Bahasa Jiwa Bangsa

Pengguna Bahasa Melayu Perlu Mematuhi Peraturan Sopan Santun

17 March 2012

Air muka bagi orang Melayu mempunyai peranan bukan setakat masa berlangsungnya komunikasi, tetapi menjangkau ruang lingkup yang lebih jauh daripada itu. 
Air muka seseorang membawa pengertian yang lebih jauh dan mendalam, bukan setakat nama baik orang yang berkenaan sahaja, tetapi meliputi juga didikan yang diperoleh daripada ibu bapa, guru dan kaum keluarga. Dengan itu, nama baik dan maruah seseorang itu meliputi juga nama baik ibu bapa dan kaum keluarganya. 
Oleh itu, dalam sesuatu komunikasi baik secara bersemuka atau secara bertulis, seseorang itu hendaklah berhati-hati supaya tidak menjatuhkan air muka pihak yang diajak berkomunikasi ataupun juga yang dijadikan subjek komunikasi. 
Jika jatuhlah air muka sesuatu pihak, maka akan timbul perselisihan yang hebat antara pihak berkenaan yang tentu sahaja akan melibatkan kaum keluarga dan handai taulan.
Langkah balas budi yang paling mudah dalam hubungan sesama manusia adalah dalam bentuk bahasa, iaitu ucapan terima kasih atau tutur kata yang seperti itu yang menyatakan betapa besarnya hati kita mendapat “budi” daripada orang yang berkenaan. 
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar
dalam Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media (2007: 8 – 9). 


 Renungan 

Hendaknya kita sentiasa berusaha untuk menjelmakan kesantunan berbahasa dalam komunikasi di Internet. Contohnya, kita berusaha menggunakan bahasa yang baku dan sopan dalam penulisan untuk blog, e-grup, dan Facebook. Kita juga berusaha menjaga kesopanan apabila menulis ulasan dalam blog, Facebook dan sebagainya.


Bahasa Jiwa Bangsa