Bahasa Jiwa Bangsa

Isu ICT: Telefon pintar: Jangan Sampai Pengguna yang Tidak Pintar!

15 June 2011


Oleh IZRA ABD RAHMAN (izra@thestar.com.my)

KEPINTARAN telefon pintar tidak dapat dinafikan apabila kini perkakas ini menjadi teman 24 jam sehari kepada penggunanya.

Berdasarkan statistik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga tahun 2010, 50 peratus daripada 33.4juta pengguna telefon bimbit di Malaysia telah beralih arah dari telefon mudah alih kepada telefon pintar.

“Dari jumlah ini, 30 peratus menggunakan 3G dan hanya 15 peratus pengguna yang benar-benar menggunakan sepenuhnya aplikasi yang ditawarkan telefon pintar.

“Selebihnya sekadar memiliki, guna untuk buat panggilan dan hantar pesanan ringkas (sms) sahaja,” kata Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia, Azli Paat kepada Mingguan mStar.

Azli berkata situasi seperti ini berlaku kerana penggunaan telefon pintar di kalangan kebanyakan rakyat Malaysia menjurus kepada trend dan gaya hidup, bukan mengikut keperluan dan fungsi.

“Telefon pintar tak dapat dipisahkan dengan Internet. Tanpa Internet, telefon pintar tak lagi dianggap pintar,” katanya.

Situasi yang berlaku ini menyimpang daripada matlamat sebenar telefon pintar dicipta iaitu bagi memudahkan manusia menjalani rutin harian, tidak sekadar memberi hiburan semata-mata.


Meletakkan Ruang Carian PRPM dalam Blog

13 June 2011

Catatan ini bertujuan untuk menjawab pertanyaan cikgu Makhfi dalam ruang sembang blog ini tentang cara meletakkan ruang "Carian PRPM" dalam blog.


Cara untuk meletakkan "Carian PRPM" di dalam blog:

i. Pilih "add gadget" (html/javascript) pada blog anda dan masukkan kod di bawah.
<p align="center"><img hspace="0" alt="" src="http://prpm.dbp.gov.my/Images/logodbp_s.png" /></p>
<form charset="utf-8" method="get" action="http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx" target="_new">
<p align="center"><span><input style="WIDTH: 200px; HEIGHT: 31px" id="KataKunci" name="k" dpieagent_iecontroltype="2" /> <u><span></span></u><input style="WIDTH: 46px; HEIGHT: 20px" value=" Cari" size="13" type="submit" name="id" /></span></p><span></span></form>

Isu Pengguna: Pengguna Kita Tak Tahu Hargai Tenaga Elektrik

18 May 2011

PEMBAZIRAN tenaga elektrik yang ketara di kalangan masyarakat Malaysia ketika ini boleh dibendung sekiranya pengguna lebih menghargai tenaga elektrik dan menerima hakikat subsidi elektrik sedang dikurangkan secara berperingkat.

Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), Gurmit Singh, berkata kebanyakan pengguna selesa dengan kadar elektrik yang begitu murah di negara ini sehingga menyebabkan mereka berpendapat penggunaan elektrik adalah satu kemudahan dan bukan keperluan.
"Contohnya, anda berasa mudah memasak air menggunakan elektrik tetapi tahukah anda kos bagi memasak air dengan cara ini adalah sekali ganda mahalnya berbanding memasak air menggunakan dapur gas," katanya ketika ditanya usaha membudayakan penjimatan dalam penggunaan tenaga elektrik.
Merujuk kepada kajian kecekapan tenaga yang dikendalikan CETDEM pada 2006, Gurmit berkata penggunaan gas di kalangan pengguna masih rendah. Kajian itu mendapati bahan api adalah penggunaan tenaga terbesar isi rumah iaitu 75 peratus, diikuti elektrik (20 peratus) dan gas hanya pada 5.0 peratus.


Isu Pengguna: Elak Pinjaman Peribadi, Elak Kad Kredit, Elak Hutang (i)

03 May 2011

Oleh Melati Mohd Ariff

Pinjaman Peribadi dan Kad Kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit ini sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyinya mungkin tidak sedap didengar.

Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis.

Rencana tiga bahagian ini meninjau sikap suka berhutang di kalangan masyarakat negara ini khususnya orang Melayu.

Bahagian satu daripada tiga bahagian ini merungkai sikap suka berhutang orang Melayu.

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- "MASALAH KEWANGAN!!" Pembiayaan sehingga RM50,000. Blacklist layak memohon, bayaran yang fleksibel, faedah yang rendah, tanpa penjamin. Dapatkan wang tunai dengan serta-merta.


Isu Pengguna: Hutang Ah Long Untuk Judi, Joli Dan Skim Cepat Kaya (ii)

Oleh Melati Mohd Ariff

Pinjaman Peribadi dan Kad Kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit ini sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyinya mungkin tidak sedap didengar.

Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis.

Bahagian dua daripada tiga bahagian ini cuba merungkai isu berhutang dengan ah long atau ceti haram.

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Tidak serik-serik. Inilah sikap buruk sesetengah anggota masyarakat negara ini yang suka sangat berhutang.


Isu Pengguna: Kemahiran Urus Hutang Semakin Diperlukan (iii)


Oleh Melati Mohd Ariff

Pinjaman Peribadi dan Kad Kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit ini sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyinya mungkin tidak sedap didengar.

Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis.

Bahagian akhir daripada tiga bahagian ini menyingkap pandangan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) mengenai budaya berhutang masyarakat negara ini.


Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah Sasterawan Negara Ke-11

Kemala Sasterawan Negara Ke-11

Penyair, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkannya berkata anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.


Tugasan: Muat Turun Koleksi Rencana

28 April 2011

Sila muat turun koleksi rencana


(KLIK SINI- masukkan password yang sudah diberikan)

Simpan dalam pen drive.

Terpulang sama ada mahu mencetak atau tidak (Tidak ada paksaan).

Baca untuk menambah pengetahuan.

Isu Kesihatan: Kebersihan Mengelakkan Keracunan Makanan

23 April 2011


Media massa sering menyiarkan berita tentang keracunan makanan, terutamanya yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah yang makan di kantin atau di asrama sekolah.

Menteri kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam laporan media mengatakan bahawa, pada tahun 2009, sebanyak 303 kes keracunan makanan, manakala pada tahun 2010, sebanyak 313 kes keracunan makanan telah dilaporkan di seluruh negara. Beliau juga berkata sebanyak 50 peratus daripada 311 kes keracunan makanan yang dilaporkan sepanjang 2010, berlaku di kantin sekolah.

Keracunan makanan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia juga boleh membawa kematian kalau masalah keracunan yang dialami adalah kritikal, terutamanya kepada kanak-kanak yang masih lemah daya pertahanan diri mereka. Oleh itu keselamatan makanan hendaklah diberi perhatian.


Isu Kemalangan: Memandu Sambil Berbual di Telefon Tiada Jauh Beza Ketika Mabuk

Oleh Kurniawati Kamarudin

Ini adalah senario biasa ketika di jalan raya. Sebuah kereta dilihat dipandu dengan kelajuan lebih kurang 50KM/J. Tiba-tiba kereta tersebut dilihat 'melelong' ke kiri dan kanan jalan.

Ketika mengambil selekoh, kereta tersebut dilihat 'memakan' jalan lorong sebelah kiri hingga membahayakan pemandu kereta di lorong tersebut. Semasa melepasi kenderaan itu dilihat pemandunya sedang leka berbual menggunakan telefon bimbit.

Dengan kemalangan jalan raya dan yang melibatkan kematian mencatatkan jumlah yang tinggi di negara ini, dan hakikat bahawa keselamatan jalan raya masih di pandang ringan di kalangan pemandu di Malaysia, masalah penggunaan telefon semasa memandu hanya menambah burukkan lagi statistik kemalangan.


Isu Alam Sekitar: Nuklear: Pengajaran Buat Malaysia II

20 April 2011

Sinaran radiasi tidak dapat dilihat dan tidak boleh ditarik balik. Dalam sesuatu krisis nuklear, akan ada banyak soalan yang timbul tentang
sinaran radiasi. Sepertimana yang sedang dialami rakyat Jepun sekarang, ianya merupakan satu mimpi ngeri untuk memahami ketidakpastian tersebut. Antara persoalannya ialah:

1. Bagaimanakah anda tahu bila anda dalam bahaya?

2. Berapa lama bahaya itu akan berterusan?



Isu Alam Sekitar: Nuklear: Pengajaran Buat Malaysia I

Sejak 11 Mac, Jepun berhempas pulas mendepani bencana alam yang belum pernah berlaku, dan diikuti dengan krisis nuklear buatan manusia. Pertama, gempa bumi paling kuat 8.9 pada skala Richter, yang berlaku di pantai timur laut pulau Jepun Honshu. Kemudian, bencana tsunami setinggi 10 meter, mengorbankan puluhan ribu nyawa dan memusnahkan semua di laluannya.

NONEAkhirnya, berlaku kebocoran radioaktif ke ruang udara dari sebuah loji
kuasa nuklear yang rosak teruk kerana terlampau panas serta letupan yang berlaku.

Gempa bumi itu secara automatik menutup enam reaktor nuklear loji kuasa nuklear Fukushima Dai-Ichi, milik Tokyo Electric Power company (Tepco). Ia juga turut merosakkan grid kuasa, memaksa operatornya bergantung kepada janakuasa diesel untuk mengekalkan aliran bahan pendingin ke dalam teras reaktor uranium radioaktif dan rod bahan api plutonium.

Kemudian, tsunami melandanya, mengakibatkan janakuasa rosak dan bekalan kuasa kepada sistem penyejuk di loji tersebut, terputus. Empat daripada enam reaktor nuklear itu berdepan dengan masalah terlampau panas. Letupan yang berlaku kemudiannya telah merosakkan rod bahan api dan integriti struktur tempat simpanan utamanya, dan mengakibatkan radioaktif bocor ke ruang udara persekitarannya.

Isu Alam Sekitar: Perlu Program Mengindahkan Sungai Kita

19 April 2011



Oleh MOHAMAD GHAZALI ZAINAL ABIDIN

SUNGAI adalah antara sumber air minuman dan jika tidak dijaga dengan baik, sungai juga boleh menyebabkan bencana besar kepada diri, keluarga mahupun negara seperti banjir.

Seringkali banjir yang melanda ibu kota dan kawasan pedalaman akibat limpahan air yang tersekat alirannya kerana terhalang oleh timbunan sampah yang dibuang oleh masyarakat yang tidak mempunyai keprihatinan. Namun, kita yakin bahawa kewujudan pelbagai teknologi baru dan canggih dapat menjaga dan menjadikan air sungai di seluruh negara kita bersih dan selamat.

Baru-baru ini, penulis berkunjung ke Korea Selatan untuk melihat sendiri keindahan dan kecantikan sungai di sana. Daripada maklumat yang diperoleh, kerajaan Korea Selatan telah memulakan projek memulihkan sungai-sungai utama di negara itu sejak Julai 2009 dengan membelanjakan kira-kira AS$17 bilion dan ia adalah projek untuk lima tahun.

Isu Kesihatan: Kesedaran Kandungan Gula Kepada Nutrisi Anak-Anak

18 April 2011

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

KANDUNGAN gula yang melebihi daripada had yang sesuai diberikan kepada anak-anak mampu mengundang pelbagai penyakit merbahaya termasuk obesiti, kerosakan gigi dan diebetes.

Ramai di kalangan ibu bapa mungkin tidak sedar tentang kandungan makanan yang diberikan kepada anak-anak lebih-lebih lagi apabila mereka bebas untuk memilih makanan yang digemari.

Kajian Morbiditi & Kesihatan Kebangsaan ketiga (NHMS III) pada tahun 2006 kepada 21,249 kanak-kanak menunjukkan 5.4 peratus kanak-kanak yang mengalami obesiti di mana 6.8 peratus berusia 7 hingga 9 tahun manakala 6.4 peratus berusia 4 hingga 6 tahun.

Menurut Perunding Pemakanan, Indra Balaratnam, penting kepada ibu bapa dalam memastikan nutrisi makanan yang sihat kepada anak-anak untuk memberikan tenaga, perkembangan fizikal dan pembangunan mental.

Seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, setiap kanak-kanak berusia antara 2 hingga 8 tahun disarankan untuk mengambil gula kurang dari lima hingga enam sudu teh setiap hari manakala dewasa adalah kurang dari 10 sudu teh.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia pada zaman sekarang ada yang mengambil gula sehingga 24 sudu teh.

“Ibu dan bapa perlu menitik beratkan tentang amalan pemakanan anak-anak kerana apa yang akan berlaku kepada mereka jika pengambilan gula melebihi daripada kadar yang disarankan.

Isu Bahasa: JUSTIFIKASI UNTUK MENOLAK PENGGUNAAN ISTILAH "BAHASA MALAYSIA"

09 April 2011

Artikel ini diambil daripada Laman Semanggol.com (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

----------
JUSTIFIKASI MENOLAK PENGGUNAAN ISTILAH BAHASA MALAYSIA BAGI MENGGANTIKAN ISTILAH BAHASA MELAYU (untuk Jawatankuasa Memertabatkan Bahasa Melayu)

Disediakan oleh:
Abdullah Hassan (Profesor Emeritus), Universiti Pendidikan Sultan Idris
Rusli Abdul Ghani, Dewan Bahasa dan Pustaka


ISUNYA

Berikutan daripada Surat Pekeliling Kerajaan Malaysia (Tarikh ??) dan juga pemakluman pihak pentadbiran Malaysia supaya menggunakan istilah Bahasa Malaysia bagi menggantikan istilah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, timbullah bantahan daripada pihak-pihak yang bimbang tentang kesan buruknya. Bantahan ini termasuk daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (Minit Mesyuarat Jawatankuasa Bahasa Melayu ke 52, tarikh?) Namun, tidaklah diketahui tarikh bantahan Dewan Bahasa dan Pustaka itu disampaikan kepada pihak berwajib.

Ada tiga sebab utama, dan beberapa sebab sampingan.

PPSMI: Mansuh 2012 atau bila?

07 April 2011

Image: PPSMI: Papar wajah sebenar Melayu

Morfologi: Pengenalan Kata Tugas

28 March 2011

Kata tugas ialah perkataan yang hadir dalam ayat, klausa, atau frasa.

Kata tugas berfungsi sebagai penghubung, penerang, pembenar, dan sebagainya.

Terdapat empat kelompok kata tugas.

i. Kata Penyambung Ayat
• Kata hubung gabungan
• Kata hubung pancangan

ii. Kata Praklausa
• Kata seru
• Kata tanya
• Kata perintah
• Kata pembenar
• Kata pangkal ayat

iii. Kata Prafrasa
• Kata bantu
• Kata penguat
• Kata penegas
• Kata naïf
• Kata pemeri
• Kata sendi nama
• Kata arah
• Kata bilangan

iv. Kata Pascakata
• Kata penekan
• Kata pembenda

Buku: Bimbingan Bahasa Kita

21 March 2011

Salam, pelajar sekalian.

Sila baca buku ini untuk menambah pengetahuan tentang bahasa Melayu.
Kandungan buku ini diperoleh melalui carian di Google Books.



Isu Alam Sekitar: Bumi Berubah

20 March 2011

Oleh Hazirah Che Sab (zeehan@bharian.com.my)

Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru

BELUM pun igauan ngeri tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 terhapus sepenuhnya, kita dikejutkan sekali lagi kehadiran bencana yang melumpuhkan Jepun dalam sekelip mata, minggu lalu.

Bermula dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter jam 2.46 petang waktu tempatan, tsunami pula menyerang dengan kelajuan kira-kira 800 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 10 meter. Malah ketika rencana ini ditulis, selain berdepan ancaman gempa susulan, Jepun turut dihimpit krisis mengawal kebocoran radiasinya apabila tahapnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, berikutan impak gempa bumi kategori mega itu. Lebih menyayat hati, harapan menemui mangsa yang terselamat terus pudar dengan angka korban dan mereka yang hilang, lebih 12,000 orang.

Namun, hakikatnya, gempa bumi terbesar di Jepun dan kelima terbesar dalam sejarah dunia itu bukan hanya menambah fakta mengenai bencana tetapi turut mengubah landskap dan perjalanan bumi ini.

Isu Pengguna: Inflasi Tinggi : Kesan Rantaian Kenaikan Harga Minyak

15 March 2011

Bahagian 1.

Zaman inflasi tinggi (I): Kesan rantaian kenaikan harga minyak

Zaman inflasi tinggi kian menjelang, apabila harga petrol dan tol dijangka melonjak, menjejaki langkah kenaikan harga gula dan roti. Pengumuman kerajaan pada awal tahun ini, bahawa sistem "dua harga petrol" akan dilaksanakan pada 1 Mei, ditambah pula beberapa lebuh raya yang akan dikaji semula harga tolnya pada Januari tahun ini, dijangka akan menambah beban rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pada 7 Januari, bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu mekanisme harga petrol untuk memastikan subsidinya hanya dinikmati mereka yang berpendapatan rendah, atau betul-betul memerlukannya.

Harga petrol pastinya naik

Mereka yang menikmati subsidi bahan api ini akan membeli minyak dengan harga selepas ditolak subsidi, sementara mereka yang tidak lagi layak untuk menikmati subsidi, perlu membayar mengikut harga pasaran tanpa subsidi.

Menurut Ismail Sabri Yaakob, subsidi kerajaan untuk petrol RON95 buat masa ini adalah 30 sen/liter, lantas menurunkan harga minyak ini kepada paras RM1.80/liter. Dengan kata lain, rakyat tempatan mahupun warga asing yang tidak layak menikmati subsidi, akan membeli petrol dengan harga RM2.10 atau lebih tinggi.

Walaupun golongan berpendapatan rendah masih terlindung dengan subsidi menurut Ismail Sabri Yaakob, namun arus inflasi dijangka tidak dapat terelak lagi. Jika ditinjau dari pengalaman lalu, setiap kali kenaikan harga minyak akan memberi tekanan dari segi inflasi kepada semua lapisan masyarakat.

Simpati Kita Kepada Warga Jepun

Salam takziah dan simpati kepada warga Jepun

Morfologi: Imbuhan Pinjaman

10 March 2011

Pelajar sekalian.
Selamat bercuti.
Jangan lupa, muat turun bahan ini dan baca.


Imbuhan Pinjaman Bahasa Melayu

Isu Pengguna: Inflasi Global Melanda Dunia

06 March 2011


HARGA lebih tinggi untuk minyak, logam dan komoditi lain di seluruh dunia memaksa syarikat-syarikat pembuatan menyerap kos untuk membolehkan pelanggan terus membeli barangan mereka, kata berita Reuters dan Bloomberg.

Ini kerana jika dipindahkan kenaikan kos itu kepada pelanggan, maka mungkin mereka akan kehilangan pasaran. Keadaan ini memberi kesan kepada keuntungan mereka.

Tetapi berapa lamakah mereka boleh bertahan? Jika harga terus meningkat terutamanya minyak, akhirnya mereka akan memindahkan kos kepada pelanggan dan akhirnya kesannya akan sampai kepada pengguna. Maka berlakulah inflasi di peringkat global.

Sepanjang minggu lalu, harga minyak dunia terus naik, dengan memberi kesan kepada kebanyakan negara termasuk Malaysia. Kenaikan ini dikaitkan dengan gelombang kebangkitan di Asia Barat dan Afrika Utara. Jika Revolusi Arab ini berterusan, lebih-lebih lagi di Libya suasananya tidak kelihatan reda, maka harga minyak akan terus naik.

Tetapi keadaan akan lebih teruk lagi jika kekacauan itu merebak ke Arab Saudi. Kesan politiknya amat besar kepada dunia. Tetapi dari segi harga minyak, ia menjadi bencana pada dunia.

Fonologi: Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu

02 March 2011

Pelajar sekalian, muat turun dan baca nota berkenaan. Sesi perbincangan akan diadakan pada hari Isnin (7 Mac 2011) nanti.

sistemejaanrumipdf .

Isu Perpaduan: Perpaduan Bermula di Rumah



Usaha kukuhkan perpaduan bermula di rumah

MALAYSIA, sebagai sebuah negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa telah lama menjadi contoh terbaik di pentas dunia dalam mengamalkan hidup bermasyarakat yang bertoleransi, saling menghormati dan memahami antara satu kaum dengan kaum lain.

Apa yang negara kita nikmati sekarang amat jauh berbeza dengan negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum tetapi rakyatnya tidak pernah hidup aman lantaran perbezaan tersebut. Malah, ada negara yang memiliki penduduk daripada satu kaum sahaja tetapi masih gagal mengekalkan keamanan yang diingini kerana perpaduan rakyatnya yang rapuh.

Justeru, keunikan negara kita yang mempunyai penduduk pelbagai kaum yang dapat hidup dalam keadaan aman damai sentiasa menjadi perbualan masyarakat dunia. Itulah yang kita banggakan selama ini, tetapi soalnya apakah keadaan itu dapat dikekalkan?

Isu Sosial: Langkah Menangani Kes Buang Bayi

24 February 2011


Enam langkah penyelesaian masalah

KES pembuangan bayi nampaknya tidak ada kesudahan. Baru-baru ini seorang pemancing menemui satu bungkusan beg plastik yang mengandungi mayat bayi lelaki di tebing Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor.

Pihak polis Petaling Jaya mempercayai bayi berkenaan telah dibuang agak lama kerana sudah berbau. Kes seperti itu termasuk kes-kes lain sebelum ini jelas membuktikan bahawa kes pembuangan bayi tidak ada kesudahannya walaupun banyak mesej telah disampaikan kepada masyarakat terutama remaja agar tidak terlibat dalam gejala sosial ini.

Banyak pihak termasuk Utusan Malaysia telah mendedahkan masalah ini dengan harapan anggota masyarakat menghindari daripada terlibat dalam gejala sosial yang amat jijik ini.

Isu Sosial: Kesan Pornografi ke atas Masyarakat

23 February 2011


Sumber: YADIM
-----

Krisis moral yang sedang berlaku dalam masyarakat menggusarkan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan mengharapkan ianya ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi kanak-kanak dilahirkan tanpa dicatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran mereka. Bencana ini bukan sahaja memalukan negara malah menyebabkan kanak-kanak terbabit menanggung aib apabila rakan-rakannya yang lain mengetahui dengan jelas bapa sedangkan mereka terkapai-kapai mencapai maklumat yang pasti.

Dalam jangka waktu lapan tahun (2000 hingga 2008) sudah ada sejumlah 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan sijil kelahiran tanpa nama ayah. Setiap tahun, kelahiran sedemikian semakin meningkat misalnya pada tahun 2007 terdapat sejumlah 16,100 telah meningkat kepada 16.541 setahun kemudian dan pada tahun lalu mencapai ke tahap 17,303. Jika mengambil kiraan purata, bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari atau 7 orang anak luar nikah dilahirkan bagi setiap dua jam.

Menurut baginda “nyatalah masalah anak luar nikah makin mengingkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tog sampah semakin menjadi-jadi. Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008.”

Krisis moral yang berlaku ini lebih parah lagi dalam masyarakat Islam apabila seramai 70,430 didaftarkan atas status tersebut antara tahun 1999 hingga 2003 berbanding Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395). Seharusnya perkara ini tidak melanda masyarakat Islam kerana kita dipagari dengan larangan yang jelas terhadap zina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Zina bukan sahaja menjadi krisis moral, malah turut mengakibatkan bencana sosial yang lebih besar. Islam melarang keras aksi tersebut malah hukuman yang berat telah ditetapkan ke atas pelaku zina sama ada ianya dilakukan oleh pasangan yang telah berkahwin atau tidak.

Perlakuan zina mempunyai kaitan yang jelas dengan pergaulan bebas dan ketiadaan kawalan sosial yang ketat. Fenomena ini berlaku setelah masyarakat mengalami perubahan kepentingan dan anjakan pemikiran apabila melihat kawalan sosial sama ada dalam bentuk teguran dan pencegahan sebagai suatu kongkongan atau kesibukan menjaga hal ehwal orang lain.

Isu Sosial: Dadah Tetap `Musuh Nombor Satu’


Sumber: YADIM
-----

MASALAH utama belia khususnya golongan remaja atau belia bermula dari pencarian jati diri. Mereka mengalami krisis identiti kerana untuk dikelompokkan ke dalam kelompok kanak-kanak, merasa sudah besar, namun kurang besar untuk dikelompokkan dalam kelompok dewasa. Hal ini merupakan masalah bagi setiap remaja dan belia di belahan dunia ini terutama di negara kita Malaysia.

Oleh kerana pergulatan masa remaja ini, maka remaja ataupun golongan belia mempunyai keperluan sosialisasi yang seoptima mungkin, serta diperlukan pengertian dan sokongan orang tua dan keluarga dalam menghadapi atau menjalani zaman remaja. Apabila keperluan remaja kurang diperhatikan, maka belia akan terjebak dalam perkembangan peribadi yang ‘lemah’, bahkan dengan mudah boleh terjerumus ke dalam belenggu penyalahgunaan dadah.

Hingga sekarang, penyalahgunaan dadah semakin luas di dalam masyarakat kita, terutama semakin banyak di kalangan para belia yang sifatnya ingin tahu dan ingin mencuba. Pelbagai alas an diberikan mengapa ramai yang terjerumus ke lembah terlarang dan berbahaya ini yang kemudian tidak mampu melepaskan diri lagi. Alasannya antara lain ialah perkara ini sudah dianggap sebagai suatu gaya hidup masa kini, dipujuk orang agar merasakan nikmatnya, ingin lari dari masalah yang ada, untuk merasakan kenikmatan sesaat, kebergantungan dan tidak ada keinginan untuk berhenti dan banyak lagi alasan lainnya.

Ada baiknya kita mengintip sedikit tentang dadah. Apa itu jenis-jenis dadah? Menurut pakar kesihatan, pada dasarnya dadah terbahagi kepada 4 kumpulan, iaitu:

Isu Bahasa: Suruhanjaya Bahasa Negara!

22 February 2011

Datuk A Aziz Deraman
21/02/2011
Sumber: Rencana Utusan Malaysia

-----
Suruhanjaya Bahasa Negara!

APAKAH Malaysia mempunyai satu Dasar Bahasa Negara? Jawapannya: Ya dan benar! Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan mengkanunkan “Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen” dan Perkara 152 (6) menegaskan “Dalam Perkara ini,

maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.” Fungsi Bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, disemak 1971.

Daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain. Undang-undang tertinggi Malaysia itu menetapkan bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Persoalan semasa sekarang di Malaysia ialah keperlahanan pelbagai sektor, awam dan swasta bagi melaksanakan tanggung jawab dan usaha ke arah mencapai matlamat strategik, memperkukuh fungsi utama bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bahasa Melayu bukan satu bahasa yang kecil, tetapi peranan besarnya itu agak tidak menentu mulai pertengahan dekad 1990-an.

Isu Alam Sekitar: Penjagaan Alam Sekitar Secara Mapan Jamin Bekalan Air dirawat Cukup

21 February 2011


Oleh Mohd Azrone Sarabatin (azrone@bharian.com.my)
2011/02/21
-----
Penjagaan alam sekitar secara mapan jamin bekalan air dirawat cukup

SEORANG rakyat Malaysia secara purata menggunakan bekalan air dirawat pada kadar RM3.20 sebulan, kedua termurah di Asia selepas India berikutan tarif air rendah di negara ini. Namun kadar itu dijangka berubah dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang berikutan kegagalan kita mengurus sumber bekalan air meliputi air bersih dan air buangan, selain pencemaran sungai kesan kepesatan perindustrian, pembinaan serta kemusnahan tadahan air akibat kegiatan perladangan dan pembalakan.

Sumber bekalan berkurangan dengan sendirinya menyebabkan kadar tarif meningkat berikutan kos rawatan air bertambah sehingga mendorong syarikat pembekal melakukan tindakan segera menaikkan kadar bagi mengelak kerugian.


Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Ahmad Zahdi Jamil, berkata selain sungai hampir kering dan tercemar menyukarkan rawatan air, banjir yang merosakkan air sudah dirawat dan memerlukan proses rawatan semula sehingga kos berlipat ganda.

“Kita khuatir keadaan ini menyebabkan syarikat pembekal menaikkan tarif berikutan kos rawatan tinggi dan berulang. Keadaan itu tidak dapat dielak kerana jika syarikat itu menjual air pada tarif sama, mereka rugi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Cabaran utama bekalan air pada masa depan adalah kos menampung operasi dan pembinaan infrastruktur meliputi loji dan saluran paip mengikut perkembangan penduduk, ekonomi serta pembangunan.

Kajian MWA bersama pakar air di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara mendapati, kos operasi semakin tinggi berikutan sumber air kian tercemar, akhirnya mengurangkan bekalan air.

Aspek itu meliputi pertumbuhan sektor perladangan dan perindustrian serta tabiat manusia gagal memulihara alam sekitar manakala ada jabatan dan agensi kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab mengurus sumber alam semula jadi yang menjadi punca utama bekalan air.

Isu Pengguna: Harga Mahal Bagi Import Makanan


Oleh Jamhariah Jaafar (jamhariah@bharian.com.my)
2011/02/21
-----

Malaysia tidak mampu kawal harga jika terus bergantung bahan mentah dari luar negara

KELUH kesah rakyat mengenai harga barangan semakin meningkat mendapat perhatian serius kerajaan. Apatah lagi rintihan itu sampai terus ke telinga pemimpin sehingga ia menjadi antara topik perbincangan mesyuarat Kabinet, minggu ini.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak, dipercayai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan jentera kerajaan dalam membantu rakyat dari segi maklumat, pesanan berbelanja cara berhemah, pemantauan harga barangan serta penjelasan kukuh mengenai punca kenaikan harga.

Walaupun semua mata tertumpu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, setiap kali harga naik, perkara yang tidak begitu diketahui ramai bahawa banyak barangan terutama yang diimport berada di bawah bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Kenaikan harga barang bukan hanya melanda Malaysia tetapi ia berlaku di seluruh dunia. Malah penganalisis menjangka kenaikan yang berlaku sekarang tidak akan lagi mencatat penurunan kecuali kerajaan negara dunia mengurangkan kadar cukai seperti dilakukan Indonesia bulan lalu.

Keputusan Peperiksaan STPM 2010 (21 Februari 2011)

19 February 2011


Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 akan diumumkan pada hari Isnin, 21 Februari 2011.

Calon-calon boleh menyemak keputusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai jam 12:00 tengah hari, 21 Februari 2011:
taip STPM<> No. K/P hantar ke 36363 atau taip STPM<> RESULT<>No.K/P hantar ke 15888

Keputusan juga boleh disemak secara dalam talian dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my/stpm/loginfrm.aspx mulai jam 12:00 tengah hari, 21 Februari 2011

Analisis Soalan Karangan STPM 2002-2010

Isu-isu dalam Soalan Karangan

2002
1. Institusi kekeluargaan
2. Pasar raya
3. Minat membaca
4. Bekalan air

2003
1. Pencemaran sungai
2. Pasaran buku ilmiah
3. Kegiatan cetak rompak
4. Sistem pengangkutan awam

2004
1. Perpaduan dalam kalangan penduduk
2. Penggunaan racun serangga
3. Kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran
4. Budaya sains dan teknologi

2005
1. Aktiviti sukan
2. Pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini
3. Kegawatan ekonomi
4. Tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga

2006
1. Kitar semula
2. Siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian
3. Program bersifat realiti
4. Golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan

2007
1. Patriotisme dalam kalangan rakyat
2. Gejala obesiti atau kegemukan
3. Kegiatan seni budaya tradisional
4. Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

2008
1. Telefon bimbit
2. Gejala rasuah
3. Hak Pengguna
4. Rancangan televisyen

2009
1. Industri desa
2. Muzik
3. Penguasaan lebih daripada satu bahasa.
4. Perpaduan kaum

2010
1. Pembakaran secara terbuka
2. Ilmu seni pertahanan diri
3. Penglibatan remaja dalam kumpulan samseng
4. Industri pelancongan


-----

Perkongsian Bahan P&P Bahasa Melayu

05 February 2011


Terima kasih kepada guru dan pelajar yang telah menghantar e-mel kepada saya berkaitan bahan p&p, soalan dan rancangan pelajaran BM.

Bahan-bahan tersebut kebanyakannya saya masukkan dalam Scribd (http://www.scribd.com/sayadanbahasa). Pastikan anda mempunyai akaun Scribd untuk memuat turun bahan tersebut.

Saya juga sedang berusaha untuk membuka satu halaman
baru dalam blog ini berkaitan bahan p&p. Sumbangan anda amat dialu-alukan.


Kata Ganti Singkat Ku, Mu dan Nya

Pertanyaan melalui e-mel:
Bagaimana cara penulisan untuk kata ganti nama Ku, Mu dan Nya yang merujuk kepada Tuhan?



Jawapan
i. Ku, Mu dan Nya ialah kata ganti singkat sebagai ganti nama Tuhan.
ii. Ku, Mu dan Nya ditulis dengan huruf besar dan dipisahkan dengan tanda sempang daripada kata yang mendahuluinya.
iii. Contoh:
i. Tuhanku, bimbinglah hamba-Mu ini.
ii. "Adakah mereka berdoa kepada-Ku?"
iii. Semoga kita mendapat rahmat-Nya.

Fonologi: Alat Artikulasi

23 January 2011

ALAT ARTIKULASI

Bahasa Jiwa Bangsa

17 January 2011


"Bahasa jiwa bangsa", hilang bahasa lenyaplah bangsa.

Kita mungkin masih bernasib baik kerana bahasa ibunda kita masih digunakan walaupun dalam keadaan yang sudah cacamarba.

Masakan tidak, bahasa Melayu kita sudah menjadi bahasa rojak. Malang lagi apabila kebanyakan penutur natifnya sendiri lebih gemar berbahasa rojak daripada berbahasa Melayu sepenuhnya.

Maka sering ditemui orang Melayu lebih Inggeris daripada orang Inggeris, lebih Cina daripada orang Cina, lebih India daripada orang India dalam gaya perbualannya. Sedangkan bahasa yang digunakan bukanlah bahasa Inggeris sepenuhnya, atau bahasa Cina sepenuhnya, juga bahasa Tamil selengkapnya- Hanya menggunakan bahasa rojak atau bahasa pasar sahaja.

"Tauke, ini barang berapa harga ma?"
"Ayo, itu macam ka aci?"
"Jom kita keluar lunch tengah hari ni. You tunggu I kat tempat parking, ok"

Mungkin satu kebiasaan apabila situasi penggunaan bahasa sebegini ditemui dalam perbualan biasa-biasa dalam urusan yang tidak rasmi. Namun bagaimana apabila bahasa sebegitu juga banyak digunakan di pejabat, malah di Parlimen juga?

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Perihal Glokal

09 January 2011

Perkataan glokal dicipta oleh YAB Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam ucapan beliau ketika merasmikan Persidangan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2005 (Ketika itu beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia). Beliau menjelaskan hal penciptaan istilah glokal seperti yang berikut:

“Terlebih dahulu, izinkan saya mentakrifkan istilah glokal. Ia adalah gabungan antara dua perkataan, iaitu global dan lokal. Global bermaksud antarabangsa, internasional dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, dalam negara kita ini. Melayu Glokal yang kita impikan dan hasratkan ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional. Maksudnya, di samping kita hebat dalam Negara, kita juga berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke serata dunia. Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci.”

Jadi istilah glokal mendukung makna “gabungan akar nasional dan berakal antarabangsa.”

Rujukan:
S.Nathesan. “Glokal dan Sejarahnya” dlm Dewan Bahasa, November 2008:38-40
.


Bahasa Jiwa Bangsa