Kerajaan perlu serius dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu, kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Awang Sariyan sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan surat-menyurat rasmi negeri Sarawak.
Bahasa Melayu akan terpinggir, sekadar bahasa dalam perlembagaan - DBP
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu serius dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu, kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan surat-menyurat rasmi negeri Sarawak.
Beliau berkata perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, didefinisikan sebagai penggunaan Bahasa Melayu dalam acara-acara rasmi dalam negara ini.
"Secara falsafahnya, semua negeri harus mendokong semangat dan roh Perlembagan Persekutuan. Dari segi praktiknya, kelonggaran diberikan di peringkat Tanah Melayu, dengan 10 tahun kelonggaran dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. "
Namun selepas 10 tahun, tiada helah dan alasan lagi untuk bahasa Melayu untuk tidak digunakan. Kelonggaran itu diberikan dalam tempoh 10 tahun pertama (penubuhan Malaysia). Jadi, kalau tahun 1963 dihitung sebagai titik mula, beerti tahun 1973 sudah tamat tempoh (kelonggaran) tersebut", tambah Awang dalam satu sidang media di Menara DBP, di sini pada Khamis.
Menurutnya, kelonggaran itu tidak sepatutnya diteruskan memandangkan kelonggaran yang diberikan sudah melebihi 50 tahun.
"Ini bukan setakat kelonggaran. Kalau disebut dasar dwibahasa ataupun pentadbiran, bererti kecenderungan dapat kita bacakan atau kita telah ramalkan, akan lebih banyak orang yang cenderung memilih bahasa kedua."
"Akhirnya bahasa Melayu akan terpinggir, menjadi satu bahasa yang hanya tercatat dalam perlembagaan. Pada pratiknya lagi, bahasa kedualah yang akan mengambil alih Bahasa Melayu."
Beliau berkata keadaan tersebut akan mengancam perpaduan, jati diri dan aspirasi dalam mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
"Jadi kita tidak mahu ada negeri yang menggunakan Bahasa Inggeris diutamakan dan Bahasa Melayu menjadi bahasa kedua kemudian ada negeri lain menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang menunjukkan tiada aspirasi yang sama."
Awang juga berkata penggunaan Bahasa Melayu di negeri Sabah dan Sarawak pada ketika ini berada di peringkat dan kualiti yang lebih tinggi.
"Ini bukan pandangan peribadi saya. Dalam satu program dakwah bahasa sekitar tahun 80-an bersama Jabatan Ketua Menteri Sabah di seluruh daerah, hampir 100 etnik di Sabah dan Sarawak berkomunikasi di antara mereka menggunakan bahasa Melayu. Ini menunjukkan Bahasa Melayu menjadi tutur penyatu etnik di Sabah dan Sarawak."
"Melihat perkara ini, potensi Bahasa Melayu itu patut digilap dan menjadi utama di Sabah dan Sarawak," tambahnya.
0 komentar :
Post a Comment