Pemantapan Bahasa Melayu Melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

23 April 2009

Artikel ringkas ini telah disiarkan oleh akhbar dalam talian Sinar Harian dalam kolum Rencana Komuniti (20 April 2009).

Pemantapan Bahasa Melayu Melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
20/4/2009 12:59:12 AM
Pengirim: Bukhari


Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan juga asas perpaduan terus diberi penekanan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan(PIPP), iaitu membina Negara Bangsa. Kesungguhan untuk melaksanakan fokus ini dijelaskan sebagai cabaran untuk memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa perpaduan.

Beberapa langkah ke arah memperkasakan dan menjulang Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu talah digariskan dalam PIPP . Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberi tanggungjawab penuh untuk memperlengkapkan korpus Bahasa Kebangsaan, menyebarkan maklumat berkaitan Bahasa Kebangsaan, menggalakkan dan mengiktiraf penggunaan Bahasa Kebangsaan, meningkatkan penggunaan dan kemahiran berbahasa dalam Bahasa Kebangsaan, dan meningkatkan bahan bacaan dan rujukan dalam Bahasa Kebangsaan. Agenda tersebut akan disokong melalui usaha penterjemahan buku-buku ilmu dan karya agung yang dikendalikan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) pula berperanan memperbanyakkan penerbitan buku judul umum, penerbitan buku dalam bentuk digital, pengiktirafan terhadap buku-buku terbitan tempatan dan usaha mempromosi buku-buku terbitan tempatan ke pesta-pesta buku antarabangsa.

Langkah-langkah tersebut merupakan lanjutan ke arah memantapkan lagi pelaksanaan beberapa dasar terhadap Bahasa Melayu sebelum ini yang didapati tidak menampakkan keberkesanannya. Umpamanya Dasar Buku Negara dan kadar penterjamahan karya-karya asing ke dalam Bahasa Melayu yang masih belum mencapai tujuannya. Ini diakui dalam fasal 4.1 pelan ini, iaitu dalam konteks Dasar Buku Negara usaha memperkasakan Bahasa Melayu masih belum dapat dibanggakan kerana jumlah penerbitan buku terutama buku judul umum oleh penerbit tempatan secara umumnya masih lagi rendah berbanding dengan Korea Selatan, Jepun dan China. Selain itu, usaha penterjemahan daripada bahasa asing kepada Bahasa Melayu juga masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Usaha-usaha menggalakkan penerbitan buku-buku judul umum dan penterjemahan karya asing kepada Bahasa Melayu merupakan suatu yang boleh dibanggakan kerana akan memperbanyakkan bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Usaha ini sewajarnya dilihat sebagai satu langkah berterusan untuk memantapkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah. Hal ini sejajar dengan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Selain itu, bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu, pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan juga dilaksanakan oleh sekolah, Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, DBP, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan merangkumi usaha-usaha untuk mengukuhkannya dalam kurikulum dan kokurikulum, aktiviti pembangunan dan pengembangan Bahasa Kebangsaan, aktiviti kesusasteraan termasuk perkhemahan sastera, sayembara puisi, deklamasi sajak, pertandingan berbalas pantun, syarahan serta pertandingan menulis cerpen dan puisi. Melalui PIPP juga, pembaharuan terhadap gerakan memperkasakan Bahasa Melayu dilakukan dengan menyenaraikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) sebagai salah satu perayaan utama Kementerian Pelajaran Malaysia dan seterusnya dijadikan salah satu daripada perayaan nasional.

Berdasarkan perancangan dan usaha-usaha yang dipaparkan dalam PIPP, jelas usaha memartabatkan Bahasa Melayu tetap menjadi agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal ini kerana Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dan bahasa pengantar dalam pendidikan sewajarnya terus diperkasakan dan dimantapkan agar kedudukannya terus utuh dan peranannya sebagai alat perpaduan juga semakin berkesan.

0 komentar :