PEMBAZIRAN tenaga elektrik yang ketara di kalangan masyarakat Malaysia ketika ini boleh dibendung sekiranya pengguna lebih menghargai tenaga elektrik dan menerima hakikat subsidi elektrik sedang dikurangkan secara berperingkat.
Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), Gurmit Singh, berkata kebanyakan pengguna selesa dengan kadar elektrik yang begitu murah di negara ini sehingga menyebabkan mereka berpendapat penggunaan elektrik adalah satu kemudahan dan bukan keperluan.
"Contohnya, anda berasa mudah memasak air menggunakan elektrik tetapi tahukah anda kos bagi memasak air dengan cara ini adalah sekali ganda mahalnya berbanding memasak air menggunakan dapur gas," katanya ketika ditanya usaha membudayakan penjimatan dalam penggunaan tenaga elektrik.
Merujuk kepada kajian kecekapan tenaga yang dikendalikan CETDEM pada 2006, Gurmit berkata penggunaan gas di kalangan pengguna masih rendah. Kajian itu mendapati bahan api adalah penggunaan tenaga terbesar isi rumah iaitu 75 peratus, diikuti elektrik (20 peratus) dan gas hanya pada 5.0 peratus.