajar semasa menjawab soalan ini kerana kurang mementingkan teknik menjawab soalan rumusan yang betul semasa menjawab soalan tersebut. Oleh itu, cikgu akan menyenaraikan kelemahan-kelemahan tersebut untuk dibaiki dan pelajar-pelajar perlu memahami teknik yang betul untuk menjawab soalan rumusan.

Kelemahan Umum Soalan Rumusan STPM:


Kelemahan Umum Soalan Rumusan STPM

• Perenggan rumusan – ada calon yang menulis satu perenggan atau dua perenggan sahaja, ada juga yang melebihi 3 perenggan.

• Menulis atau menyalin ayat daripada petikan 100 peratus.

• Membina ayat sendiri sehingga maksud ayat tersebut berbeza langsung dengan maksud asalnya.

• Ayat-ayat yang dibina itu tergantung iaitu ayat tiada subjek atau predikat.

• Menulis Isi Utama (IU) dan keimpulan (K) yang terlalu ringkas dan tidak lengkap.

• Menulis Isi Sampingan (IS) melebihi 6 isi, menyebabkan rumusan menjadi terlalu panjang dan melebihi had perkataan yang ditetapkan.

• Mencampuradukkan Isi Sampingan (IS) dalam satu ayat sehingga isi tersebut tidak teratur.

• Kesalahan mekanis yang kurang diberikan perhatian seperti tanda bacaan dalam ayat.

• Tidak menulis jumlah perkataan pada akhir rumusan.

Jadi, calon-calon STPM perlu mengelakkan kesalahan umum yang kerap dilakukan oleh mereka ketika menjawab soalan rumusan.

Jawapan Latihan Analisis Kesalahan Bahasa

08 May 2009

Jawapan telah dimasukkan dalam Grup Perbincangan. Sila semak melalui grup perbincangan atau melalui peti e-mel masing-masing.



Adab Murid Terhadap Gurunya

Sumber: Bahasa Itu Indah


Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan turun martabatnya menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh sebab itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa yang memuliakan Allah, syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia dimurkai Allah. Sesiapa yang dimurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh sebab itu seorang murid mestilah memelihara adab-adab ketika bersama-sama dengan guru. Antara lain adab tersebut adalah seperti berikut:


1. Memberi salam dan sentiasa hormat akan guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya, meminta izin terlebih dahulu.
4. Mencari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Menghindarkan diri daripada menyinggung perasaan guru.
7. Memberikan bantuan kepada guru apa-apa yang dapat dibantu.
8. Melakukan apa-apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Menggunakan bahasa yang baik sewaktu berinteraksi dengan guru.
10. Tidak meninggikan suara ketika bercakap dengan guru

Tugasan: Cari punca asas masalah mat rempit

06 May 2009

Baca dan fahami rencana berikut. Kemudian senaraikan isi-isi penting. Hasil kerja akan dibincangkan dalam sesi pengajaran dan pemelajaran pada 13 April 2009.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cari Punca Asas Masalah Mat Rempit

Sumber: Rencana Utusan Malaysia |6 Mei 2009|


PELBAGAI pihak telah menyuarakan kebimbangan dan kerisauan mereka mengenai isu mat rempit, peragut, perompak dan pelbagai aktiviti jenayah yang melibatkan remaja termasuk yang terjerumus ke dalam kancah perlumbaan haram.

Boleh dikatakan saban hari terdapat berita yang melaporkan orang awam menjadi mangsa kepada golongan penjenayah termasuk mat rempit.

Terdapat beberapa individu yang telah menulis kepada media menyatakan kemarahan mereka mengenai perkara tersebut, terutamanya mereka yang pernah menjadi mangsa kepada golongan remaja yang ganas tersebut.

Sungguhpun pihak polis telah meningkatkan operasi 'berbahaya' terhadap mat rempit - dengan beberapa anggotanya mendapat cedera - tetapi badan penguat kuasa ini dilihat belum lagi dapat menghentikan atau menghapuskan kegiatan tersebut.

Kebanyakan mat rempit adalah daripada kalangan remaja yang berumur di antara 15 ke 19 tahun. Soalan yang timbul ialah apakah yang terjadi terhadap bimbingan ibu bapa kepada remaja tersebut?

Kerajaan, terutamanya pihak Kabinet perlu mengambil langkah-langkah berpatutan dan berkesan untuk menangani dan menghentikan kegiatan negatif ini.

Pada pandangan saya, kita perlu mencari punca asas kepada masalah mat rempit ini. Adakah kerana mereka berasal daripada keluarga yang bermasalah dan tidak mendapat bimbingan daripada ibu bapa?

Atau mereka tidak ada tempat yang sesuai untuk beriadah daripada tekanan atau untuk melampiaskan tenaga mereka? Sekiranya benar, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan sukan atau rekreasi untuk kegunaan remaja dan anak-anak muda kita.

Kita memerlukan lebih banyak padang bola, gelanggang badminton dan bola keranjang, kemudahan sukan yang termampu oleh golongan remaja. Di bandar dan pekan kita perlu ada lebih banyak kemudahan bersukan dan beriadah.

Dalam hal ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan juga semua kerajaan negeri perlu memastikan pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan bersukan dan rekreasi yang mencukupi di bandar, pekan dan daerah.

Tujuannya untuk membantu membangunkan golongan remaja yang sihat tubuh badan dan mentalnya dan supaya mereka tidak menjadi mat rempit atau melakukan aktiviti yang negatif.

Kerajaan juga perlu menyemak semula semua peruntukan undang-undang yang relevan untuk memperkuatkan penguatkuasaan undang-undang dan membendung gejala mat rempit dan perlumbaan haram.

Di antara cadangan lain yang patut dipertimbangkan termasuklah mengklasifikasikan mat rempit yang melakukan kesalahan berulang sebagai 'remaja bermasalah' yang kemudiannya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney, di mana mereka akan diberikan kaunseling dan latihan kemahiran.

Kepada ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak yang masih di bawah jagaan mereka, mungkin terdapat alasan yang munasabah untuk mengenakan bon jaminan kepada ibu bapa tersebut terhadap perilaku anak-anak mereka.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF)


Bacaan tambahan:
i. Pendekatan Agama Tangani Mat Rempit

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM BESTARI SEKOLAH LUAR BANDAR

01 May 2009

Tarikh: 05 Mei 2009
Masa: 3.00 Petang - 6.00 Petang
Tempat: SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN (SMK) FELDA BESOUT PERAK
Penganjur:
PROGRAM INI ADALAH KERJASAMA ANTARA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA DAN MULTIMEDIA DEVELOPMENT CORPORATION

Majlis Pelancaran program ini akan disempurnakan oleh Y.BHG. DATO' HJ. ALIMUDDIN B. HJ. MOHD DOM, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

LATAR BELAKANG PROGRAM BESTARI SEKOLAH LUAR BANDAR

Lanjutan daripada kejayaan pelaksanaan pemantapan 88 sekolah bestari penanda aras diantara 2006 – 2008 ini, YB Menteri Pelajaran serta Pengurusan Tertinggi Kementerian pada 23 September 2008 telah memutuskan supaya MDeC menyokong usaha KPM mewujudkan satu model untuk membantu menyegerakan pembestarian sekolah dengan fokus kepada 50 sekolah luar bandar. Sebanyak 15 buah sekolah luar bandar telah dipilih untuk pelaksanaan bagi tahun 2009.

Antara rasional pelaksanaan sekolah bestari luar bandar ini adalah seperti berikut:-

- Sebanyak 20% sekolah adalah dikategorikan sekolah luar bandar

- Berdasarkan kepada projek rintis, pemantapan 88 sekolah bestari dan juga kajian-kajian yang dijalankan, model pelaksanaan “1 size fits all” tidak boleh digunapakai untuk semua sekolah.

- Pelaksanaan model yang khusus untuk jenis-jenis sekolah yang berbeza diperlukan dalam usaha pembestarian sekolah

Objektif-objektif pelaksanaan program bestari sekolah luar bandar ini adalah meliputi aspek-aspek berikut:-

- Menyediakan perkhidmatan pengurusan dan pemantauan secara end-to-end kepada sekolah dalam pengintegrasian bahan-bahan berasaskan ICT dan alatan bantuan mengajar yang inovatif di dalam pengajaran dan pembelajaran bestari

- Mewujudkan model-model pelaksanaan menaiktaraf yang efisyen dan kos efektif bagi sekolah-sekolah di luar bandar seperti sekolah orang asli dan penan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah felda dan sekolah agama

Manakala pendekatan yang digunapakai bagi tujuan pelaksanaan ini akan mengambil kira yang berikut:-

- Mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran

- Mengurangkan bebanan kerja pengurusan & menambahkan produktiviti dan pembangunan profesional

- Mengupayai inovasi dalam proses pengajaran

- Menarik minat murid melalui bahan pembelajaran yang kreatif dan inovatif

- Menyediakan sokongan profesional

Program bestari sekolah luar bandar adalah program yang menggunapakai model pelaksanaan 88 buah bestari penanda aras. Program ini telah disesuaikan untuk pelaksanaan sekolah luar bandar yang merangkumi tujuh kategori sekolah iaitu sekolah menengah harian, sekolah rendah harian, sekolah orang asli dan penan, sekolah agama, sekolah felda, sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil. Pemilihan sekolah-sekolah luar bandar ini adalah berdasarkan kepada kriteria berikut:-



- Mempunyai kemudahan asas bekalan elektrik 24 jam dan air.

- Mempunyai kemudahan asas infrastruktur ICT yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia

- Mewakili salah satu kategori sekolah di atas

Sebanyak 15 sekolah luar bandar telah terpilih yang mewakili setiap negeri. Senarai sekolah-sekolah tersebut adalah seperti berikut.

1) SK Arau, Arau, Perlis

2) SMK Megat Dewa, Kodiang, Kedah

3) SJK (C) Mah Hua, Tasek Gelugor, Pulau Pinang

4) SMK (Felda) Besout, Sungkai, Perak

5) SMK Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor

6) SJK (T) Vageesar, Kuala Selangor, Selangor

7) SK Palong 14(F), Gemas, NegeriSembilan

8) SK Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka

9) SK Peserai, Batu Pahat, Johor

10) SK Cherok Paloh, Kuantan, Pahang

11) SK Tasik Cini, Pekan, Pahang

12) SK Tok Randok, Ajil, Terengganu

13) SK Jambu Lawar, Machang, Kelantan

14) SMK Sematan, Sematan, Sarawak

15) SMK (A) Mohamad Ali, Ranau, Sabah

Program-program bestari yang sedang dan akan dilaksanakan kepada 15 sekolah ini merangkumi perkara-perkara berikut:-

- Penyediaan alat-alat inovatif serta aplikasi untuk pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran

- Pengurusan perubahan untuk guru besar, pengetua dan guru-guru.

- Latihan tambah nilai pengintegrasian bahan-bahan berasaskan ICT

- Pemantauan secara on-site oleh pembimbing dari Institusi Pengajian Tinggi Awam

Selain daripada itu juga, dua sekolah telah dipilih untuk dijadikan sebagai sekolah showcase luar bandar. MDeC bersama-sama gabungan 10 syarikat tempatan dan syarikat multinasional akan menaiktaraf infrastruktur bilik darjah yang terpilih, perisian serta aplikasi dan latihan tambah nilai. Dua (2) sekolah tersebut adalah SMK Ampang Pecah, Kuala Kubu Baru, Selangor dan SK Palong (14) (F), Gemas, Negeri Sembilan.