Bahasa Jiwa Bangsa

Isu Sosial: Langkah Menangani Kes Buang Bayi

24 February 2011


Enam langkah penyelesaian masalah

KES pembuangan bayi nampaknya tidak ada kesudahan. Baru-baru ini seorang pemancing menemui satu bungkusan beg plastik yang mengandungi mayat bayi lelaki di tebing Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor.

Pihak polis Petaling Jaya mempercayai bayi berkenaan telah dibuang agak lama kerana sudah berbau. Kes seperti itu termasuk kes-kes lain sebelum ini jelas membuktikan bahawa kes pembuangan bayi tidak ada kesudahannya walaupun banyak mesej telah disampaikan kepada masyarakat terutama remaja agar tidak terlibat dalam gejala sosial ini.

Banyak pihak termasuk Utusan Malaysia telah mendedahkan masalah ini dengan harapan anggota masyarakat menghindari daripada terlibat dalam gejala sosial yang amat jijik ini.

Isu Sosial: Kesan Pornografi ke atas Masyarakat

23 February 2011


Sumber: YADIM
-----

Krisis moral yang sedang berlaku dalam masyarakat menggusarkan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan mengharapkan ianya ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi kanak-kanak dilahirkan tanpa dicatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran mereka. Bencana ini bukan sahaja memalukan negara malah menyebabkan kanak-kanak terbabit menanggung aib apabila rakan-rakannya yang lain mengetahui dengan jelas bapa sedangkan mereka terkapai-kapai mencapai maklumat yang pasti.

Dalam jangka waktu lapan tahun (2000 hingga 2008) sudah ada sejumlah 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan sijil kelahiran tanpa nama ayah. Setiap tahun, kelahiran sedemikian semakin meningkat misalnya pada tahun 2007 terdapat sejumlah 16,100 telah meningkat kepada 16.541 setahun kemudian dan pada tahun lalu mencapai ke tahap 17,303. Jika mengambil kiraan purata, bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari atau 7 orang anak luar nikah dilahirkan bagi setiap dua jam.

Menurut baginda “nyatalah masalah anak luar nikah makin mengingkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tog sampah semakin menjadi-jadi. Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008.”

Krisis moral yang berlaku ini lebih parah lagi dalam masyarakat Islam apabila seramai 70,430 didaftarkan atas status tersebut antara tahun 1999 hingga 2003 berbanding Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395). Seharusnya perkara ini tidak melanda masyarakat Islam kerana kita dipagari dengan larangan yang jelas terhadap zina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Zina bukan sahaja menjadi krisis moral, malah turut mengakibatkan bencana sosial yang lebih besar. Islam melarang keras aksi tersebut malah hukuman yang berat telah ditetapkan ke atas pelaku zina sama ada ianya dilakukan oleh pasangan yang telah berkahwin atau tidak.

Perlakuan zina mempunyai kaitan yang jelas dengan pergaulan bebas dan ketiadaan kawalan sosial yang ketat. Fenomena ini berlaku setelah masyarakat mengalami perubahan kepentingan dan anjakan pemikiran apabila melihat kawalan sosial sama ada dalam bentuk teguran dan pencegahan sebagai suatu kongkongan atau kesibukan menjaga hal ehwal orang lain.

Isu Sosial: Dadah Tetap `Musuh Nombor Satu’


Sumber: YADIM
-----

MASALAH utama belia khususnya golongan remaja atau belia bermula dari pencarian jati diri. Mereka mengalami krisis identiti kerana untuk dikelompokkan ke dalam kelompok kanak-kanak, merasa sudah besar, namun kurang besar untuk dikelompokkan dalam kelompok dewasa. Hal ini merupakan masalah bagi setiap remaja dan belia di belahan dunia ini terutama di negara kita Malaysia.

Oleh kerana pergulatan masa remaja ini, maka remaja ataupun golongan belia mempunyai keperluan sosialisasi yang seoptima mungkin, serta diperlukan pengertian dan sokongan orang tua dan keluarga dalam menghadapi atau menjalani zaman remaja. Apabila keperluan remaja kurang diperhatikan, maka belia akan terjebak dalam perkembangan peribadi yang ‘lemah’, bahkan dengan mudah boleh terjerumus ke dalam belenggu penyalahgunaan dadah.

Hingga sekarang, penyalahgunaan dadah semakin luas di dalam masyarakat kita, terutama semakin banyak di kalangan para belia yang sifatnya ingin tahu dan ingin mencuba. Pelbagai alas an diberikan mengapa ramai yang terjerumus ke lembah terlarang dan berbahaya ini yang kemudian tidak mampu melepaskan diri lagi. Alasannya antara lain ialah perkara ini sudah dianggap sebagai suatu gaya hidup masa kini, dipujuk orang agar merasakan nikmatnya, ingin lari dari masalah yang ada, untuk merasakan kenikmatan sesaat, kebergantungan dan tidak ada keinginan untuk berhenti dan banyak lagi alasan lainnya.

Ada baiknya kita mengintip sedikit tentang dadah. Apa itu jenis-jenis dadah? Menurut pakar kesihatan, pada dasarnya dadah terbahagi kepada 4 kumpulan, iaitu:

Isu Bahasa: Suruhanjaya Bahasa Negara!

22 February 2011

Datuk A Aziz Deraman
21/02/2011
Sumber: Rencana Utusan Malaysia

-----
Suruhanjaya Bahasa Negara!

APAKAH Malaysia mempunyai satu Dasar Bahasa Negara? Jawapannya: Ya dan benar! Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan mengkanunkan “Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen” dan Perkara 152 (6) menegaskan “Dalam Perkara ini,

maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.” Fungsi Bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, disemak 1971.

Daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain. Undang-undang tertinggi Malaysia itu menetapkan bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Persoalan semasa sekarang di Malaysia ialah keperlahanan pelbagai sektor, awam dan swasta bagi melaksanakan tanggung jawab dan usaha ke arah mencapai matlamat strategik, memperkukuh fungsi utama bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bahasa Melayu bukan satu bahasa yang kecil, tetapi peranan besarnya itu agak tidak menentu mulai pertengahan dekad 1990-an.

Isu Alam Sekitar: Penjagaan Alam Sekitar Secara Mapan Jamin Bekalan Air dirawat Cukup

21 February 2011


Oleh Mohd Azrone Sarabatin (azrone@bharian.com.my)
2011/02/21
-----
Penjagaan alam sekitar secara mapan jamin bekalan air dirawat cukup

SEORANG rakyat Malaysia secara purata menggunakan bekalan air dirawat pada kadar RM3.20 sebulan, kedua termurah di Asia selepas India berikutan tarif air rendah di negara ini. Namun kadar itu dijangka berubah dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang berikutan kegagalan kita mengurus sumber bekalan air meliputi air bersih dan air buangan, selain pencemaran sungai kesan kepesatan perindustrian, pembinaan serta kemusnahan tadahan air akibat kegiatan perladangan dan pembalakan.

Sumber bekalan berkurangan dengan sendirinya menyebabkan kadar tarif meningkat berikutan kos rawatan air bertambah sehingga mendorong syarikat pembekal melakukan tindakan segera menaikkan kadar bagi mengelak kerugian.


Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Ahmad Zahdi Jamil, berkata selain sungai hampir kering dan tercemar menyukarkan rawatan air, banjir yang merosakkan air sudah dirawat dan memerlukan proses rawatan semula sehingga kos berlipat ganda.

“Kita khuatir keadaan ini menyebabkan syarikat pembekal menaikkan tarif berikutan kos rawatan tinggi dan berulang. Keadaan itu tidak dapat dielak kerana jika syarikat itu menjual air pada tarif sama, mereka rugi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Cabaran utama bekalan air pada masa depan adalah kos menampung operasi dan pembinaan infrastruktur meliputi loji dan saluran paip mengikut perkembangan penduduk, ekonomi serta pembangunan.

Kajian MWA bersama pakar air di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara mendapati, kos operasi semakin tinggi berikutan sumber air kian tercemar, akhirnya mengurangkan bekalan air.

Aspek itu meliputi pertumbuhan sektor perladangan dan perindustrian serta tabiat manusia gagal memulihara alam sekitar manakala ada jabatan dan agensi kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab mengurus sumber alam semula jadi yang menjadi punca utama bekalan air.

Isu Pengguna: Harga Mahal Bagi Import Makanan


Oleh Jamhariah Jaafar (jamhariah@bharian.com.my)
2011/02/21
-----

Malaysia tidak mampu kawal harga jika terus bergantung bahan mentah dari luar negara

KELUH kesah rakyat mengenai harga barangan semakin meningkat mendapat perhatian serius kerajaan. Apatah lagi rintihan itu sampai terus ke telinga pemimpin sehingga ia menjadi antara topik perbincangan mesyuarat Kabinet, minggu ini.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak, dipercayai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan jentera kerajaan dalam membantu rakyat dari segi maklumat, pesanan berbelanja cara berhemah, pemantauan harga barangan serta penjelasan kukuh mengenai punca kenaikan harga.

Walaupun semua mata tertumpu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, setiap kali harga naik, perkara yang tidak begitu diketahui ramai bahawa banyak barangan terutama yang diimport berada di bawah bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Kenaikan harga barang bukan hanya melanda Malaysia tetapi ia berlaku di seluruh dunia. Malah penganalisis menjangka kenaikan yang berlaku sekarang tidak akan lagi mencatat penurunan kecuali kerajaan negara dunia mengurangkan kadar cukai seperti dilakukan Indonesia bulan lalu.

Keputusan Peperiksaan STPM 2010 (21 Februari 2011)

19 February 2011


Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 akan diumumkan pada hari Isnin, 21 Februari 2011.

Calon-calon boleh menyemak keputusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai jam 12:00 tengah hari, 21 Februari 2011:
taip STPM<> No. K/P hantar ke 36363 atau taip STPM<> RESULT<>No.K/P hantar ke 15888

Keputusan juga boleh disemak secara dalam talian dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my/stpm/loginfrm.aspx mulai jam 12:00 tengah hari, 21 Februari 2011

Analisis Soalan Karangan STPM 2002-2010

Isu-isu dalam Soalan Karangan

2002
1. Institusi kekeluargaan
2. Pasar raya
3. Minat membaca
4. Bekalan air

2003
1. Pencemaran sungai
2. Pasaran buku ilmiah
3. Kegiatan cetak rompak
4. Sistem pengangkutan awam

2004
1. Perpaduan dalam kalangan penduduk
2. Penggunaan racun serangga
3. Kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran
4. Budaya sains dan teknologi

2005
1. Aktiviti sukan
2. Pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini
3. Kegawatan ekonomi
4. Tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga

2006
1. Kitar semula
2. Siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian
3. Program bersifat realiti
4. Golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan

2007
1. Patriotisme dalam kalangan rakyat
2. Gejala obesiti atau kegemukan
3. Kegiatan seni budaya tradisional
4. Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

2008
1. Telefon bimbit
2. Gejala rasuah
3. Hak Pengguna
4. Rancangan televisyen

2009
1. Industri desa
2. Muzik
3. Penguasaan lebih daripada satu bahasa.
4. Perpaduan kaum

2010
1. Pembakaran secara terbuka
2. Ilmu seni pertahanan diri
3. Penglibatan remaja dalam kumpulan samseng
4. Industri pelancongan


-----

Perkongsian Bahan P&P Bahasa Melayu

05 February 2011


Terima kasih kepada guru dan pelajar yang telah menghantar e-mel kepada saya berkaitan bahan p&p, soalan dan rancangan pelajaran BM.

Bahan-bahan tersebut kebanyakannya saya masukkan dalam Scribd (http://www.scribd.com/sayadanbahasa). Pastikan anda mempunyai akaun Scribd untuk memuat turun bahan tersebut.

Saya juga sedang berusaha untuk membuka satu halaman
baru dalam blog ini berkaitan bahan p&p. Sumbangan anda amat dialu-alukan.


Kata Ganti Singkat Ku, Mu dan Nya

Pertanyaan melalui e-mel:
Bagaimana cara penulisan untuk kata ganti nama Ku, Mu dan Nya yang merujuk kepada Tuhan?



Jawapan
i. Ku, Mu dan Nya ialah kata ganti singkat sebagai ganti nama Tuhan.
ii. Ku, Mu dan Nya ditulis dengan huruf besar dan dipisahkan dengan tanda sempang daripada kata yang mendahuluinya.
iii. Contoh:
i. Tuhanku, bimbinglah hamba-Mu ini.
ii. "Adakah mereka berdoa kepada-Ku?"
iii. Semoga kita mendapat rahmat-Nya.


Bahasa Jiwa Bangsa