Bahasa Jiwa Bangsa

Bahasa Melayu Berupaya Menjadi Bahasa Terbesar Dunia

12 January 2013

Sumber gambar: ITNM
“Punca mengapa bahasa Melayu semakin kurang digunakan oleh segelintir rakyat Malaysia pada hari ini kerana banyak yang jahil. Lebih menyedihkan apabila mereka ini menggunakan bahasa campur yang tidak hanya dalam perbualan harian sahaja. Golongan ini tiada rasa jati diri dan tiada martabat. Sedangkan mereka lupa bahawa bahasa itu umpama pakaian peribadi seseorang, pakaian akal fikiran dan perasaannya. “Jika menggunakan bahasa tempel-tempel ia ibarat pakai pakaian compang-camping, kotor dan tiada keindahan. Orang luar suka bahasa kita, mengapa kita pula membuangnya.”
~ Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
Sumber: Sinar Harian

Bahasa Melayu Bakal Jadi Bahasa Keempat Terbesar Dunia

SUHARNE ZAINUDIN | 26 NOVEMBER 2012

Sasterawan Negara, Prof Dr Muhammad Salleh berkata, semua bahasa melalui peredaran zaman dan pengaruh yang terdapat ketika itulah yang melukiskan perubahan zaman seterusnya menjadi penentu kepada lenggok bahasa itu.

Menurutnya, bahasa Melayu mempunyai keunikan tersendiri kerana unsur klasik, kehalusan dan sopan santun yang ada di dalamnya.

“Punca mengapa bahasa Melayu semakin kurang digunakan oleh segelintir rakyat Malaysia pada hari ini kerana banyak yang jahil. Lebih menyedihkan apabila mereka ini menggunakan bahasa campur yang tidak hanya dalam perbualan harian sahaja. Golongan ini tiada rasa jati diri dan tiada martabat. Sedangkan mereka lupa bahawa bahasa itu umpama pakaian peribadi seseorang, pakaian akal fikiran dan perasaannya.

“Jika menggunakan bahasa tempel-tempel ia ibarat pakai pakaian compang-camping, kotor dan tiada keindahan. Orang luar suka bahasa kita, mengapa kita pula membuangnya,” katanya.

Berlakunya keadaan ini, katanya adalah kerana ia mempunyai sangkutan dengan kesan yang ditinggalkan oleh penjajah. Katanya, pada tahun 70-an dan 80-an, rakyat yang ingin mempelajari ilmu di universiti perlu menguasai bahasa Inggeris, jika tidak mengusai bahasa tersebut tiada peluang.

“Pengalaman di Pulau Pinang pada 1957 iaitu tahun pertama kemerdekaan, saya mahu belajar bahasa Melayu tetapi tiada guru yang layak untuk mengajar. Saya percaya di negeri lain pun begitu juga. Pada tahun pertama kemerdekaan, bahasa Melayu sudah dilusuhkan dan dilemahkan oleh bahasa kolonial. Kesannya, pada hari ini terdapat rakyat Malaysia malah orang Melayu sendiri yang menolak bahasa Melayu.

“Ada juga yang membandingkan kehebatan bahasa ibunda dengan bahasa kolonial. Golongan ini sebenarnya tidak sedar bahawa sastera kita antara yang terbesar di dunia termasuk Indonesia,” katanya sambil memberitahu keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan rakyat sahaja malah kalangan pemimpin negara.

Muhammad berkata, ramai pemimpin barisan pertama negara tidak tahu mengenai karya agung bahasa Melayu, tidak tahu berucap dalam bahasa Melayu di peringkat canggih dan ini berbeza dengan presiden pertama Indonesia, Sukarno yang fasih menggunakan bahasa Melayu di peringkat canggih.

“Keadaan ini berlaku kerana sistem penjajah yang sangat berpengaruh walaupun setelah meninggalkan Tanah Melayu, barisan pemimpin pertama Tanah Melayu ketika itu lulusan sekolah Inggeris atau universiti di England. Oleh itu, mahu tidak mahu nilai Inggeris telah terserap ke dalam akal fikirannya dan ia telah sampai kepada generasi kini.

“Dalam kalangan ahli perniagaan, mereka beranggapan berurusan dalam bahasa Melayu menjadikan urusan niaga itu tidak lengkap. Ada juga anggap bahasa Melayu tidak lengkap untuk mendapatkan segala ilmu yang ada di dunia ini sehingga wujud golongan tidak mahu mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu,” tegasnya.

“Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu berupaya dan mampu menjadi bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan antarabangsa ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, namun semakin dipinggirkan kerana wujud warga Malaysia yang memandang remeh malah tidak boleh bercakap bahasa ini di peringkat lebih canggih.

“Dalam satu kajian oleh sebuah universiti di London, dalam sekitar 20 tahun akan datang, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa keempat terbesar dunia setelah Mandarin, Sepanyol dan Inggeris,” katanya.


0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa