Utamakan Istilah Bahasa Melayu

22 July 2010


Biasakan Berbudi dan Berbahasa

14 July 2010

Latihan Prauniversiti 1

11 July 2010

Latihan Individu

i. Apakah perbezaan antara variasi dan laras? Berikan contoh yang sesuai.
ii. Berdasarkan pendapat Halliday, jelaskan kefahaman anda tentang variasi bahasa.

Jawab dalam kertas jawapan yang berlogo sekolah.

Hantar pada 18 Julai 2010 (Ahad).

Bahasa Melayu Kuno

04 July 2010


Sebelum ditemui bukti sejarah berupa tulisan pada batu bersurat tentulah bahasa Melayu telah digunakan untuk masa yang panjang kerana didapati bahasa yang ada pada batu bersurat kemudiannya sudah agak tersusun pembinaan kata dan pembinaan ayatnya dan juga sudah kuat pengaruhnya sehingga orang India yang menulis perkataan pada batu bersurat tersebut yang menggunakan aksara Sanskrit memasukkan juga beberapa perkataan Melayu. Untuk memberi nama pada bahasa yang tidak mempunyai bukti sejarah tersebut (sebelum bahasa orang India masuk ke Nusantara), ia diberi nama bahasa Melayu Purba.

BAHASA MELAYU KUNO

Berabad-abad sebelum Masihi, Selat Melaka telah digunakan oleh pedagang Arab sebagai laluan pelayarannya membawa barang perniagaan dari Tiongkok, Sumatera, dan India ke Pelabuhan Yaman. Dari Sumatera hasil yang paling utama mereka beli ialah rempah kerana rempah ini merupakan keperluan yang penting bagi orang Arab di Saba' (Kerajaan Saba' wujud di antara 115-950 SM). Pelabuhan di Sumatera pula mendapat bekalan rempah ini dari Pulau Maluku di samping Aceh yang sudah terkenal hasil rempahnya ke dunia Arab.

Pedagang Arab yang dimaksudkan di sini tidak semestinya beragama Islam kerana hubungan di antara Arab dan alam Melayu telah wujud sejak zaman sebelum munculnya Islam. Penggunaan kapur barus untuk mengawetkan mayat (mummi) yang disimpan di dalam piramid pada Zaman Mesir Kuno dikatakan diambil dari Barus (nama tempat) di Pulau Sumatera.


Pada abad pertama, barulah pedagang dari India belayar ke timur menuju Tiongkok dan pedagang Tiongkok pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala ini mengharuskan mereka melalui Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi tempat perdagangan pedagang India dan Tiongkok seperti yang telah dirintis lebih awal oleh pedagang Arab. Di samping itu juga para mubaligh terutama mubaligh India turut datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama Hindu. Kedatangan para pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Purba mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu Purba ini kemudian dinamai sebagai bahasa Melayu Kuno.


Batu Bersurat

Bukti bertulis yang tertua tentang bahasa Melayu Kuno ini terdapat di beberapa buah prasasti (batu bersurat). Yang terpenting di antara batu bersurat tersebut ialah:

(a) Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi). Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava (lihat lampiran 2).
(b) Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M. Batu Bersurat ini ditemui oleh Residen Westenenk, 17 November 1920 di sebuah kawasan bernama Talang Tuwo, di sebelah barat daya Bukit Siguntang, iaitu lebih kurang 8 km dari Palembang.
(c) Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.
(d) Batu Bersurat Karang Brahi (Jambi), bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 692 M.

Batu Bersurat Kedukan Bukit
Bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Kedukan Bukit tersebut ditulis dengan menggunakan huruf Palava, iaitu sejenis tulisan India Selatan Purba bagi penyebaran agama Hindu. Setelah ditransliterasikan ke huruf rumi tulisan tersebut adalah seperti yang berikut ini (dengan sedikit pengubahsuaian susunan dan bentuk, seperti c dibaca sy):

Svasti cri
cakavarsatita 605 ekadaci
cuklapaksa vulan vaicakha daputa
hyang nayik di samvau mangalap
siddhayatra
di saptami cuklapaksa
vulan jyestha dapunta hyang marlapas
dari minana Tamvar (Kamvar)
mamava yang vala dua laksa
ko dua ratus cara di samvau
dangan jalan sarivu tlu ratus sapulu dua vanakna
datang di matada (nau) sukhacitta
di pancami cuklapaksa vulan asada
laghu mudita datang
marvuat vanua ... Crivijaya
jaya siddhayatra subhika ...

Daripada transliterasi ini jelas terlihat walaupun pernyataan yang ingin disampaikan itu berkenaan dengan Raja Sriwijaya yang menganuti fahaman Hindu tetapi pengaruh bahasa Melayu terhadap bahasa Sanskrit sudah demikian meluas.

Jika kita bandingkan bahasa Melayu Kuno di atas dengan bahasa Melayu kini, kita akan mendapati perubahan pembentukan bunyi dan perkataan seperti yang berikut ini:

vulan = bulan
nayik = naik
samvau = sampau = sampan (maksudnya perahu yang besar)
mangalap = mengambil (maksudnya mencari)
marlapas = berlepas
mamava = membawa
vala = bala = balatentera
laksa = (menyatakan jumlah yang tidak terkira banyaknya)
dangan = dengan
sarivu = seribu
tlu = telu = tiga
sapuluh dua = sepuluh dua = dua belas
vanakna = banyaknya
sukhacitta = sukacita
marvuat = berbuat
vanua = benua = negeri
ko = ke

Jika dialihbahasakan ke dalam bahasa Melayu isi Batu Bersurat Kedukan Bukit ini lebih kurang seperti yang berikut ini:

Selamat bahagia
pada tahun saka 605 hari kesebelas
dari bulan terang bulan waisaka daputa
baginda naik perahu mencari
rezeki
pada hari ketujuh bulan terang
bulan jyesta dapunta baginda berlepas
dari muara Kampar
membawa askar dua laksa
dua ratus orang di perahu
yang berjalan seribu tiga ratus dua belas banyaknya
datang di matada dengan suka cita
pada hari kelima bulan terang bulan asada
dengan lega datang
membuat negeri ... Seriwijaya
yang berjaya, yang bahagia, yang makmur

Batu Bersurat Talang Tuwo
Kita perhatikan pula bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo yang telah ditransliterasikan ini:

Svasti.
cri cakavarsatita 606 dim dvitiya cuklapaksa vulan caitra.
sana tatkalana parlak Criksetra ini.
niparvuat parvan dapunta hyang Cri Yayanaca (-ga) ini pranidhanan dapunta hyang savanakna yang nitanam di sini.
niyur pinang hanau rumviya dngan samicrana yang kayu nimakan vuahna.
tathapi haur vuluh pattung ityevamadi.
punarapi yang varlak verkan dngan savad tlaga savanakna yang vualtku sucarita paravis prayojanakan punyana sarvvasatva sacaracara.
varopayana tmu sukha di asannakala di antara margga lai.
tmu muah ya ahara dngan air niminumna.
savanakna vuatna huma parlak mancak muah ya manghidupi pacu prakara.
marhulun tuvi vrddhi muah ya jangam ya niknai savanakna yang upasargga.
pidana svapnavighna.
varang vuatana kathamapi.
anukula yang graha naksatra pravis diya.
Nirvyadhi ajara kavuatanana.
tathapi savanakna yam khrtyana satyarjjava drdhabhakti muah ya dya.
yang mitrana tuvi janan ya kapata yang vivina mulang anukala bharyya muah ya.
varamsthanana lagi curi ucca vadhana paradara di sana punarapi tmu ya kalyanamitra.
marvvangun vodhicitta dngan maitridhari di dang hyang ratnaraya jangan marsarak dngan dang hyang ratnaraya.
tathapi nityakala tyaga marcila ksanti marvvangun viryya rajin tahu di samicrana cilpakala paravis.
samahitacinta.
tmu ya prajna smrti medhavi.
punarapi dhairyyamani mahasattva vajracarira.
anubamacakti.
jaya tathapi jatismara.
avikalendriya.
mancak rupa.
subjaga hasin halap.
ade yavakya vrahmasvara.
jadi laki.
svayambtu.
puna (ra) pi tmu ya cintamaninidhana tmu janmavacita. karmmavacita clecavacita
avasana tmu ya anuttarabhisamyaksam vodhi.

Bahasa Melayu Kuno yang dapat kita kesan daripada batu bersurat di atas di antara lain ialah:

vulan = bulan
tatkalana = tatkalanya
nivarbuat = diperbuat
savanakna = sebanyaknya
nitanam = ditanam
niyur = nyiur
hanau = enau
rumvia = rumbia
dngan = dengan
nimakan = dimakan
vuahna = buahnya
tathapi = tetapi
haur = aur
vuluh = buluh
pattung = betung
tlaga = telaga
punyana = punyanya
tmu = temu, bertemu
margga = marga
sukha = suka
niminumna = diminumnya
savanakna = sebanyaknya, sebanyak-banyaknya
vuatna = buatnya
manghidupi = menghidupi
prakara = perkara
varang = barang
vuatana = buatannya
marvvangun = membangun

Harun Aminurrashid mengutip terjemahan Slametmuljana berkenaan dengan bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo tersebut adalah seperti yang berikut ini:

Bahagia! Tahun Saka 606 pada hari kedua bulan terang caitra, itulah waktunya taman Sriksetra ini diperbuat, milik Dapunta Hyang Sri Jayanaga. Ini Pesan Dapunta Hyang: Semuanya yang ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berupa) pohon, dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan yang semacam itu. Demikian pula taman-taman lainnya dengan tebat telaga, semuanya yang kuperbuat, semua perbuatan baik, dimaksud untuk kebahagiaan semua makhluk yang bergerak dan tidak bergerak. Hendaklah daya upaya beliau yang sangat baik itu mendapat kesukaan di kemudian hari dengan jalan lain. Semoga beliau mendapatlah makanan dan air untuk minumnya. Semuanya yang dibuatnya; ladang, kebun luas, menghidupi binatang-binatang, ramai para abdi suburlah. Jauhkanlah beliau dari segala bencana, siksaan dan penyakit tidak dapat tidur. Bagaimanapun barang usahanya hendaknya berhasil baik, binatang-binatang lengkap semua, beliau dari sakit, dibuat awet muda. Dan lagi hendaklah semua yang disebut abdi setia baktilah mereka pada beliau. Yang menjadi sahabat beliau janganlah mereka itu menderhaka pada beliau; yang menjadi bini beliau hendaklah tetap setia sebagai isteri pada beliau. Di manapun beliau berada, janganlah dilakukan curi, curang, bunuh dan zina di situ. Dan lagi, hendaklah beliau bertemu dengan khalyanamitra, membangun bodhichita dengan maitri, menjadi pertapa pada dang hyang Ratnatraya, melainkan sentiasa teguh bersila dengan senang membangun tenaga, keuliten, pengetahuan tentang perbezaan semua sipakala dan pemusatan fikiran. Mudah-mudahan beliau memperoleh pengetahuan, ingatan dan kecerdasan dan lagi ketetapan mahasatwa badan manikam vajracarira yang sakti tanpa upama, kemenangan, dan lagi ingatan kepada kelahiran yang sudah lampau, indria lengkap, rupa penuh, kebahagiaan, kegembiraan, ketenangan, kata manis, suara Brahma, jadi lelaki kerana kekuatannya sendiri, hendaklah beliau memperoleh cintamaninidhara, memperoleh janmawacita, karmmawacita, akhirnya beliau mendapat anuttarabisamyaksambodhi.

Daripada terjemahan ini jelas pada kita bahawa bahasa Sanskrit yang tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dikekalkan dalam bahasa asalnya.

Batu Bersurat Kota Kapur
Pada Batu Bersurat Kota Kapur perkataan/bahasa Melayu telah lebih banyak ditemui dan unsur bahasa Sanskrit semakin berkurang. Beberapa perkataan bahasa Melayu Kuno sebahagian telah memperlihatkan irasnya dan sebahagian lagi kekal digunakan hingga kini, seperti: abai, aku, batu, banyak, benua, beri, buat, bulan, bunuh, datu, dengan, di dalam, dosanya, durhaka, gelar, hamba, jahat, jangan, kait, kasihan, kedatuan, keliwat, kita, lawan, maka, mati, merdeka, mula, orang, pahat, persumpahan, pulang, roga, sakit, suruh, tapik, tambal, tatkalanya, tetapi, tida, tuba, ujar, ulang, ulu, dan yang. Imbuhan awalan ialah: ni-, di-, mar-, par-, ka-. Imbuhan akhiran pula ialah: -i dan -an.

Batu Bersurat Karang Brahi
Bukti bertulis yang terdapat pada batu bersurat ini merupakan salah satu batu bersurat terpenting, namun tidak banyak maklumat yang diketahui dengan pasti tentang bahasa Melayu Kuno pada batu bersurat ini.

Di samping batu bersurat yang telah dinyatakan di atas sebenarnya ada lagi batu bersurat yang agak penting diketahui, iaitu Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356 M) di Sumatera Barat. Pada batu bersurat ini tertulis beberapa sajak Sanskrit dengan sedikit prosa Melayu Kuno dengan menggunakan huruf India dan satu lagi di Aceh yang dinamai Batu Nisan Minye Tujuh. Batu nisan ini bertarikh 1380 M dan ditulis dengan tulisan India, menggunakan bahasa Melayu, Sanskrit, dan Arab.