Bahasa Jiwa Bangsa

Bahasa Menunjukkan Bangsa

30 September 2014

Orang Melayu merupakan bangsa yang suka berkias dalam percakapan mereka. Dengan perkataan lain, orang Melayu tidak suka berterus-terang untuk menyampaikan sesuatu maksud. Gaya berbahasa ini merupakan seni dalam perhubungan antara orang Melayu dalam kelompok mereka.

Sumber artikel: Sinar Harian

Bahasa Menunjukkan Bangsa

Muhammad Daud |25 September 2014

PERIBAHASA Melayu “Bahasa Menunjukkan Bangsa” bermaksud bahasa menjadi lambang keperibadian masyarakat atau sesuatu bangsa. Dalam konteks ini, bahasa bukan hanya merujuk sistem bahasa yang digunakan tetapi juga berkaitan cara atau gaya berbahasa masyarakat berkenaan.

Hal ini bermaksud bahasa dan cara berbahasa orang Melayu secara langsung menggambarkan keperibadian, pemikiran dan identiti bangsa Melayu itu sendiri. Keperibadian dan pemikiran bangsa Melayu digambarkan melalui cara orang Melayu berbahasa.

Orang Melayu merupakan bangsa yang suka berkias dalam percakapan mereka. Dengan perkataan lain, orang Melayu tidak suka berterus-terang untuk menyampaikan sesuatu maksud. Gaya berbahasa ini merupakan seni dalam perhubungan antara orang Melayu dalam kelompok mereka.

Sifat orang Melayu ini dapat digambarkan melalui penggunaan peribahasa Melayu yang penggunaannya begitu berleluasa merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Peribahasa ‘biar putih tulang jangan putih mata’, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’, ‘kalau takut kepada ombak jangan berumah di tepi pantai’ menggambarkan kiasan orang Melayu untuk menzahirkan cita-cita dan keinginan mereka yang tinggi.

Penggunaan pantun dalam kehidupan orang Melayu ketika berkomunikasi contohnya ketika majlis peminangan menggambarkan sikap orang Melayu yang berkias dalam menyampaikan hasrat.

Biasanya dalam pantun peminangan terdapat frasa ‘memetik bunga di taman’ yang membawa maksud ingin meminang seorang gadis yang masih dalam jagaan orang tuanya. Penggunaan pembayang pantun sama ada satu, dua, tiga atau empat kerat sebelum maksud menunjukkan orang Melayu tidak gopoh dalam menyampaikan hasrat.

Orang Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun yang digambarkan melalui penggunaan bahasa halus dalam komunikasi. Sesuatu perkataan yang dapat menyinggung perasaan orang lain tidak akan diucapkan secara langsung terutama dalam soal yang berkaitan musibah, seks dan pantang larang.

Bahasa halus yang biasa digunakan ialah pulang ke rahmatullah (mati), disimpan (dikuburkan), pengawal keselamatan (jaga), nafkah batin (hubungan seks suami dan isteri), datang bulan (haid), Pak Belang (harimau), Sang Rangkak (buaya), tali pinggang (ular) dan lain-lain lagi. Orang Melayu tidak digalakkan menuturkan perkataan yang kasar kerana dianggap tidak sopan.

Ada sesetengah pihak yang mempertikaikan protokol majlis di negara kita yang terlalu memuliakan tetamu sehingga menyebut nama tetamu satu persatu dalam ucapan. Bermula daripada Yang Mulia Pengerusi Majlis, tetamu utama, tetamu lain sehinggalah kepada pihak yang paling rendah kedudukannya dalam majlis disebut satu persatu, malah ada dalam majlis tertentu, menyenaraikan nama tetamu ini memakan lebih daripada dua minit.

Penggunaan kata panggilan dalam majlis ini merupakan suatu identiti berbahasa Melayu yang tidak begitu diamalkan dalam budaya masyarakat Barat. Sebenarnya cara berbahasa ini merupakan keistimewaan orang Melayu kerana orang Melayu sebenarnya amat memuliakan tetamunya.

Dalam buku Sejarah Melayu ada diceritakan tentang perjanjian atau waadat antara Sang Sapurba yang mewakili golongan pemerintah dengan Demang Lebar Daun yang mewakili golongan rakyat biasa. Melalui waadat ini termeterailah perjanjian bahawa golongan raja wajib ditaati walaupun melakukan kezaliman, manakala rakyat biasa pula jika melakukan kesalahan hendaklah dihukum dengan cara yang tidak memalukan.

Jika salah satu pihak, sama ada raja atau rakyat bawahan yang melanggar perjanjian ini maka mereka akan ditimpa bala. Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada konsep kesetiaan kepada raja dalam kehidupan mereka. Golongan raja dianggap mulia dan sepatutnya diberi penghormatan yang sewajarnya.

Sehubungan dengan itu, keperibadian orang Melayu ini telah diterjemahkan dalam bentuk penggunaan bahasa halus laras istana seperti patik, tuanku, junjung kasih, ampun tuanku, mencemar duli sekali gus menggambarkan orang Melayu begitu beradab apabila berkomunikasi dengan golongan raja.

Kemajuan dan kemodenan dunia menyebabkan bahasa dan cara berbahasa orang Melayu kurang diutamakan dalam kalangan masyarakat. Dalam dunia hari ini, maklumat perlu disampaikan dengan pantas kerana persaingan amat sengit dalam mengejar kejayaan dalam pelbagai bidang.

Sesiapa yang lambat dan lemah dalam mengambil peluang dan ruang pasti akan ketinggalan. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kemajuan dan kemodenan kerana perkara itu di luar kawalan kita lebih-lebih lagi perkembangan ini turut menguntungkan manusia sejagat.

Bagaimanapun, kita perlu mengekalkan keindahan berbahasa dalam kalangan orang Melayu agar identiti dan keperibadian orang Melayu terus dikenali. Dirgahayu Bahasaku!

---------------
Sumber artikelhttp://www.sinarharian.com.my/kolumnis/bahasa-menunjukkan-bangsa-1.319785

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa