Bahasa Jiwa Bangsa
Showing posts with label tatabahasa. Show all posts
Showing posts with label tatabahasa. Show all posts

Ejaan DBP "insya-Allah"

06 December 2015



Terdapat pelbagai versi ejaan untuk "insya-Allah". Dapatan berikut menunjukkan kepelbagaian cara mengeja berdasarkan pencarian melalui enjin carian Google, antaranya: 
i. insyaallah
ii. insya allah
iii. insya-Allah
iv. insha'allah
v. inshaallah 
vi. insha allah
vii. in sha allah

Walau bagaimanapun, kekeliruan ejaan "insya-Allah" boleh dirungkaikan dengan merujuk kepada ejaan yang telah ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Berikut merupakan antara beberapa jawapan yang diberikan oleh pihak DBP melalui Khidmat Nasihat Bahasa PRPM tentang ejaan yang yang betul untuk "insya-Allah": 

Soalan: Saya telah merujuk penggunaan ejaan berdasarkan buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi, termasuk ejaan ‘insya-Allah’. Saya berasa keliru apabila ada pihak menyebarkan kelemahan ejaan itu di Facebook. Bahan yang disebarkan itu dikatakan bersumber daripada Dr. Zakir Naik. Sebaran itu meminta pengguna bahasa Melayu agar menggunakan ejaan ‘In Shaa Allah’ (tiga patah perkataan). Saya mendapati sudah ada guru menggunakan ejaan ini. Apakah pendirian DBP?
Jawapan: Ejaan yang telah ditetapkan oleh DBP ialah insya-Allah. (30.12.2012) 

Soalan: Ada kekeliruan ejaan. Kamus Dewan Ed. 4 menyatakan ejaan ‘insya Allah’ ada tanda sempang, ‘insya-Allah’. Walau bagaimanapun, dalam rujukan Khidmat Nasihat ada yang menyatakan ejaan yang betul "insyaAllah" dan ada yang menyatakan "insya-Allah". Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan: Ejaan yang betul ialah insya-Allah. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. (24.07.2013) 

Soalan: Tuan, huruf ‘i’ dalam perkataan ‘insya-Allah’ perlu ditulis secara huruf besar atau huruf kecil? Jadi ‘insya-Allah’ atau ‘Insya-Allah’? Atau kedua-duanya pun sama boleh diterima? 
Jawapan: insya-Allah. (27.05.2014)

Online: "Atas Talian" atau "Dalam Talian"?

17 September 2015

Istilah ‘atas talian’ dan ‘dalam talian’ merupakan istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada istilah ‘online’. Berdasarkan carian menggunakan enjin carian Google, terdapat 560 000 penggunaan istilah ‘dalam talian’ dan 1 780 000 penggunaan istilah ‘atas talian’.
Antara contoh penggunaannya berdasarkan carian Google ialah:
1a. Radio Dalam Talian (Online) – IKIMfm
1b. Mohon Dalam Talian – UNITAR International University
1c. Pengiraan Faraid Dalam Talian – Selamat Datang ke Portal E-Syariah
1d. Pembayaran Dalam Talian – Portal Rasmi Majlis Bandaraya Melaka
2a. Selamat Datang Ke Sistem Peperiksaan Atas Talian
2b. Aplikasi Permohonan Jawatan Atas Talian UMT
2c. Perkhidmatan Atas Talian Kementerian Kerja Raya
2d. Kedai Atas Talian – Quora


Imbuhan Awalan Pinjaman

15 June 2013

Imbuhan dalam bahasa Melayu boleh terdiri daripada imbuhan asli atau imbuhan yang dipinjam daripada bahasa asing. Ada dua cara imbuhan asing dipinjam, iaitu dengan cara diterima sepenuhnya atau dengan diubah suai mengikut sistem tatabahasa bahasa Melayu.

Awalan pinjaman (anti-, bio-, dwi-, eka-, eko-, juru-, ko-, maha-, multi-, pasca-, pra-, pro-, sosio-,sub-, swa-, tata-, tri- dan tuna-)  apabila bertemu dengan kata nama umum, dieja sebagai satu perkataan, tanpa tanda sempang. 

Peribahasa: Harapkan Pagar atau Harapkan Pegar

24 April 2013

Ramai pelajar yang bertanya tentang penggunaan perumpaan yang betul, sama ada "harapkan pagar, pagar makan padi" atau "harapkan pegar, pegar makan padi". Dalam hal ini, Mohd. Isa Abd. Razak dalam artikelnya telah menjelaskan:

...perbincangan tentang perumpamaan sebaik-baknya berfokus pada maksud lapisan keduanya, iaitu maksud yang tersirat. Perbincangan dari sudut yang lain seperti susunan perkataannya dan keindahan bahasanya boleh juga dilakukan. Perbincangan itu wajarlah dilakukan dengan cermat dan sebarang cadangan pindaan susunannya yang sudah mantap itu hendaklah berasaskan bukti yang kukuh.
Bersama-sama ini saya sisipkan artikel berkenaan untuk rujukan pembaca. Semoga kekeliruan dan kekusutan tentang penggunaan perumpaan dapat dirungkaikan.


Antara "Memberi" dengan "Memberikan"

03 February 2012

Pertanyaan:

Salam Prof. Apakah perbezaan antara "memberi" dengan "memberikan". Yang saya tahu, kedua-duanya merupakan kata kerja transitif yang perlu disambut oleh objek. Bagaimana mahu ditunjukkan perbezaan selanjutnya? Terima kasih.

Penjelasan:

Kata kerja transitif 'memberi' diikuti oleh objek penerima seperti "Ayah memberi anaknya wang" ("anaknya" sebagai objek penerima), sementara kata kerja transitif 'memberikan' diikuti oleh objek bergerak atau objek yang diterima, seperti "Ayah memberikan wang kepada anaknya" ("wang" sebagai objek bergerak atau objek yang diterima).

Banyak kesilapan yang dapat ditemukan dalam tulisan, seperti "Dia memberikan saya maklumat itu" (seharusnya "Dia memberi saya maklumat itu" atau "Dia memberikan maklumat itu kepada saya"). Apabila dikatakan "Saya diberikan", timbul persoalan "kepada siapakah saya diberikan"?

Dalam bentuk pasifnya, sering ditemukan kesilapan seperti "Saya diberikan peluang untuk bertugas di negeri kelahiran saya" (seharusnya "Saya diberi peluang untuk bertugas di negeri kelahiran saya" dengan makna 'saya diberi peluang'). Apabila dikatakan "Saya diberikan", timbul pertanyaan "kepada siapakah saya diberikan"?


~Kembara Bahasa~
18 Januari 2012/24 Safar 1433




Buku: Bimbingan Bahasa Kita

21 March 2011

Salam, pelajar sekalian.

Sila baca buku ini untuk menambah pengetahuan tentang bahasa Melayu.
Kandungan buku ini diperoleh melalui carian di Google Books.



Morfologi: Imbuhan Pinjaman

10 March 2011

Pelajar sekalian.
Selamat bercuti.
Jangan lupa, muat turun bahan ini dan baca.


Imbuhan Pinjaman Bahasa Melayu

Kata Ganti Singkat Ku, Mu dan Nya

05 February 2011

Pertanyaan melalui e-mel:
Bagaimana cara penulisan untuk kata ganti nama Ku, Mu dan Nya yang merujuk kepada Tuhan?



Jawapan
i. Ku, Mu dan Nya ialah kata ganti singkat sebagai ganti nama Tuhan.
ii. Ku, Mu dan Nya ditulis dengan huruf besar dan dipisahkan dengan tanda sempang daripada kata yang mendahuluinya.
iii. Contoh:
i. Tuhanku, bimbinglah hamba-Mu ini.
ii. "Adakah mereka berdoa kepada-Ku?"
iii. Semoga kita mendapat rahmat-Nya.

Perihal Glokal

09 January 2011

Perkataan glokal dicipta oleh YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam ucapan beliau ketika merasmikan Persidangan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2005 (Ketika itu beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia). Beliau menjelaskan hal penciptaan istilah glokal seperti yang berikut:

“Terlebih dahulu, izinkan saya mentakrifkan istilah glokal. Ia adalah gabungan antara dua perkataan, iaitu global dan lokal. Global bermaksud antarabangsa, internasional dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, dalam negara kita ini. Melayu Glokal yang kita impikan dan hasratkan ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional. Maksudnya, di samping kita hebat dalam Negara, kita juga berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke serata dunia. Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci.”

Jadi istilah glokal mendukung makna “gabungan akar nasional dan berakal antarabangsa.”

Rujukan:
S.Nathesan. “Glokal dan Sejarahnya” dlm Dewan Bahasa, November 2008:38-40
.

Pola Ayat Dasar

19 August 2010

POLA AYAT DASAR DAN FRASA

Pola ayat dasar merupakan sumber kepada pembentukan ayat-ayat dalam Bahasa Melayu. Ayat dasar juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat inti. Terdapat empat pola ayat dasar berdasarkan unsur-unsur binaan ayat:

i. FN+FN
ii. FN+FK
iii. FN+FA
iv. FN+FS

Frasa

Frasa ialah unit tatabahasa yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya satu atau dua perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih.

Frasa menjadisubjek atau predikat dalam binaan ayat serta menjadi konstituen atau binaan kepada klausa.

Frasa terbahagi kepada empat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama

Dalam setiap frasa ada perkataan yang yang dikenali sebagai inti frasa, iaitu perkataan yang paling penting dalam frasa. Contoh (berdasarkan Pola FN+FN) :
Kakak saya seorang pramugari = Kakak pramugari
Di sini ‘kakak’ dan ‘pramugari’ adalah inti frasa kepada kedua-dua pola tersebut.

Jenis perkataan yang menjadi inti frasa menentukan sama ada ia menjadi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama.



1) Frasa Nama (FN)

Frasa nama yang terbentuk daripada sederetan perkataan mempunyai dua jenis hubungan antara perkatan-perkataan ini :
a) inti & penerang
Contoh : Guru sekolah menengah itu sedang menasihati murid-muridnya (FN+FK)
Guru  inti ; sekolah menengah itu  penerang
b) inti & inti.
Contoh : Ibu bapa perlu mendidik anak (FN+FK)
Ibu  inti ; bapa  inti.

Dalam binaan frasa nama, penyusunan setiap konstituen amat pentng untuk menentukan sama ada frasa nama itu digunakan dengan betul atau tidak. Oleh itu, peraturan Hukum D-M, penggunaan kata bilangan serta panggilan dan penerang mestilah sesuai dalam frasa nama.

Hukum D-M ialah Hukum Diterang (D) dan Hukum Menerang (M). Dalam frasa nama, unsur inti yang berada pada kedudukan pertama adalah unsur diterangkan, dan pada kedudukan kedua merupakan unsur menerangkan.
Contoh : Guru bahasa ; Guru  inti / (D)
bahasa  penerang /(M)
Hukum D-M mempunyai beberapa kekecualian, antaranya ialah jawatan tertentu yang biasa digunakan seperti Perdana Menteri (sepatutnya Menteri Perdana) dan naib presiden (sepatutnya presiden naib).


2) Frasa Kerja (FK)

Frasa kerja terbina daripada satu perkataan sahaja (iaitu terdiri daripada kata kerja tak transitif) atau sederetan perkataan yang menjadi unsur predikat dalam ayat. Binaan frasa kerja terbahagi kepada dua :
a) Frasa kerja yang tidak mengadungi obejk dan tidak memerlukan kata nama sebagai penyambung untuk melengkapkannya. Kata kerja di sini ialah kata kerja tak transitif.
Contoh : Adik menangis (FN+FK)
b) Frasa kerja yang mengandungi objek selepas kata kerja untuk melengkapkan frasa ini. Kata kerja di sini ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek yang terdiri daripada kata nama. Objek berkenaan boleh diikuti oleh penerang.
Contoh : Saya menangkap burung gagak di hutan. (FN+FK) ; di sini :
burung gagak  objek
di hutan  penerang

3) Frasa Adjektif (FA)

Frasa adjektif boleh terbina daripada satu perkataan atau sederetan perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai inti. Frasa adjektif adalah unsur predikat dalam binaan ayat atau sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat, yang hadir selepas kata kerja. Manakala sebagai kata penerang, kata adjektif hadir selepas kata nama.

Binaa frasa adjektif yang terdiri daripada satu perkataan sahaja adalah seperti malas, muram, dan kosong. Frasa adjektif juga boleh dibahagikan kepada dua golongan :

a) Kombinasi dua kata adjektif yang menekankan beberapa unsur:
- keserasian makna. Contoh : cantik molek, penat lelah
- makna berlawanan. Contoh : baik buruk, kecil besar
- keindahan bunyi ritma. Contoh : lemah longlai, kusut masai

b) Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif sebagai inti dan kata nama sebagai penerang. Ia membawa dua maksud
- keserupaan. Contoh : merah darah , hijau daun
- kiasan. Contoh : panjang tangan, besar kepala

Dalam frasa adjektif, kata penguat boleh hadir dalam beberapa keadaan:
a) Di hadapan : paling degil, amat bijak
b) Di belakang : murah sekali, cepat benar
c) Secara bebas : amat cantik, cantik amat.
d) Secara berderetan : sungguh berani sekali, belum cerdik lagi

Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif hadir sebagai predikat, sebagai kata keterangan selepas kata kerja dan penerang selepas frasa nama. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif boleh mengalami susunan songsang. Contoh :
Rumah Ani amat besar sekali  Amat besar sekali rumah Ani

4) Frasa Sendi Nama (FS)

Frasa sendi nama ialah binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Dalam binaan ayat biasa, frasa sendi nama menjadi predikat dalam ayat.

Frasa sendi nama boleh dibentuk melalui empat cara :

a) Sendi nama dan frasa nama. Contoh : di pasar
b) Sendi nama, kata nama arah dan frasa nama. Contoh : di tepi pasar
c) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan ayat komplemen. Contoh : ke dalam hutan untuk menangkap rusa.
(binaan ketiga ini memperlihatkan kita bahawa unsur kata nama arah dan ayat komplemen merupakan unsur pilihan)
d) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan frasa keterangan. Contoh : di selatan negeri China pada tiap-tiap bulan.
(binaan keempat ini memperlihatkan unsur keterangan bersifat pilihan)

Peraturan Tatabahasa Menggunakan “bakal” dan “akan”

13 February 2010

Perkataan "bakal" dan "akan" amat berbeza. Kita boleh menulis "bakal isteri" tetapi tidak boleh menulis "akan isteri".

Perkataan "bakal" merujuk pada "status".

a. Dia bakal tunang saya.
b. Dia tunang saya.
c. Dia bekas tunang saya.

Perkataan "akan" merujuk kepada "mode".

a. Dia belum berkahwin.
b. Dia akan berkahwin.
c. Dia sudah berkahwin.

"bakal" sentiasa diikuti oleh katanama:

bakal isteri (BETUL)
bakal tunang (BETUL)
bakal ayah mertua (BETUL)
bakal perdana menteri (BETUL)
bakal ketua pengarah (BETUL)

"akan" sentiasa diikuti oleh katakerja:

akan lahir (BETUL) = bakal lahir (SALAH)
akan berkahwin (BETUL) = bakal berkahwin (SALAH)
akan dinikahkan (BETUL) = bakal dinikahkan (SALAH)
akan berpisah (BETUL) = bakal berpisah (SALAH)
akan rujuk (BETUL) = bakal rujuk (SALAH)
---
Sumber: UNIKA PTS

Angka Roman Tidak Memerlukan Awalan Ke

08 November 2009

Awalan ke tidak diperlukan untuk angka roman. Tuan Haji Muhammed Salehudin Aman menyatakan hal ini dalam ruangan “Cintai Bahasa Kita” dalam Dewan Siswa keluaran November 2009. Menurut beliau, jika angka itu angka roman, kata sendi ke dan tanda sempang tidak perlu ditulis.

Perkara ini tercatat juga dalam Koleksi Lembar Bahasa Bil 1. Cetakan pertama lembar ini adalah pada tahun 2002. Lembar ini dicetak ulang pada tahun 2006 dan 2007.

Ungkapan contoh yang salah dan yang betul adalah seperti yang di bawah:

*ke II → II
*ke-II → II
*ke III → III
*ke-III → III
*ke IV → IV
*ke-IV → IV
*ke V → V
*ke-V → V
*Kolokium Bahasa Melayu *ke VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Kolokium Bahasa Melayu *ke-VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Sukan SEA *ke XIV → Sukan SEA XIV
*Sukan SEA *ke-XIV → Sukan SEA XIV

------
Sumber asal: Blog Tuan Mohd Isa bin Abd Razak



Kata Pemeri Adalah dan Ialah

31 July 2009

Sumber: Blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

---

Berikut ada sebuah permintaan daripada Encik Danish.

Salam Tuan Prof.

Saya hendak bertanya.

Saya keliru dengan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Apa perbezaan antara dua perkataan itu, dan bagaimana hendak digunakan?

Terima kasih atas tunjuk ajar Tuan.

danish (dohimbang@yhoo.com)

Bahagian ini diambil daripada Tatabahasa Dewan edisi terakhir. Ini adalah Tatabahasa Dewan. Saya bukan pengarangnya.

Namun, saya sudah mencuba menyesuaikan bahasa dan poersembahannya supaya mudah difahami. Sila baca dengan teliti dan sekiranya masih ada kesukaran memahaminya, silalah kemukakan pertanyaan Encik kepada saya. Saya akan menjawab pertanyaan selanjutnya dengan menggunakan kaedah saya sendiri.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:

(i) secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
(ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.

Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:

148. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
149. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
150. Bahasa Melayu ialah bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

151. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
152. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu.

Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri ‘adalah’ dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tata nahu bahasa Melayu.

153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
154. * Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
155. * Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Ayat di atas seharusnya berbentuk seperti berikut:

Ayat 153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok, yang betul adalah seperti berikut:

153a. Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. ‘
153b. Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
153c. Ibu bapa diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153d. Tuan-tuan diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153e. Dengan hormatnya diberitahu sekolah akan ditutup esok.

Ayat 154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan, yang betul adalah sepert berikt:

154a. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154b. Tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154c. Anda dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

Ayat 155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin, yang betul adalah seperti berikut:

155a. Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

Ayat 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu, yang betul adalah seperti berikut:

156a. Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.


Ke-...-an: Imbuhan apitan atau bukan?

12 April 2009

Apitan merupakan imbuhan yang ditambahkan serentak pada hadapan dan pada belakang kata dasar.

keamanan = ke- + aman + -an
kesejukan = ke- + sejuk + -an
kementerian = ke- + menteri + -an

kewajipan = ke- + wajip + -an (?)


Adakah ke-...-an dalam kata 'kewajipan' merupakan imbuhan apitan atau terdapat kekecualian fungsinya sebagai imbuhan apitan?

Kata 'wajip' tidak terdapat dalam senarai Daftar Ejaan Rumi BM. Begitu juga tidak terakam dalam Kamus Dewan Edisi keempat. Dalam senarai panduan bahasa DBP dan Daftar Ejaan Rumi BM kata 'kewajipan' diperakukan penggunaannya dengan ejaan yang betulnya 'kewajipan'.

Jawapan atau Jawaban? ii

10 April 2009

Pandangan ini saya petik daripada blog Bahasa Melayuku. Kupasan yang diberikan berkaitan "jawapan" atau "jawaban" adalah jelas dan bersandarkan kepada beberapa hujah.

Sebuah syarikat penerbitan buku bersilibus yang terkenal di negara ini telah menulis "jawaban" bagi setiap buku yang diterbitkan oleh mereka. Maka di bahagian kulit belakang setiap buku Bahasa Malaysia (Melayu?) mereka mencatatkan bahawa mereka menjadikan Kamus Dewan sebagai dasar pembentukan kata tersebut. Walaupun dalam KD ada juga mencatatkan entri "jawapan", tetapi mereka lebih berbangga dengan pemilihan kata "jawaban".

Soalnya di sini, adakah sumber pegangan mereka itu tepat? Saya berpendapat pegangan
mereka itu adalah kurang tepat. Premis hujah saya ialah begini :

1) Dalam ilmu linguistik terdapat dua perkara asas yang berbeza. Yang pertama dikatakan sebagai lingusitik deskriptif, manakala satu lagi ialah lingusitik persekptif. Kedua-dua cabang lingusitik ini memang jelas perbezaannya. Lingusitik deskriptif ini ialah ilmu lingusitik yang khusus untuk mencatat, menganlisis apa-apa sahaja unsur linguitik dalam sesuatu bahasa. Sama ada yang dicatatkan dalam linguistik ini adalah salah atau betul, itu bukan yang menjadi asasnya. Yang termasuk dalam linguistik jenis ini ialah termasuklah sosiolinguistik, leksikografi, dan lingusitik rekonstruktif.

Manakala untuk lingusitik preskriptif ini ialah cabang ilmu linguistik yang akan menentukan salah atau betulnya sesuatu unsur bahasa, khasnya dalam soal tatabahasa. Yang termasuk dalam rangkuman cabang lingusitik ini termasuklah sistem ejaan.

2) Kamus Dewan (KD) merupakan kamus yang termasuk dalam pengkajian leksikografi. Leksikografi ialah cabang ilmu lingusitik yang berbentuk deskriptrif. Oleh sebab KD merupakan kamus, maka segala entri yang terdapat di dalamnya bukannya berdasarkan betul atau tepat sesuatu perkataan. Kamus merupakan suatu naskhah yang mendokumentasikan setiap unsur leksikal yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Dan leksikal ini boleh berbentuk apa-apa sahaja berdasarkan tujuan pembentukan sesuatu kamus. Maka dengan itu kita mempunyai Kamus Kata Ganda, Kamus Peribahasa, Kamus Geografi, dan yang seumpama dengannya. Berbalik kepada KD, tujuan penaskahannya ialah untuk mendokumentasikan segala bentuk leksikal yang terdapat dalam bahasa Melayu yang kemudiannya telah dijadikan entri bagi kamus tersebut. Dalam soal ini, tidak timbul sama ada sesuatu kata itu salah atau betul tatabahasanya. Selagi kata terdapat dalam bahasa Melayu, maka kata tersebut akan dijadikan sebagai suatu entri.

3) Untuk linguistik yang bersifat preskriptif, kita mempunyai Tatabahasa Dewan (tatabahasa yang menjadi tatabahasa pegangan di institusi pendidikan), Nahu Melayu Mutakhir, Tatabahasa Dinamika Bahasa Melayu dan banyak lagi buku-buku tatabahasa yang dihasilkan oleh pakar-pakar bahasa di Malaysia. Manakala untuk sistem ejaan pula, Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) dan Daftar Ejaan Bahasa Melayu merupakan buku panduan yang menjadi pegangan dalam pembentukan sesuatu ejaan.

Setelah kita memahami akan perkara asas ini, maka persoalan manakah yang tepat antara "jawapan" dan "jawaban", akan terungkai. Dalam buku Daftar Kata Bahasa Melayu (Edisi Kedua) tidak tercatat kata "jawaban". Begitu juga dengan buku daftar Ejaan Bahasa Melayu, pun tidak tercatat kata "jawaban". Yang ada ialah "jawapan" sahaja.

Ada yang mengatakan buku Daftar Ejaan Bahasa Melayu sudah ketinggalan kerana sudah lama tidak dikemaskinikan. Sebenarnya yang membangkitkan perkara ini tidak memahami ilmu lingusitik itu sendiri. Jawapan saya begini : sistem ejaan baharu yang telah dilancarkan dan diterima pakai semenjak 1973 adalah berbeza sama sekali dengan sistem tatabahasa. Sistem ejaan tidak akan mengalami perubahan secara dinamik. Kalau begitu sifat ejaannya, maka begitulah kewujudannya. Namun begitu, bagi sistem tatabahasa, oleh sebab sifatnya yang dinamik, maka sesuatu tatabahasa itu mungkin akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Pun begitu, perubahannya tidaklah berlaku secara intensif dan berkala. Misalnya, dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, ada dimasukkan Kata Adverba dalam kelompok Kata Tugas. Sebenarnya, Kata Adverba yang dimasukkan ke dalam TD ini bukanlah suatu penemuan baharu. Kemasukannya hanyalah atas dasar untuk memudahkan pendokumentasian bagi aspek leksikografi (perkamusan). Sebenarnya Kata Adverba itu telahpun dapat diterangkan oleh Kata Keterangan yang sebelum ini ada dibincangkan dalam buku Tatabahasa Dewan edisi terdahulu.

Jadi kesimpulannya ialah, "Jawaban" itu salah, manakala "jawapan" itulah yang sebenarnya. Sebenarnya banyak lagi hujah untuk membuktikan "jawapan" itu yang betul. Hujah-hujah itu akan menyusul dalam artikel yang ke seterusnya.
.......................................................................................

Sumber: http://bahasa-melayu-ku.blogspot.com/2009/01/jawapan-atau-jawaban.html

Jawapan atau jawaban?

30 March 2009

Memang telah menjadi suatu kelaziman bagi masyarakat kita, apabila berlaku sesuatu perubahan, kita akan mengambil masa yang lama untuk menerimanya. Untuk pengetahuan saudara, Kamus Dewan Edisi Keempat (hlm.615) telah mencatatkan seperti hal yang demikian:

jawaban, jawapan 1. jawab, balas (an)2. sesuatu yang dituliskan sebagai penyelesaian atau keputusan terhadap sesuatu soalan atau masalah (terutamanya dalam ujian bertulis).

Oleh itu, kedua-dua patah perkataan itu betul dan diterima pakai. Namun begitu, dari segi morfologinya, yang lebih tepat ialah jawaban. Perkataan ini berasal daripada perkataan jawab. "Jawab", apabila dibubuh imbuhan -an, maka yang terhasil tentulah "jawaban". Bentuk "jawapan" telah lama digunakan dalam masyarakat, dan oleh sebab itulah, untuk tidak mahu menimbulkan kesulitan kepada pengguna bahasa, kedua-dua bentuk diterima, walaupun bentuk "jawaban" yang seharusnya digunakan.

Sumber: Blog Azhar Salleh (Munsyi Dewan)http://witra.blogspot.com/2009/03/tatabahasa-mengikut-atau-mengikuti.html>

Kewajiban atau kewajipan ?

12 March 2009

Persoalan ini ditanya oleh student dalam ruang sembang.
Penjelasan ringkas saya adalah seperti berikut:

i) Ejaan yang betul ialah kewajipan. (sila rujuk Kamus Dewan & Koleksi Lembar Bahasa (2002-2003)


ii) Persoalan ini juga diungkapkan dalam http://www.semestian.net/ghalib.
Berikut adalah penjelasannya:

Jawapan atau Jawaban, Kewajipan atau Kewajiban??
Posted on Tuesday 6 March 2007

Lihatlah jawapan yang diberikan oleh pegawai daripada Bahagian Khidmat Nasihat Bahasa DBP kepada Editor Buku Pearson Malaysia Bhd.

From: sbmbsys@dbp.gov.my

Salam sejahtera ZULKIFLI BIN JAMAASIM,

Soalan: KDE4 cenderung menggunakan bentuk “jawaban” dan “kewajiban” dlm ayat contohnya berbanding bentuk “jawapan” dan “kewajipan”. Apa komen pihak Tuan tentang hal ini.

Jawapan: Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.

Terima kasih diucapkan kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat Bahasa.

Sekian, terima kasih.
.....................................

Mudah-mudahan dapat membantu.

“Gerko” Tiada dalam Kamus Dewan

09 March 2009

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |26 Februari 2009|
Artikel ini juga dipaparkan dalam blog penulis artikel ini di
(http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com)


MENURUT Kamus Dewan, kokurikulum ialah kurikulum yang sebahagian daripada kurikulum asas. Ungkapan kegiatan (aktiviti) kokurikulum pula dijelaskan sebagai kegiatan atau aktiviti, selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian kursus pendidikan pelajar di sekolah.

Pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an, ungkapan baru 'gerak kerja kokurikulum' mula digunakan di maktab perguruan. Akronim ungkapan itu ialah `gerko'. Ada satu lagi akronim digunakan di maktab perguruan, iaitu 'kokum'. Penggunaan akronim ini terbatas di beberapa maktab perguruan saja.

Sejak awal 1980-an, penggunaan perkataan gerko meluas. Perkataan itu tercatat dalam beberapa banyak dokumen bertulis di institut pendidikan guru (IPG). Misalnya, unit gerko, setiausaha gerko, dan sukatan pelajaran gerko.

Carian dengan Google baru-baru ini menunjukkan semua ungkapan ini tersebar di internet. Ungkapan 'unit gerko' mencatat kekerapan tertinggi, iaitu terdapat lebih 4,500 dokumen.

Dokumen terpenting yang menunjukkan luas dan mantapnya penggunaan perkataan gerko ialah sukatan pelajaran gerko. Dokumen kualiti `Pelaksanaan Gerko' dalam pengurusan sistem kualiti IPG pula mengukuhkan lagi penggunaan perkataan itu.

Selain itu, perkataan gerko tersebar luas di kalangan masyarakat melalui bahan bercetak terbitan IPG dan penerbit buku.

Rumusannya, perkataan gerko sudah wujud dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 30 tahun lalu. Penyebaran perkataan itu luas dan kekerapan penggunaannya tinggi.

Perkataan yang sudah lama wujud, luas penyebarannya dan tinggi kekerapan penggunaannya dapatlah dikatakan sudah mantap. Perkataan yang sebegini sepatutnya dapat dikesan dalam Kamus Dewan edisi terkini.

Namun, perkataan ini tidak ada dimasukkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Mengapakah perkara ini berlaku? Dewan Bahasa dan Pustaka mungkin ada jawapannya.

MOHD ISA ABD RAZAK,
Seremban,
Negeri Sembilan.


Ini kerana ?

21 February 2009

Sumber:http://witra.blogspot.com/

Salam hormat,

1. Sering saya ditanya oleh kalangan pelajar dan guru tentang terjemahan dalam bahasa Melayu bagi frasa "that is because".

2. Pertama sekali, yang perlu kita sedari ialah penggunaan "ini kerana" merupakan
terjemahannya yang sering digunakan, oleh hampir kebanyakan masyarakat dan media.

3. Saya ingin menyatakan bahawa frasa "ini kerana" tidak tepat, dan kesilapan ini telah lama dibetulkan. Saya percaya banyak guru dan pelajar telah mengetahui hal ini.

4. Maka, oleh sebab itu, bentuk yang baharu digunakan untuk menggantikan frasa "ini kerana", iaitu "hal ini demikian kerana".

5. Namun begitu, persoalannya, adakah bentuk "hal ini demikian kerana" itu betul?

6. Mari kita kaji hal ini secara ringkas.

7. Ayat mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek terdiri daripada frasa nama manakala predikat boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

8. Bagi bentuk "hal ini demikian kerana", yang manakah yang menjadi subjeknya?

9. Ya, subjeknya ialah "hal ini". Bagaimanakah pula dengan predikatnya?

10. Adakah predikatnya, "demikian kerana"?

11. Jikalau bukan, adakah "demikian"?

12. Banyak orang beranggapan bahawa "demikian" ialah predikatnya, dan "kerana" merupakan keterangan predikat.

13. Ya, itulah pegangan kebanyakan orang. Tetapi, jikalau kita menyatakan bahawa "demikian" itu menjadi predekikatnya, apakah golongan katanya.

14. Saya telah menyatakan bahawa predikat hanya terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

15. Jelas sekali, perkataan "demikian" tidak tergolong dalam mana-mana golongan kata yang boleh dijadikan konstituen predikat. Perkataan "demikian" merupakan golongan kata adverba. Untuk makluman, golongan kata adverba merupakan jenis kata baharu yang disenaraikan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008).

16. Dan, kata adverba tidak boleh dijadikan konstituen predikat kerana kata adverba merupakan kata tugas.

17. Oleh sebab itu, bentuk "hal ini demikian kerana" tidak tepat kerana bentuk tersebut tidak mempunyai predikat.

18. Untuk membetulkannya, kita perlu memasukkan unsur predikat agar bentuk yang terbina betul.

19. Unsur predikat yang dicadangkan adalah seperti "berlaku" dan "terjadi". Bentuk yang terbina akan menjadi "hal ini berlaku demikian kerana" ataupun "hal ini terjadi demikian kerana".

20. Subjeknya ialah "hal ini"; predikatnya "berlaku/terjadi"; dan "demikian" merupakan adverba atau keterangan bagi kata kerja "berlaku/terjadi". Perkataan "kerana" tetap menjadi keterangan predikat.

21. Oleh sebab itu, elakkanlah penggunaan bentuk "ini kerana" atau "hal ini demikian kerana" agar mutu tatabahasa kita terpelihara dan kesilapan dapat dielakkan. Mulai sekarang, gunakanlah bentuk "hal ini berlaku demikian kerana...".

* Jika pengunjung memerlukan khidmat nasihat tentang tatabahasa, saya sedia membantu saudara kerana saya percaya bahawa bantu-membantu akan menjadikan kita lebih dewasa dan berfikiran terbuka, luas, dan inilah salah satu cara untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

url: http://witra.blogspot.com/2009/02/tatabahasa-ini-kerana.html

Batasan Penggunaan Kata Pemeri "Adalah"

20 February 2009

Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat dalam bahasa Melayu. Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.

153. *Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.

154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecualian pihak pengurusan syarikat.

Ayat yang di atas seharusnya berbentuk seperti yang berikut:

153 (a) Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “anda”, “ibu bapa”, “tuan-tuan” atau “dengan hormatnya”.)

154 (a) Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “tuan” atau “anda”.)

155 (a) Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

156 (a) Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu. (Kata pemeri adalah di hadapan kata kerja disebabkan sudah digugurkan.)

Petikan daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), halaman 264 – 265 dengan sedikit penyesuaian.

Nota
Tanda * menunjukkan ayat itu tidak gramatis.


url: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/02/batasan-penggunaan-kata-pemeri-adalah.html


Bahasa Jiwa Bangsa