Bahasa Jiwa Bangsa

Memperkasa Bahasa Melayu di Sekolah

29 August 2015


Di sekolah, guru Bahasa Melayu (BM) berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mendidik pelajar agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Apa tidaknya, ketika guru BM berbuat demikian, terdapat sesetengah guru mata pelajaran bukan BM tidak mempedulikan langsung tentang aspek kebahasaan.

Bagi mereka, soal binaan ayat, penggunaan imbuhan, dan ejaan yang betul tidak penting asalkan perkara yang disampaikan itu difahami pelajar.


Sumber: Sinar Harian


Cabaran memperkasa BM di sekolah

NAWI ISMAIL | 19 FEBRUARI 2015

MENURUT Kamus Dewan, memperkasakan bermaksud menjadikan sesuatu hebat. Frasa memperkasakan bahasa Melayu bermakna menjadikan bahasa Melayu hebat. Untuk menjadikan bahasa Melayu sedemikian, keyakinan rakyat terhadap keupayaan bahasa itu memainkan peranan sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, dan bahasa perpaduan amat penting.

Pada masa sama, usaha untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul perlu dilakukan agar bahasa kebangsaan tidak menjadi bahasa rojak yang boleh menjejaskan kewibawaannya.

Di sekolah, guru Bahasa Melayu (BM) berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mendidik pelajar agar menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Apa tidaknya, ketika guru BM berbuat demikian, terdapat sesetengah guru mata pelajaran bukan BM tidak mempedulikan langsung tentang aspek kebahasaan.

Bagi mereka, soal binaan ayat, penggunaan imbuhan, dan ejaan yang betul tidak penting asalkan perkara yang disampaikan itu difahami pelajar.

Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, memang terdapat segelintir pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam BM bagi peperiksaan bertulis, tetapi pelajar yang berkenaan amat lemah apabila berkomunikasi secara lisan. Penggunaan dialek yang berterusan, termasuk di sekolah adalah antara faktornya.

Di sekolah, memang terdapat segelintir guru yang cenderung menggunakan dialek ketika mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dan juga semasa menyampaikan ucapan dalam perhimpunan pagi di sekolah.

Kecelaruan semakin ketara apabila akhir-akhir ini terpampang pelbagai slogan atau nama program yang tertulis dalam dialek tertentu dengan pelbagai kesalahan bahasa dan ejaan. Lebih aneh lagi, perkara ini turut dilakukan oleh unit-unit tertentu dalam organisasi pendidikan.

Selain menampakkan ketidakfahaman pihak yang berkenaan terhadap konteks penggunaan bahasa rasmi, tindakan tersebut seolah-olah menggalakkan penggunaan dialek dalam kalangan pelajar. Mampukah pelajar menggunakan bahasa Melayu dengan betul sekiranya mereka berada dalam persekitaran penggunaan dialek yang berterusan?

Penggunaan bahasa rojak, sama ada oleh media cetak atau media elektronik turut mempengaruhi penguasaan bahasa Melayu pelajar dan masyarakat. Kini, kebanyakan pelajar gemar sekali meniru individu tertentu yang barangkali berasa hebat apabila berbicara dengan menggunakan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris.

Penggunaan bahasa slanga oleh rakan-rakan dan amalan menggunakan bahasa SMS pula tidak kurang pentingnya dalam mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu pelajar di sekolah, termasuk ketika menjawab soalan peperiksaan. Perkara ini merupakan satu lagi cabaran kepada guru BM dalam usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu di institusi yang mulia itu.

Masalah kesalahan bahasa, khususnya pada papan tanda kerap diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu, terutama apabila musim Kempen Bahasa tiba. Dari segi realitinya, masalah ini bukan sahaja tidak diambil peduli oleh pihak-pihak yang berkenaan, malah kadangkala lebih banyak kesalahan ditonjolkan.

Sebagai contoh, ketika pencinta bahasa kebangsaan mempersoalkan penggunaan nama tempat, misalnya presint, waterfront, dan yang seumpamanya, pihak lain pula dengan bangganya memperkenalkan nama kereta kebangsaan Proton Preve, Perodua Myvi dan cogan kata “lagi power lagi best”. Jika demikianlah sikap kita, wajarkah kita berbicara tentang memperkasakan bahasa Melayu?

Tindakan sedemikian menampakkan bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai nilai ekonomi. Demikianlah sikap segelintir rakyat negara kita yang mulai kehilangan jati diri tanpa disedari.
Situasi ini juga mengingatkan penulis tentang bijaknya penjajah membebaskan negara kita setelah menyedari bahawa minda rakyat negara ini sudah terjajah kukuh. Dari aspek yang lain pula, situasi ini secara tidak langsung memperkecil usaha pihak yang memperjuangkan bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, usaha untuk memperkasa bahasa Melayu perlu diteruskan. Sehubungan itu, guru BM dan pencinta bahasa kebangsaan hendaklah menangani cabaran tersebut dengan berbekalkan keyakinan bahawa kita melaksanakan tindakan yang wajar. Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok warganegara yang merosakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur * Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa