Bahasa Jiwa Bangsa

Dr. Victor Pogadaev : Bahasa Memerlukan Cinta

24 February 2009




Ujian Bahasa Melayu (Tingkatan 6 dan Tingkatan 4)

23 February 2009

Tingkatan 6

Skop soalan:

Soalan 1:
Alih bentuk teks

Soalan 2:
(a) - Analisis kesalahan bahasa
(b) -Analisis kesalahan bahasa

Jawab semua soalan.

Masa: 1 1/2 jam
......................................................

Tingkatan 4

Skop soalan:

Soalan 1:
Rumusan

Soalan 2:
Pemahaman

Soalan 3:
a) Kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan
b) Kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan bahasa

Jawab semua soalan.

Masa: 1 jam


Selamat menjawab.

Ini kerana ?

21 February 2009

Sumber:http://witra.blogspot.com/

Salam hormat,

1. Sering saya ditanya oleh kalangan pelajar dan guru tentang terjemahan dalam bahasa Melayu bagi frasa "that is because".

2. Pertama sekali, yang perlu kita sedari ialah penggunaan "ini kerana" merupakan
terjemahannya yang sering digunakan, oleh hampir kebanyakan masyarakat dan media.

3. Saya ingin menyatakan bahawa frasa "ini kerana" tidak tepat, dan kesilapan ini telah lama dibetulkan. Saya percaya banyak guru dan pelajar telah mengetahui hal ini.

4. Maka, oleh sebab itu, bentuk yang baharu digunakan untuk menggantikan frasa "ini kerana", iaitu "hal ini demikian kerana".

5. Namun begitu, persoalannya, adakah bentuk "hal ini demikian kerana" itu betul?

6. Mari kita kaji hal ini secara ringkas.

7. Ayat mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek terdiri daripada frasa nama manakala predikat boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

8. Bagi bentuk "hal ini demikian kerana", yang manakah yang menjadi subjeknya?

9. Ya, subjeknya ialah "hal ini". Bagaimanakah pula dengan predikatnya?

10. Adakah predikatnya, "demikian kerana"?

11. Jikalau bukan, adakah "demikian"?

12. Banyak orang beranggapan bahawa "demikian" ialah predikatnya, dan "kerana" merupakan keterangan predikat.

13. Ya, itulah pegangan kebanyakan orang. Tetapi, jikalau kita menyatakan bahawa "demikian" itu menjadi predekikatnya, apakah golongan katanya.

14. Saya telah menyatakan bahawa predikat hanya terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.

15. Jelas sekali, perkataan "demikian" tidak tergolong dalam mana-mana golongan kata yang boleh dijadikan konstituen predikat. Perkataan "demikian" merupakan golongan kata adverba. Untuk makluman, golongan kata adverba merupakan jenis kata baharu yang disenaraikan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008).

16. Dan, kata adverba tidak boleh dijadikan konstituen predikat kerana kata adverba merupakan kata tugas.

17. Oleh sebab itu, bentuk "hal ini demikian kerana" tidak tepat kerana bentuk tersebut tidak mempunyai predikat.

18. Untuk membetulkannya, kita perlu memasukkan unsur predikat agar bentuk yang terbina betul.

19. Unsur predikat yang dicadangkan adalah seperti "berlaku" dan "terjadi". Bentuk yang terbina akan menjadi "hal ini berlaku demikian kerana" ataupun "hal ini terjadi demikian kerana".

20. Subjeknya ialah "hal ini"; predikatnya "berlaku/terjadi"; dan "demikian" merupakan adverba atau keterangan bagi kata kerja "berlaku/terjadi". Perkataan "kerana" tetap menjadi keterangan predikat.

21. Oleh sebab itu, elakkanlah penggunaan bentuk "ini kerana" atau "hal ini demikian kerana" agar mutu tatabahasa kita terpelihara dan kesilapan dapat dielakkan. Mulai sekarang, gunakanlah bentuk "hal ini berlaku demikian kerana...".

* Jika pengunjung memerlukan khidmat nasihat tentang tatabahasa, saya sedia membantu saudara kerana saya percaya bahawa bantu-membantu akan menjadikan kita lebih dewasa dan berfikiran terbuka, luas, dan inilah salah satu cara untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

url: http://witra.blogspot.com/2009/02/tatabahasa-ini-kerana.html

Batasan Penggunaan Kata Pemeri "Adalah"

20 February 2009

Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat dalam bahasa Melayu. Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh demikian, penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.

153. *Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.

154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecualian pihak pengurusan syarikat.

Ayat yang di atas seharusnya berbentuk seperti yang berikut:

153 (a) Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “anda”, “ibu bapa”, “tuan-tuan” atau “dengan hormatnya”.)

154 (a) Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan. (Frasa dengan ini dapat digantikan dengan “tuan” atau “anda”.)

155 (a) Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

156 (a) Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu. (Kata pemeri adalah di hadapan kata kerja disebabkan sudah digugurkan.)

Petikan daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), halaman 264 – 265 dengan sedikit penyesuaian.

Nota
Tanda * menunjukkan ayat itu tidak gramatis.


url: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/02/batasan-penggunaan-kata-pemeri-adalah.html

Tatabahasa: Ketaksaan ayat

17 February 2009

Muhammed Salehudin Aman (Munsyi Dewan DBP)
Sumber: Akhbar Sisipan Tutor


Sepotong ayat dapat menerbitkan beberapa maksud yang tertentu. Hal ini demikian bergantung pada lagu bahasa atau intonasi ayat itu diucapkan. Ayat yang dapat menghasilkan pelbagai maksud dikatakan ayat yang mempunyai unsur ketaksaan (ambiguity). Dengan kata lain, ketaksaan ditakrifkan sebagai sifat binaan atau konstruksi yang dapat diberi lebih daripada satu tafsiran. Telitilah ayat yang berikut:
1. Ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia.

Ayat ini mengandungi unsur ketaksaan kerana dapat diertikan sebagai ibu kepada bapa (iaitu nenek) Mustafa telah meninggal dunia, atau kedua-dua ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia. Untuk dapat mengenal pasti perbezaan erti ini, kita perlu, secara intuisi, menyedari kewujudan dua jenis binaan ayat yang berbeza. Kita begitu mudah memahami maksud yang terkandung dalam ayat ini jika diucapkan dengan lagu bahasa (intonasi) yang berbeza bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan.


Dalam ayat 1 di atas, jika kita meletakkan tekanan pada kata ibu, kemudian diikuti dengan jeda (hentian sebentar), pastilah ayat ini menyatakan bahawa ibu kepada bapa Mustafa (nenek Mustafa) telah meninggal dunia.

Sebaliknya, jika tiada tekanan pada perkataan ibu dan tanpa jeda dalam mengucapkan ayat tersebut, maka maksud yang terkandung menyatakan bahawa kedua-dua ibu bapa Mustafa yang meninggal dunia, bukan neneknya.

Jelas bahawa dalam ujaran, intonasi dan jeda memainkan peranan sebagai penentu kepada maksud yang didukung oleh sesuatu ayat. Dalam bentuk tulisan, hal ini dapat dijelaskan dengan penggunaan tanda baca untuk menentukan ketaksaan ayat berkenaan. Marilah kita teliti ketaksaan ayat-ayat yang berikut ini:
2. Orang itu dibunuh jangan dibebaskan.
3. Saya makan nasi ayam.
4. Beri saya rantai beruk.
5. Saya makan roti John di bawah pokok.

Ada dua maksud yang tersirat dalam ayat 2. Pertama, orang itu jangan dibunuh, tetapi hendaklah dibebaskan. Maksud yang pertama ini dapat ditentukan dengan membubuh tanda koma bertitik (;) selepas perkataan jangan, menghasilkan ayat pasif Orang itu jangan dibunuh; dibebaskan. Koma bertitik wajar diletakkan di situ sebagai pemisah klausa/ayat yang dimulai dengan kata hubung “tetapi”. Koma bertitik itu juga meletakkan jeda berada di situ. Ayat asalnya ialah Orang itu jangan dibunuh tetapi (orang itu) dibebaskan, dengan frasa nama kedua orang itu digugurkan dalam klausa/ayat kedua kerana frasa nama ini merupakan frasa nama yang sama dalam klausa/ayat yang pertama.

Maksud yang kedua ayat kedua ini ialah bahawa orang itu dibunuh, dan jangan dibebaskan. Maksud ini ditentukan apabila tanda baca dibubuhkan selepas perkataan dibunuh.
2. (a) Orang itu dibunuh; jangan dibebaskan. atau
2. (b) Orang itu dibunuh! Jangan dibebaskan.

Ayat 3 menunjukkan satu penyataan saya beri kepada seseorang, bagi menerangkan perbuatan saya, iaitu saya sedang makan nasi; dan nasi yang saya makan itu ialah nasi ayam. Tidak ada sebarang tanda baca atau tekanan dalam ayat tersebut. Ayat ini diucapkan secara bersahaja menurut lagu bahasa ayat penyata bahasa Melayu menurut tingkat nada 2-4-2-3 sebagai lambang turun naik nada suara. Kedudukan tingkat nada ini ditunjukkan seperti yang berikut:
2 4 2 3
Saya ma kan nasi a yam

Jika tingkat nada terhenti sebentar selepas kata nasi: Saya makan nasi, ayam!, maka maksudnya berlainan daripada maksud yang pertama. Kali ini saya memberitahu ayam (bukan lagi manusia yang bertanya) yang saya makan nasi. Perhatikan betapa luas jurang perbezaan makna oleh ketaksaan unsur ayat tersebut.

Ketaksaan ayat ketiga hampir sama dengan ayat yang kedua, iaitu seseorang meminta ia diberikan rantai beruk (rantai untuk mengikat beruk) untuk maksud yang pertama; dan maksud yang kedua pula menyatakan bahawa ia (seseorang) memberukkan orang yang diminta menyerahkan rantai kepadanya.

Ayat 4 juga membawa maksud yang berbeza. Ayat ini menyatakan bahawa saya makan roti John di bawah pokok. Roti John ialah nama sejenis roti yang sangat digemari oleh anak muda kini. Sebaliknya, Jika dalam ucapan berlaku hentian selepas perkataan roti, kemudian disambungkan ujaran dengan ayat John di bawah pokok, maka ayat 4 ini menghasilkan dua ayat yang berbeza ceritanya. Cerita pertama mengisahkan saya makan roti, dan roti itu ialah roti John; dan kisah yang kedua pula menyatakan John berada di bawah pokok.

Demikian wajah ayat yang mengandungi unsur ketaksaan, kerana satu pola ayat tidak semestinya mempunyai satu makna. Satu pola ayat yang sama dapat diertikan dengan lebih daripada satu pengertian. Jadi, untuk dapat mengenali perbezaan erti ini kita perlulah menyedari kewujudan dua erti yang terkandung dalam satu ayat yang sama itu. Hanya intuisi berbahasa kita yang dapat menentukannya.

Sumber: http://witra.blogspot.com/2009/02/tatabahasa-ketaksaan-ayat.html

Bacaan 3: Manis yang memikat selera

15 February 2009

Gula hanya perisa yang mengandungi kalori tetapi tiada khasiat.Ia digunakan hanya untuk menaikkan rasa makanan dan sebagai mana yang kita tahu, makanan manis memang lebih mudah diterima, terutama di kalangan kanak-kanak.
Bahaya gula
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

BERITA kenaikan harga gula selepas sambutan Tahun Baru Cina ini pasti meresahkan ramai pengguna. Mana tidaknya, dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ini, harga barang keperluan harian pula meningkat.

Memang ia berita yang kurang sedap didengar tetapi jika difikirkan semula, mungkin ini boleh dijadikan titik tolak untuk memperbaiki tahap kesihatan.

Sebenarnya semua orang, tidak kira kanak-kanak, remaja atau orang dewasa, tidak memerlukan gula. Gula hanya perisa yang mengandungi kalori tetapi tiada khasiat.

Ia digunakan hanya untuk menaikkan rasa makanan dan sebagai mana yang kita tahu, makanan manis memang lebih mudah diterima, terutama di kalangan kanak-kanak.

Manis dan masin adalah rasa yang dipelajari sejak kanak-kanak. Berbanding rasa masin garam, kemanisan gula lebih memikat selera.

Ini sebabnya ada ibu bapa memasukkan gula dalam makanan anak untuk menggalakkan mereka makan. Namun kesilapan kecil ini merangsang cita rasa anak terhadap makanan manis dan ia biasanya berlanjutan hingga dewasa.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati, rakyat negara kita mengambil kira-kira 125 gram sehari atau 875 gram seminggu; lebih dua kali ganda daripada had disaran iaitu hanya 50 gram atau tidak melebihi 10 camca teh.

Bukan rakyat Malaysia saja yang mengambil banyak gula, malah ia juga berlaku pada masyarakat Barat, termasuk Amerika Syarikat. Akhbar melaporkan, secara purata rakyat Amerika mengambil antara 900 hingga 1,350 gram gula seminggu!

Namun ini bukan perkara yang perlu dicontohi atau dijadikan saingan kerana banyak kajian menunjukkan pengambilan gula berlebihan hanya memudaratkan kesihatan. Malah, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, menyarankan pengguna mengurangkan meminum minuman ringan yang dihasil menggunakan gula fruktosa yang mengandungi lebih 50 peratus gula sukrosa.

Katanya, penyelidik mendapati tindakan fruktosa dalam badan berbeza daripada gula jenis lain kerana ia dimetabolismakan dengan cara yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan kerana ia tidak menghalang tindakan ghrelin iaitu hormon rasa lapar.

Maknanya, fruktosa meningkatkan kecenderungan kita untuk makan dan makan berlebihan itu adalah penyumbang utama kenaikan berat badan.

Gula sebenarnya adalah karbohidrat. Sumber penting tenaga. Nasi, bihun, mi, pasta, roti, sayuran berubi dan buah-buahan adalah makanan yang kaya karbohidrat. Jadi kita tidak perlu risau jika tidak mengambil gula kerana semua makanan yang diambil memang mengandungi gula karbohidrat, sama ada dalam bentuk semula jadi atau diproses. Karbohidrat juga ditukar ke bentuk gula ringkas dulu sebelum ia boleh digunakan sebagai tenaga.

Biasanya apabila bercakap mengenai gula, kita merujuk kepada gula sukros daripada tebu atau beet. Antara bentuk gula yang ada di pasaran ialah gula bertapis seperti sukrosa (gula pasir atau halus), dekstrosa (sirap jagung) dan sirap fruktosa (sirap) yang digunakan dalam penghasilan pelbagai makanan seperti roti, bijirin sarapan pagi, mentega kacang, mayonis, sos, kicap dan minuman ringan. Itu belum masuk makanan yang sememangnya manis seperti kek, biskut atau kuih muih.

Malangnya badan kita tidak dapat membezakan antara gula asli atau yang diproses kerana semuanya memberi kesan sama. Secara umumnya semua jenis gula, tidak kira apa jenis dan sumbernya (termasuk daripada karbohidrat) membekalkan tenaga sebanyak empat kalori bagi setiap gram.

Kita semua maklum, setiap tenaga berlebihan disimpan sebagai lemak. Bagi individu yang ada masalah berat badan, cita rasa terhadap makanan manis memburukkan keadaan dan menyukarkan proses menguruskan badan. Malah, ada yang menganggap gula bertapis (yang berwarna putih) sebagai punca kematian kerana di sebalik rasa manisnya, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada sistem imun, berat badan dan kesihatan secara keseluruhan.

Bagaimana gula boleh menjejaskan kesihatan?

# Gula putih menyekat sistem imun. Didapati gula putih boleh mengurangkan hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan. Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asidik yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Malah, gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.

# Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik. Maknanya, ia menyebabkan paras gula darah meningkat cepat dan menjejaskan paras insulin. Maka ia dianggap makanan terlarang, terutama bagi pesakit kencing manis, kerana ia menyukarkan kawalan paras gula darah.

# Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser. Walaupun kebanyakan doktor tidak mengenakan pantang larang makanan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan, mengawal kandungan gula dalam darah membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

Kawalan paras gula dalam darah melalui penjagaan makanan, senaman, makanan tambahan dan ubat antara komponen penting dalam rawatan kanser.

# Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan. Masalah dihadapi kebanyakan orang ialah mempunyai bekalan tenaga harian berlebihan daripada makanan dan minuman. Walaupun semua orang tahu bersenam itu penting bagi membakar (menggunakan tenaga), masih ada yang liat mengamalkannya. Tenaga yang berlebihan, ditambah pula tenaga daripada gula dalam minuman, turut menyumbang kepada pertambahan berat badan.

# Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi seperti kerap dialami kanak-kanak. Bakteria dalam mulut menggunakan gula ini untuk menjadikan keadaan mulut lebih berasid bagi memecahkan lapisan enamel (lapisan gigi paling luar). Lama kelamaan, gigi akan berlubang. Apabila ini terjadi, banyak masalah lain menyusul, termasuk sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.

Tabiat makan yang terlalu kerap juga perlu dihentikan. Ini kerana apabila kita makan (khususnya makanan mengandungi karbohidrat), ia meningkatkan kemungkinan pereputan gigi kerana air liur lebih banyak digunakan untuk menghancurkan makanan, sedangkan air liur penting bagi meneutralkan tahap keasidan mulut.

Dalam kajian lain mendapati, masalah kesihatan gigi boleh menjadi penyumbang langsung kepada masalah jantung. Untuk mengelak masalah kesihatan yang lebih serius, kurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

Langkah untuk mengurangkan pengambilan gula:

# Baca label dan periksa kandungan gula sesuatu produk. Perkataan glukosa, sukrosa, fruktosa, dekstrosa, madu, gula perang dan semua jenis sirap bererti gula.

# Buat catatan, terutama bagi yang suka makanan manis. Catatan ini termasuk minuman manis (kopi, teh atau jus buah ketika sarapan), sajian pencuci mulut (kuih-muih, snek, gula-gula atau kek. Melalui cara ini, anda boleh membuat penilaian berapa banyak makanan manis yang anda ambil dalam masa sehari atau seminggu.

# Amalkan minum air masak setiap kali makan, terutama ketika makan tengah hari atau makan malam. Jika selama ini anda minum minuman manis, kurangkan kemanisan minuman anda. Pastikan anda juga meminta segelas air masak bersama minuman manis bagi menambah pengambilan air masak.

# Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula. Ini bersamaan dengan saranan pengambilan gula harian daripada makanan dan minuman. Minuman ringan adalah sumber gula tambahan paling utama dalam diet kanak-kanak Amerika Syarikat. Senario ini tidak banyak berbeza dengan keadaan kanak-kanak di negara kita yang dibesarkan dengan pelbagai minuman ringan. Justeru, tidak hairan jika masalah obesiti kanak-kanak di Malaysia turut meningkat.

# Ketika membeli, pilih makanan atau minuman yang mempunyai label ‘kurang manis’.

# Gantikan snek makanan ringan atau sajian pencuci mulut kuih muih kepada buah-buahan.

Jejas kesihatan

# Gula putih menyekat sistem imun

# Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik

# Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser

# Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan

# Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi

Langkah

# Baca label dan periksa kandungan gula sesuatu produk

# Buat catatan, terutama bagi yang suka makanan manis

# Amalkan minum air masak setiap kali makan, terutama ketika makan tengah hari atau makan malam

# Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula

# Ketika membeli, pilih makanan atau minuman yang mempunyai label ‘kurang manis

# Gantikan snek makanan ringan atau sajian pencuci mulut kuih muih kepada buah-buahan

...........
Sumber: Harian Metro, 25 Januari 2009http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Sihat/20090125110937/Article/index_html
>

Panggillah dengan panggilan yang sesuai

13 February 2009



Gunakanlah bentuk pemadan taraf yang sesuai. Apakah yang dikatakan pemadan taraf? Pemadan taraf itu adalah istilah yang diberi oleh Za’ba bagi memanggil orang. Contohnya, encik, tuan, cik, puan, saudara, pakcik, makcik, dan tuk.” Ini termasuk juga gelaran yang diberi kepada seseorang seperti Dato’. Tan Sri, Tun dan lain-lain.

Makna merendahkan diri

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan

Dalam menyapa orang kita lazimnya dipesan supaya merendahkan diri. Tetapi apa yang dilakukan bagi merendahkan diri ini?

Pertama, kita hendaklah merendahkan suara supaya tidak terlalu lantang. Suara yang terlalu lantang sehingga memeranjatkan orang atau nada yang ranggi, menyebabkan orang mempersepsi kita sebagai sombong.

Kedua, dan ini sangatlah penting. Gunakanlah bentuk pemadan taraf yang sesuai. Apakah yang dikatakan pemadan taraf? Pemadan taraf itu adalah istilah yang diberi oleh Za’ba bagi memanggil orang. Contohnya, encik, tuan, cik, puan, saudara, pakcik, makcik, dan tuk.” Ini termasuk juga gelaran yang diberi kepada seseorang seperti Dato’. Tan Sri, Tun dan lain-lain.

Apabila kita merendahkan diri, kita memanggil orang dengan pemadan taraf yang lebih tinggi daripada kita sendiri. Umpamanya, apabila kita pergi ke pejabat kerajaan atau swasta, maka sapalah orang yang kita lawan bercakap itu dengan panggilan yang lebih tinggi.

Sekiranya beliau itu seorang pegawai, maka panggilah beliau “Tuan” untuk lelaki, dan “Puan” untuk perempuan. Contohnya:

"Tuan Pengawai Daerah,”
"Puan Khalijah,” dan
"Encik Othman", dan lain-lain.

Sekiranya dia sudah bergelar Haji atau Datuk, maka panggillah mereka dengan pemadan taraf seperti:

“Tuan Haji ….”
“Datuk, …..”

Walaupun pegawai itu seorang muda, kita perlu memanggil beliau sebagai “Tuan” atau Encik.” Ataupun “Cik, Cik Puan” dan “Puan” untuk perempuan.

Dengan demikian kita telah merendahkan diri kita. Merendahkan diri dalam budaya Melayu itu adalah sangat dihormati dan dikehendaki.

Apabila kita memanggil seseorang pegawai misalnya dengan kata ganti nama diri “you” sahaja, kita telah menjatuhkan taraf sosialnya. Kita sudah meletakkan tarafnya sama paras dengan taraf kita. Ini adalah bersalahan dengan peradaban Melayu.

Bagaimana pula dengan panggilan “adik, abang, kakak, pakcik” dan “makcik?” Ini pun adalah suatu kesalahan berat. Orang akan memanggil kita sebagai kurang ajar.

Ini adalah kerana kita sudah merendahkan taraf mereka ke tahap kita sendiri, atau lebih rendah. Kita hanya menggunakan panggilan ini dalam kalangan keluarga sendiri.

Bukankah kita menggunakan bahasa mesra. Ya, justeru itulah. Kita tidak dibenarkan bermesra dengan orang yang tidak dikenali, atau orang yang bertaraf lebih tinggi daripada kita. Ini adalah kerana bermesra dengan orang atasan atau orang yang tidak kita kenali adalah biadab.

Cubalah gunakan panggilan “adik” kepada seorang perempuan muda yang jelita di hadapan suaminya! Nasib Tuan adalah baik sekiranya Tuan hanya menerima jelingan tajam. Begitu juga panggilan “mak cik” kepada seorang pegawai tinggi kerajaan atau swasta adalah sangat biadab.

Bukankah kita diminta bermesra! Ya, tetapi bukan dengan orang yang tidak dikenali. Dengan mereka kita perlu HORMAT.

Di Pejabat Tanah Bentong ada sebuah petua yang dipaparkan di dinding untuk semua pegawainya: Hormat itu bukan mengampu. Ini adalah sangat betul. sayangnya, petua itu sudah tidak kelihatan lagi sekarang.
.................

Latihan Perbincangan dan pembentangan kumpulan

Terima kasih kerana telah membentuk kumpulan masing-masing.
Berikut disenaraikan senarai kumpulan dan tajuk-tajuk yang berkaitan.

Selamat berbincang. Sebarang kemusyiklan dan cara kerja boleh berbincang dengan cikgu.

KUMPULAN DAN TAJUK

Kumpulan 1
Siti Adila binti Rosli
Aida Farihah binti Mohamad Sukri
Nor Zakinah binti Zahari
Nurul Atikah binti Hussin
1. Penggunaan Bahasa yang Salah pada Papan Tanda dan Iklan Bercetak
2. Kemalangan Maut Menjelang Perayaan Utama
3. Demam Denggi/Chikungunya

Kumpulan 2
Aida binti Yahya
Nur Ain Fahima binti Kamarudin
Mashitoh binti Mat Isa
Shafinaz binti Saffie
4. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
5. Gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah
6. Kenaikan Harga Barang

Kumpulan 3
Siti Fairul binti Che Ghazali
Siti Nor Suhaila binti Rosli
Noor Hazwani binti Radzmi
Faizatul Nadia binti Zulkifli
Nor Hidayani binti Samsudin
7. Kebanjiran Bahan-bahan Berunsur Lucah, Tahyul dan Ganas
8. Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin
9. Usaha untuk Memajukan Industri Pertanian di Malaysia

Kumpulan 4
Norwahida binti Mahamad Asri
Khairulhafidah binti Hat
Normala binti Omar
Intan Norliana binti Md. Zaher
10.Kebanjiran Drama Bersiri Asing
11.Bangunan atau Tempat Bersejarah
12.Masalah Bencana Alam

Kumpulan 5
Nurul Aida binti Amir Hamzah
Shafiqah binti Abdul Rahim
Azizah binti Dahalan
Nor Diana binti Md Esa
13.Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan di Negara Kita
14.Internet dan Dasar Langit Terbuka
15.Jenayah Ragut dan Langkah untuk Menanganinya

Kumpulan 6
Marwan bin Jaafar
Sarud a/l Iwan
Mohd Ikhwan bin Omar
Muhamad Ridzwan bin Che Halim
16.Penggunaan Kad Kredit
17.Masalah Perumahan
18.Memupuk perpaduan melalui budaya dan sastera

Kumpulan 7
Mohd Solleh bin Saad
Mohd Azwan bin Sobri
Syarbani bin Yusuf
19. Sekolah Kluster
20. Kejatuhan ekonomi dunia dan kesan-kesannya
21. Penyakit kanser

Bacaan 2: Generasi muda dan undang-undang jalan raya

12 February 2009

Membentuk generasi muda patuh undang-undang jalan raya

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my


KAJIAN tabiat dan tingkah laku pemandu di negara ini masih berada pada tahap yang teruk dengan 66 peratus daripada mereka tidak takut ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan lalu lintas.

Ini sekali gus mempamerkan pemandu di negara kita sanggup berdepan risiko kematian dan kecederaan parah di jalan raya kerana keengganan mereka mematuhi peraturan itu.

Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengenai kebarangkalian ditahan polis atau JPJ menerusi bancian 'Persepsi Ditangkap' mendapati pemandu tidak takut langsung atau tidak kisah dengan penguatkuasaan.

Hasil kajian yang dilakukan sebelum dan selepas dua minggu Ops Sikap pada perayaan Aidilfitri lalu, menunjukkan kesalahan yang paling tinggi tidak takut ditangkap ialah tidak memakai tali pinggang keledar iaitu 25.6 peratus, diikuti memandu melebihi had laju (24.08 peratus), melanggar lampu merah (21.3 peratus), memotong laluan kecemasan (16 peratus) dan memotong kenderaan di garisan berkembar (13 peratus).

Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Farhan Mohd Sadullah, berkata apa yang dapat dirumuskan daripada hasil kajian itu ialah pemandu di negara ini tidak takut ditangkap polis atau JPJ dan tidak mengendahkan undang-undang lalu lintas.

Katanya, teori juga dapat disimpulkan bahawa Malaysia memang memerlukan tindakan penguatkuasaan menerusi operasi khas seperti Ops Sikap sebagai langkah meningkatkan tabiat pemanduan, berhemah serta mendisiplinkan mereka.

"Penguatkuasaan sangat diperlukan kerana jika tidak ada penguatkuasaan ia gagal mengubah kelakuan pemandu. Kita mahu orang ramai berubah. Kita perlu ubah mentaliti pemandu ini yang liat dan angkuh di jalan raya," katanya.

Terkini kerajaan melancarkan Ops Sikap XIX sempena perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Seperti lazim apabila tiba musim perayaan, Ops Sikap dan Ops Bersepadu dilancarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya.

Sejak Ops Sikap dilancarkan pada 1998 lalu, sebenarnya ia tidak banyak mengubah landskap kadar kematian dan kecederaan di jalan raya. Pada dasarnya memang jumlah kematian lebih tinggi pada hari biasa iaitu 17 kematian sehari berbanding musim perayaan 14 kematian sehari.

Jika dibandingkan setiap tahun memang ada penurunan dari jumlah kematian. Contohnya, pada Ops Sikap XVII merekodkan 208 kematian berbanding 225 kematian pada Ops Sikap XIII dan 186 kemalangan maut berbanding 203.

Justeru, Miros bertanggungjawab membantu dari segi penggubalan, pelaksanaan dan pemantauan mengenai keberkesanan penguatkuasaan itu untuk setiap kali operasi dijalankan.

Selepas Tahun Baru Cina, Miros membuat lima penilaian Ops Sikap dan Bersepadu yang sudah dilaksanakan itu, sebelum membantu mencadangkan penambahbaikan pendekatan atau kaedah operasi yang dijalankan pada masa depan.

"Maklum balas daripada JPJ dan polis perlu untuk setiap operasi terbabit. Kita kerap berbincang dan bekerjasama merancang program keselamatan jalan raya, selain hasil kajian itu akan gunakan kaedah terbaik untuk penguatkuasaan. Kita berbincang supaya mereka dapat melakukan penguatkuasaan yang berbeza seperti tidak dilakukan di lokasi sama untuk perangkap had laju.

"Jika dilihat dari segi corak penguat kuasa dilakukan daripada 19 Ops Sikap yang dijalankan, ia hampir sama saja. Seperti di negara maju, anggota penguat kuasanya akan membuat rondaan di atas jalan raya dan sekiranya ada pemandu melakukan kesalahan akan dikenakan saman. Ketika ini, polis di sini sudah mula menggunakan kaedah itu walaupun tidak begitu meluas," katanya.

Kaedah lain yang boleh dilakukan ialah dengan melaksanakan sistem penguatkuasaan automatik (penggunaan kamera) bagi mengurangkan bebanan anggota polis dan JPJ yang terhad.

Sekarang kadar kematian dicatatkan tidak nampak penurunan mendadak. Oleh itu perlu dilakukan perubahan pada kaedah penguatkuasaan supaya ia lebih berkesan dalam membentuk tingkah laku pemandu, menurunkan kadar kemalangan dan kematian di negara ini.

Pada keseluruhannya, ada antara kaedah penguatkuasaan serta kempen yang dijalankan berjaya mencapai matlamatnya dan sesetengahnya kurang berkesan. Contohnya, iklan mengenai kepentingan memakai tali pinggang keledar, ada yang sedar dan ikut nasihat serta mesej yang diketengahkan.

Apa yang penting, tujuan kempen keselamatan jalan raya juga untuk memberi maklumat, kesedaran dan mengubah tabiat memandu. Tanggungjawab itu perlu digalas pelbagai pihak.

Bagi Miros, program jangka pendek dan panjang dilakukan untuk mewujudkan kepentingan terhadap nilai keselamatan walaupun itu adalah cabaran yang sukar kerana pemandu di negara ini kurang berhemah di jalan raya.

Ini berbeza di negara maju seperti Sweden, keselamatan jalan raya dan kepentingan pembangunan mapan sudah tersemat di dalam jiwa mereka dan ini sekali gus tidak menghalang mereka memperkenalkan sebarang undang-undang lalu lintas.

Bagaimanapun, senario itu jauh berbeza di Malaysia apabila kepentingan nilai keselamatan jalan raya terlalu kurang. Oleh itu, Miros menyahut cabaran dengan menyediakan pelbagai program menanam kesedaran dan kepentingan nilai keselamatan itu secara berterusan.

Antaranya, tumpuan dijuruskan kepada kanak-kanak yang bakal peneraju generasi akan datang untuk diterapkan nilai kepentingan keselamatan jalan raya dan perkara berkaitannya. Oleh itu, mulai tahun lalu, program pendidikan keselamatan jalan raya diadakan sebagai elemen kurikulum (dalam mata pelajaran bahasa Malaysia) untuk murid Tahun Satu yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, selain mengubah semula kurikulum pemanduan.

Kurikulum itu juga akan diperluaskan kepada murid Tahun Dua hingga Empat, mulai suku pertama tahun ini, manakala projek perintis di beberapa sekolah terpilih kepada murid Tahun Tiga dan Lima serta Tingkatan Satu dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara mulai tahun depan.

Kanak-kanak dianggap seperti rebung yang mudah dilentur, berbanding pemandu dewasa sekarang sudah menjadi buluh. Oleh itu sukar untuk membentuk mereka dan biasanya tidak begitu mematuhi peraturan lalu lintas. Ini hanya dapat diubah dengan cara penguatkuasaan serta memperhebatkan kempen kesedaran secara berterusan.

Kemalangan memang boleh berlaku dalam apa juga caranya dan banyak faktor yang mempengaruhinya termasuk dari segi keadaan kenderaan, jalan persekitaran, bentuk jalan raya, cuaca dan tabiat serta tingkah laku pemandu sendiri. Namun tragedi kemalangan dapat dielakkan pada kadar sifar jika masing-masing tahu tanggungjawab mereka.

...................
Sumber: Berita Harian, 9 Februari 2009 http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Rencana/20090209001517/Article/>

..................
Dapatkan juga maklumat tambahan di laman berikut:

http://www.panducermat.org.my/

http://www.jkjr.gov.my

Bacaan 1: Hikmah di sebalik musibah

11 February 2009

Kejadian Tsunami pada 26 Disember 2004


Hikmah di sebalik musibah
Oleh Mohd.Shauki Abd. Majid

Apa pun bentuk bencana atau musibah yang melanda, pada hakikatnya ia memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana.

Hal demikian semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.

Pada hakikatnya musibah itu merupakan sunatullah, sebagai suatu proses sebab akibat daripada tindakan seseorang. Musibah itu juga merupakan peringatan daripada Allah SWT, sebagai ujian keimanan dan setiap musibah itu tidak selamanya tanda kemurkaan Allah SWT.

Pada saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialah iltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah SWT semata-mata, ketika di mana seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantunya untuk menghadapi bencana tersebut.

Tidak ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak ada pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (Surah At-Taghabun: 11)

Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia di dunia ini kerana ia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan." (Al-Baqarah: 155)

Ini semua bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para nabi, siddiqin dan salihin, kemudian mereka yang mengiringi..."

Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan dukacita.

Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama. Nabi Muhammad SAW contohnya, pada hari kematian anak kesayangan baginda, Ibrahim, tetap bersedih dan air mata berlinangan, tetapi tidak melakukan sesuatu di luar batas agama melainkan apa yang diredai oleh Tuhan. Maka, orang yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi telah benar-benar memurnikan tauhid dan mengikhlaskan doa hanya untuk Allah.

Tabah

Tatkala seseorang Muslim yang tabah menerima musibah, dia mendapat penilaian yang sangat tinggi daripada Allah. Bahkan, itulah saat yang tepat untuk mendapatkan keampunan atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukannya selama ini. Makin besar musibah yang dihadapinya dan makin kuat kesabaran ia menghadapinya, maka besar pahala yang akan diterimanya.

Demikianlah contoh keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT. Justeru digalakkan mereka yang ditimpa musibah berkata sebagaimana yang dituntut oleh agama: "Kami hanya bagi (milik) Allah dan kami tetap kembali mengadap-Nya." (Surah al-Baqarah:156)

Di dalam al-Quran dinyatakan untuk mereka yang berjaya menghadapi ujian itu akan mendapat penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka itu memperoleh petunjuk. Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas atau terbawa-bawa dengan perasaan yang terselit persoalan kenapa Allah memilih diri atau keluarga mereka sebagai tempat ujian-Nya.

Kesabaran yang tinggi amat dituntut dalam Islam. Dengan memiliki jiwa yang sedemikianlah umat Islam akan menjadi umat yang teguh peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang menimpa.

Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat Allah sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah keredaan-Nya.

Allah SWT telah menegaskan bahawa semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya, termasuk orang-orang yang kita cintai, harta benda yang ditakuti akan berkurang dan hilang, seperti pangkat, kedudukan dan kerjaya.

Oleh kerana semuanya milik Allah SWT, cepat atau lambat pasti akan kembali kepada pemiliknya yang asli iaitu Allah SWT. Ada pun diri kita hanyalah sekadar pemegang amanah untuk menjaganya atau memeliharanya.

Oleh kerana bencana itu kekuasaan Allah SWT secara mutlak, sedangkan Allah tidak pernah zalim kepada makhluk ciptaan-Nya, maka di sebalik bencana, musibah atau bala terdapat banyak hikmah bagi para hamba-Nya yang beriman.

Kematian yang menyayat hati akibat banjir atau tanah runtuh adalah ketentuan terbaik pada pandangan Allah, penguasa alam semesta.

Tidak ada yang bakal terjadi di alam raya ini kecuali atas izin dan kehendak-Nya. Meskipun, perlu diingat bahawa kehendak-Nya tercermin pada hukum-hukum alam yang diciptakan-Nya.

Apabila seseorang tidak menyesuaikan diri dengan kehendak-Nya yang tercermin dalam hukum-hukum alam itu, dia pasti mengalami kesusahan serta kesukaran. Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun persekitarannya.

Di sini kita sepatutnya berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya jua. Bukankah Dia yang menciptakan hukum-hukum-Nya?

Mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan hati gersang dan kacau, dan mengundang jauhnya rahmat Allah dan datangnya bencana. Mengambil kira hakikat rentetan fenomena demi fenomena yang berlaku masa kini, pastinya dapat direnungi kesudahan hasil daripada tangan manusia dan perbuatan yang dapat mengasingkan antara perkara buruk dengan yang baik.

...............................
Sumber : Utusan Malaysia 12 Disember 2008 < http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm >

> Latihan Bahasa Melayu 2

08 February 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ingatkan minggu ini kita boleh bertemu seperti biasa di kelas, namun keadaan masih tidak mengizinkan. Walaupun begitu, Alhamdulillah kerana keadaan cikgu semakin baik.

Pembelajaran mesti diteruskan, apatah lagi bulan Februari ini sudah melewati minggu ke-2. Nanti makin banyak yang ketinggalan. Jadi untuk tidak membiarkan masa berlalu begitu sahaja dan kita terpaksa mengejar masa-masa yang terlepas, hari ini disediakan 2 tugasan untuk kalian siapkan.

Jawapannya boleh di e-melkan. Insyaallah jawapan dan komen akan dibalas melalui e-mel juga.

Walau bagaimanapun, bersedialah juga dengan jawapan bercetak/ bertulis. Jika cikgu dapat kembali bertugas pada minggu ini, Insyaallah boleh kita bincangkan dalam kelas nanti.

-----------------------------------------------------------------
TUGASAN 1

1. Sila selesaikan latihan alih teks yang telah diedarkan dalam kelas yang lalu.

2. Aktiviti kumpulan.

Sediakan rangka karangan yang lengkap dalam bentuk power point untuk perbincangan karangan memorandum dalam sesi pembelajaran akan datang.

Sediakan juga format penulisan karangan memorandum.

Soalan:
Sungguhpun kerajaan telah memberikan amaran kepada golongan peniaga agar tidak menaikkan harga barangan secara tidak berpatutan berikutan kenaikan harga minyak kenderaan, namun hal ini tidak diendahkan oleh mereka.

Sebagai pengerusi sebuah badan pengguna, anda bercadang menghantar satu memorandum berkaitan hal itu kepada Perdana Menteri. Dalam memorandum tersebut, anda menjelaskan kesusahan yang dialami pengguna di negara ini dan mencadangkan usaha-usaha untuk menanganinya. Sediakan memorandum itu.

-----------------------------------------------------------------
TUGASAN 2

Aktiviti Individu

Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.
Kesibukan mengejar kebendaan atau sikap meterialistik menyebabkan semangat kejiranan kian luntur. Keadaan ini amat dirasai di bandar-bandar besar kerana ramai di kalangan penduduk-penduduknya keluar bekerja. Terdapat di kalangan mereka masih tidak kenal jiran yang tinggal di sebelahnya. Keadaan ini menyebabkan impian agar melahirkan masyarakat penyayang sukar dicapai. Semangat gotong-royong untuk mengadakan kenduri-kendara seperti di kampung-kampung juga kurang. Hal ini menjadi punca mengapa mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Semangat kejiranan penting untuk menyatupadukan bangsa terutamanya dalam berbilang bangsa di negara ini.

Sekian.

> Persediaan untuk penulisan karangan

PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

· Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
· Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
· Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
· Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
· Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
· Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan
· Hal ini penting dalam
· Hal ini serupa dengan
· Hal yang serupa berlaku apabila
· Ini disebabkan
· Ini membuktikan bahawa
· Ini menggambarkan bahawa
· Ini secara tidak langsung akan
· Ini semua meninggalkan kesan kerana
· Ini tentu sekali membuatkan
· Jadi kita perlu
· Jadi kita hendaklah
· Keadaan ini tentunya
· Lantaran itu sehingga kini
· Kesemua ini menyumbang kepada
· Kita mengakui hakikat bahawa
· Kita sering menonton di kaca televisyen
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar
· Memandangkan keadaan yang sedemikian
· Namun sejak kebelakangan ini
· Oleh itu, bolehlah dikatakan
· Secara logiknya masa yang
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
· Keadaan ini seharusnya boleh
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
· Kendatipun demikian, kita masih
· Yang paling nyata ialah
· Yang perlu kita pastikan ialah

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH

· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

Sumber:
Cikgu Zulkarnain (SMK Sacred Heart Sibu) di http://forum.engkabang.net/index.php/topic,18218.0.html



> Salam Berkunjung



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya mulakan entri blog ini dengan ungkapan petikan daripada Hikayat Abdullah.

Bermula adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab melihatkan adat orang-orang kita Melayu itu, yang tiada diperbuat oleh bangsa yang lain-lain dalam dunia ini diperbuatnya!

Adakah segala manusia dalam dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat belajar bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah yang tiada mengendahkan…

Bermula adalah yang kudengar beberapa bangsa di dalam dunia ini menjadi besar dan pandai sebab mereka itu pandai membaca surat dan menyurat dan mengerti bahasanya serta memeliharakan bahasanya, iaitu daripada bangsa Arab atau bangsa orang putih, baik daripada Cina atau Hindu, maka sekelian mereka sentiasa memeliharakan dan memuliakan bahasanya.

Maka makin sehari makinlah diluaskannya dan ditambahinya dan dibaikinya dan dihaluskannya sampailah zaman ini, kerana sesungguhnya bahasa itulah menjadikan manusia itu berakal dan menambah kepandaian dan ilmunya dan boleh menjalankan segala pekerjaannya dan boleh membaiki akan dirinya sendiri dan boleh pula mengajar akan orang lain.

Maka dengan dia itulah sahaja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang suatu rahsia dalam hati manusia.

Syahadan dapat tiada kalau ada suatu bangsa yang besar itu maka bahasanya pun besarlah, kerana sekelian perkara yang ada dalam dunia dan akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah, menjalankan pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa dan mencari kehidupan itu pun dengan bahasa dan mendatangkan beberapa kekayaan dan kemuliaan.

Kebesaran bagi manusia itu pun daripada bahasa datangnya.

Maka bahasa itulah yang besar gunanya bagi manusia ini dunia akhirat. Maka patutkah iaitu tiada engkau endahkan.

Renung-renung dan fikirkan.
Bersama memartabatkan bahasa ibunda kita.

Arkib

07 February 2009


















Bahasa Jiwa Bangsa