Bahasa Jiwa Bangsa

Asal Usul Bahasa Melayu

19 May 2010

KONSEP MELAYU

Definisi awal istilah “Melayu”

1. M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul Geographike Sintaxis.
2. Kitab Hindu Purba yang berjudul Purana terdapat perkataan malaya-dvipa.
3. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk
mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
4. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah
kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu Kerajaan Melayu di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang.
5. Catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahasa yang
dituturkan penduduk di situ ialah bahasa K’un-lun. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno.
6. Sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan “Malaya” atau “Melayu” pada
bahagian belakangnya.
7. Buku Sejarah Melayu mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu
Sungai Melayu.


Definisi “Melayu” dari segi etimologi

Etimologi : Kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut.

1. Berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan “hima alaya”. “Alaya” bermaksud “tempat” manakala “hima alaya”
bermaksud “tempat bersalji”.
2. Perkataan Malayapura yang bermaksud “kota Melayu” atau “kerajaan Melayu”.
3. Dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, mlayu yang bermaksud “mengembara” atau “pergi ke mana-mana”.
4. Berasal daripada nama sebatang sungai, Sungai Melayu yang disebut dalam buku Sejarah Melayu.
5. Van der Tuuk , perkataan Melayu bererti “menyeberang”, merujuk kepada orang Melayu yang menyeberang atau menukar
agama daripada agama Hindu-Buddha kepada Islam.

Definisi “Melayu” berdasarkan Bangsa

Istilah Melayu dapat diberi dua pengertian, iaitu pengertian yang luas dan pengertian yang sempit

Pengertian yang luas

Istilah Melayu merujuk kepada bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu dan kawasan-kawasan
gugusan kepulauan Melayu. Berdasarkan “The Malay Culture Study Project” (1972), konsep Melayu merujuk kepada suku
bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.
Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa pengertian Melayu merujuk kepada bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami
Semenanjung Tanah Melayu, pantai Timur Sumatera dan beberapa tempat lain di Nusantara.

Pengertian yang sempit

Pengertian yang sempit ialah seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu Perkara 153 mengatakan bahawa
seseorang itu dapat ditakrifkan sebagai Melayu apabila memiliki ciri-ciri seperti: lazimnya berbahasa Melayu, berkebudayaan
Melayu dan beragama Islam (yang murtad, tukar kewarganegaraan : taraf Melayu - hilang )

Tafsiran Melayu mengikut pengertian suku bangsa lebih berdasarkan etnik (keturunan biologi). Walaupun begitu, syarat
berbahasa Melayu dan kebudayaan Melayu masih diperlukan. Walau bagaimanapun, mereka tidaklah semestinya beragama Islam. Untuk maksud ini, orang-orang Melayu ialah:
  • orang-orang Melayu seperti yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia.
  • orang-orang Melayu yang mendiami kawasan Selatan Thai, Pesisir Sumatera (utara Medan, Deli, Serdang, Palembang, Riau, Lingga ) ada beragama Budha, Kristian
  • orang-orang Melayu di bahagian pertama Sarawak ada beragama Kristian
  • orang-orang Melayu di Brunei dan Sabah ada yang tiada agama, agama-agama lain

Tafsiran Melayu mengikut pengertian ras merangkumi penduduk Seluruh Nusantara. Berdasarkan kajian Geldern dan Kern,kumpulan bangsa Melayu berasal dari utara ke selatan. Mereka berasal daripada satu kelompok bangsa kemudian tersebar ke
seluruh Nusantara. Pengertian mengikut ras ini lebih tertumpu kepada suatu rumpun bangsa yang besar dan berkaitan.

STPM 2009: Kelulusan 100%

09 March 2010


Baca selanjutnya;

Bahasa Melayu Istilah Tepat

02 March 2010

Sumber: Berita Harian |23 Februari 2010|

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Sejarah membuktikannya dan tidak perlu diubah hanya kerana takut

PENGGUNAAN istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu, sekali gus menjadikan usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15, pada bulan lalu, wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

Pengerusi Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rahim Aman, berkata penggunaan istilah bahasa Malaysia lebih berbentuk politik dan tidak merujuk kepada ilmu bahasa, sedangkan istilah yang tepat ialah bahasa Melayu dengan mengambil kira sejarah, akademik dan hakikat ilmu.

“Kerajaan mungkin melihat integrasi nasional sehingga mengharapkan semua etnik di negara ini menerimanya sebagai bahasa nasional. Bagaimanapun, ia tidak benar jika kita melihat berdasarkan konsep akademik kerana sejarah kita lebih kepada penggunaan istilah bahasa Melayu dan sudah pun diterima oleh semua etnik di negara ini,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Dr Rahim berkata, penggunaan istilah bahasa Melayu sudah wujud sebelum Kesultanan Melayu Melaka diasaskan seperti yang digunakan oleh Kerajaan Melayu Funan, manakala pembukaan Melaka memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa terbabit.

“Kerajaan Johor-Riau selepas jatuhnya Melaka, juga berkembang sebagai pusat pentadbiran, ilmu, ekonomi dan persuratan Melayu sehingga bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa penyatu kepada etnik yang ada.

“Kalau kita lihat bahasa Inggeris pun sebenarnya berasal daripada dialek yang asalnya berkembang di wilayah England yang masih kecil ketika itu, tetapi diangkat menjadi bahasa kebangsaan mereka selaras dengan perkembangan kota London sebagai pusat ekonomi dan kecemerlangan tamadun,” katanya.

Apatah lagi istilah bahasa Melayu, masih digunakan dalam konteks akademik sehingga pusat dan program pengajian masih mengekalkan bahasa Melayu kerana universiti dibina atas asas akademik, berdasarkan sejarah bahasa Melayu yang lama itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan itu kerana bahasa Melayu sudah pun kukuh dan berupaya menjadi bahasa penyatu sehingga generasi terdahulu sejak ratusan tahun dulu dapat menerimanya.

“Kita jangan berasa takut pada perkataan Melayu kerana sifat takut itu sendiri sebenarnya menggalakkan perkauman, sebaliknya penggunaan Melayu, boleh mencairkan perkauman kerana semua etnik di negara ini menerimanya.

“Bahasa Cina dan bahasa Tamil masih ada tetapi mengapa kita korbankan bahasa Melayu sedangkan saya yakin orang Cina sendiri menerima istilah itu kerana tidak ada demonstrasi atau bantahan daripada etnik lagi,” katanya.

Mengenai istilah bangsa Melayu, Dr Rahim mengambil pendekatan untuk menerima penggunaannya kerana bangsa merujuk kepada bangsa yang membina sesebuah negara, manakala etnik atau kaum pula digunakan untuk Melayu, Cina, India serta etnik di Sabah dan Sarawak.

“Semua etnik itu menjadi warga negara, iaitu bangsa Malaysia seperti bangsa Amerika yang diwakili pelbagai etnik, sekali gus penggunaan bangsa Malaysia wajar dikekalkan untuk menimbulkan kebanggaan kerana tanah ini menjadi tempat kita hidup, membina kehidupan dan mati,” katanya.

Pandangan Dr Rahim senada dengan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Adi Yasran Abdul Aziz, dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi berbeza dalam konteks penggunaan bangsa Melayu.

“Istilah bahasa Melayu sudah digunakan pada Batu Bersurat Terengganu pada 1303 Masihi dan terus digunakan sehingga 1970 tanpa ada sebarang isu berbangkit sehingga ketika mencapai kemerdekaan, bangsa lain tidak membantah apabila ia dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” jelasnya.

Justeru, ada keperluan untuk menilai kembali perubahan istilah kepada bahasa Malaysia kerana ia berkaitan dengan jati diri orang Melayu sedangkan bahasa dan bangsa adalah fitrah kejadian, lalu perubahan mesti dibuat ke arah kebaikan dan sekiranya tiada manfaat besar kepada orang Melayu, perubahan tidak perlu.

“Bahasa Melayu sudah diterima berabad-abad lama. Bahasa dan bangsa ialah fitrah kejadian. Apabila seseorang dibesarkan dalam keluarga Melayu yang menggunakan bahasa ibundanya, individu berkenaan akan turut berbahasa Melayu, iaitu peringkat pemerolehan bahasa,” katanya.

Beliau meminta pihak yang mahu mencipta istilah, terlebih dulu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertanggungjawab dalam perkara terbabit kerana ia perlu mematuhi prosedur tertentu sebelum istilah berkenaan diterima pakai.

“Berbincang dulu dengan ahli bahasa sebelum menukarkannya. Sekiranya ada kepentingan politik dan perpaduan, ahli bahasa terbuka dalam menilai. Apatah lagi dari segi undang-undang, ia tidak tercatat sebagai bahasa kebangsaan ialah bahasa Malaysia. Sebaliknya Perkara 152 menegaskan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” tegasnya.

Mengenai istilah bangsa Malaysia, Dr Adi Yasran menganggap istilah itu sebagai idaman yang belum berlaku, sebaliknya penggunaan masyarakat Malaysia lebih tepat berdasarkan realiti rakyat di negara ini yang berada di bawah pentadbiran dan pemerintahan Malaysia.

Peraturan Tatabahasa Menggunakan “bakal” dan “akan”

13 February 2010

Perkataan "bakal" dan "akan" amat berbeza. Kita boleh menulis "bakal isteri" tetapi tidak boleh menulis "akan isteri".

Perkataan "bakal" merujuk pada "status".

a. Dia bakal tunang saya.
b. Dia tunang saya.
c. Dia bekas tunang saya.

Perkataan "akan" merujuk kepada "mode".

a. Dia belum berkahwin.
b. Dia akan berkahwin.
c. Dia sudah berkahwin.

"bakal" sentiasa diikuti oleh katanama:

bakal isteri (BETUL)
bakal tunang (BETUL)
bakal ayah mertua (BETUL)
bakal perdana menteri (BETUL)
bakal ketua pengarah (BETUL)

"akan" sentiasa diikuti oleh katakerja:

akan lahir (BETUL) = bakal lahir (SALAH)
akan berkahwin (BETUL) = bakal berkahwin (SALAH)
akan dinikahkan (BETUL) = bakal dinikahkan (SALAH)
akan berpisah (BETUL) = bakal berpisah (SALAH)
akan rujuk (BETUL) = bakal rujuk (SALAH)
---
Sumber: UNIKA PTS

Fonologi: Alat Artikulasi

28 January 2010

Sila muat turun nota berikut:

http://www.ziddu.com/download/8360637/ALATARTIKULASI.doc.html



Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia

Klik imej untuk paparan lebih jelas.
Maklumat Artikel:
Bahasa Melayu, bahasa Malaysia
Salbiah Ani
Berita Harian 23 Julai 2009

Artikel boleh diakses melalui http://www.umlib.um.edu.my/newscut_details.asp?cutid=389


Perbincangan Tentang Bahasa Melayu

Salam semua.

Kita sudah berbincang tentang Bahasa Melayu (BM) merangkumi bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa sains dan teknologi, dan termasuklah usaha-usaha untuk memartabatkan BM.

Berikut disenaraikan beberapa rujukan yang boleh dibaca untuk meluaskan pengetahuan tentang aspek yang telah kita bincangkan.

Angka Roman Tidak Memerlukan Awalan Ke

08 November 2009

Awalan ke tidak diperlukan untuk angka roman. Tuan Haji Muhammed Salehudin Aman menyatakan hal ini dalam ruangan “Cintai Bahasa Kita” dalam Dewan Siswa keluaran November 2009. Menurut beliau, jika angka itu angka roman, kata sendi ke dan tanda sempang tidak perlu ditulis.

Perkara ini tercatat juga dalam Koleksi Lembar Bahasa Bil 1. Cetakan pertama lembar ini adalah pada tahun 2002. Lembar ini dicetak ulang pada tahun 2006 dan 2007.

Ungkapan contoh yang salah dan yang betul adalah seperti yang di bawah:

*ke II → II
*ke-II → II
*ke III → III
*ke-III → III
*ke IV → IV
*ke-IV → IV
*ke V → V
*ke-V → V
*Kolokium Bahasa Melayu *ke VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Kolokium Bahasa Melayu *ke-VI → Kolokium Bahasa Melayu VI
*Sukan SEA *ke XIV → Sukan SEA XIV
*Sukan SEA *ke-XIV → Sukan SEA XIV

------
Sumber asal: Blog Tuan Mohd Isa bin Abd Razak



Tips Peperiksaan BM 910/2

30 October 2009

Sila kunjungi blog Tips Peperiksaan BM910/2 untuk mendapatkan maklumat dan panduan menjawab semasa peperiksaan.



Bahasa Melayu Hebat

25 August 2009





Kata Pemeri Adalah dan Ialah

31 July 2009

Sumber: Blog Santun Bahasa (Profesor Emeritus Abdullah Hassan)

---

Berikut ada sebuah permintaan daripada Encik Danish.

Salam Tuan Prof.

Saya hendak bertanya.

Saya keliru dengan penggunaan “ialah” dan “adalah”. Apa perbezaan antara dua perkataan itu, dan bagaimana hendak digunakan?

Terima kasih atas tunjuk ajar Tuan.

danish (dohimbang@yhoo.com)

Bahagian ini diambil daripada Tatabahasa Dewan edisi terakhir. Ini adalah Tatabahasa Dewan. Saya bukan pengarangnya.

Namun, saya sudah mencuba menyesuaikan bahasa dan poersembahannya supaya mudah difahami. Sila baca dengan teliti dan sekiranya masih ada kesukaran memahaminya, silalah kemukakan pertanyaan Encik kepada saya. Saya akan menjawab pertanyaan selanjutnya dengan menggunakan kaedah saya sendiri.

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Pemerihalan itu dapat dilakukan melalui dua cara, iaitu:

(i) secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah,
(ii) secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.

Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama seperti yang terdapat dalam ayat-ayat berikut:

148. Antara perkara yang dibicarakan dalam buku itu ialah masalah moral negara.
149. Dalam terjemahan komunikatif, yang mustahak ialah mesej yang hendak disampaikan.
150. Bahasa Melayu ialah bahasa yang tergolong dalam keluarga Austronesia.

Kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi seperti yang terdapat dalam ayat berikut:

151. Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
152. Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.

Perlu diingat bahawa penggunaan kata pemeri amat terbatas, dan sebenarnya kurang digalakkan dalam pembentukan ayat bahasa Melayu.

Perlu juga diingat bahawa kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh yang demikian, penggunaan kata pemeri ‘adalah’ dalam ayat-ayat berikut dianggap menyalahi tata nahu bahasa Melayu.

153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
154. * Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
155. * Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin. 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.

Ayat di atas seharusnya berbentuk seperti berikut:

Ayat 153. * Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok, yang betul adalah seperti berikut:

153a. Dengan ini diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok. ‘
153b. Anda diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
153c. Ibu bapa diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153d. Tuan-tuan diberitahu sekolah akan ditutup esok.
153e. Dengan hormatnya diberitahu sekolah akan ditutup esok.

Ayat 154. *Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan, yang betul adalah sepert berikt:

154a. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154b. Tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.
154c. Anda dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada bulan hadapan.

Ayat 155. *Adalah diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin, yang betul adalah seperti berikut:

155a. Dengan ini diisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa jatuh pada hari Isnin.

Ayat 156. *Kegagalan projek itu adalah disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu, yang betul adalah seperti berikut:

156a. Kegagalan projek itu disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan syarikat itu.



Bahasa Jiwa Bangsa