Bahasa Jiwa Bangsa

Analogi Daun Gugur dan Pokok Sakit

07 August 2010


Analogi daun gugur dan pokok sakit

Oleh Ku Seman Ku Hussain

JALAN singkat untuk menghilangkan daun-daun yang gugur dari pokok yang sakit di sudut halaman ialah menyapu daun-daun itu. Tetapi ini tidak menyelesaikan masalah untuk jangka panjang kecuali merawat pokok itu supaya daunnya tidak gugur lagi.

Analogi pokok sakit dan daun ini sangat sesuai dengan kecenderungan kita mendepani krisis moral remaja hari ini.

Sesetengah daripada kita memilih jalan singkat yang kesannya segera iaitu menyapu daun yang gugur dan halaman kelihatan bersih seketika. Tetapi sebab utamanya kenapa pokok menjadi begitu jarang diambil peduli kerana kerjanya agak kompleks, menuntut kesabaran dan kesannya tidak dapat dilihat dengan kadar segera.

Krisis sosial golongan remaja ketika ini agak genting. Isu pembuangan bayi di merata-rata tempat yang sebahagian besarnya akibat pergaulan bebas. Ia seolah-olah menjadi perkara biasa. Menangani isu sosial seperti ini menuntut perancangan dan pendekatan yang betul untuk hasil jangka panjang.



Saya fikir Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memilih untuk menyapu daun yang gugur dan tidak merawat pokok yang sakit supaya daunnya tidak gugur lagi. Baru-baru ini, MIAM dan JAIM bersepakat untuk menangani gejala remaja hamil luar nikah dengan memberi kebenaran berkahwin sekalipun masih di bangku sekolah. Saya fikir ini hanya menyelesaikan gejala ‘anak luar nikah’ bukannya isu utama krisis sosial yang melanda golongan remaja.

Dalam peraturan baru, lelaki bawah umur 18 tahun dan perempuan bawah 16 tahun boleh berkahwin tetapi prosedurnya mesti melalui Mahkamah Syariah setelah mendapat persetujuan ibu bapa. Pada usia semuda ini sewajarnya mereka berada di sekolah. Memang benar, remaja yang ada masalah sosial tidak minat bersekolah tetapi adakah kita mengikut rentak mereka semata-mata mengurangkan kes pembuangan bayi?

Anak luar nikah atau pembuangan bayi di merata-rata tempat adalah hasil daripada krisis sosial yang berlaku dalam kalangan remaja. Itu adalah produk sosial yang sumbing. Maka yang perlu diatasi sekarang adalah krisis sosial. Ini kerana apabila krisis sosial dapat diatasi, remaja kembali bermoral, kewujudan anak luar nikah dapat dibendung. Tetapi memanglah untuk membanteras akar tunjang yang menyebabkan krisis sosial ini ada kesukaran yang tersendiri.

Saya sangat percaya bahawa mengahwinkan remaja yang masih bersekolah akan mencetuskan masalah sosial yang lebih teruk. Bayangkan apakah akan berlaku kepada pasangan remaja ini selepas berkahwin? Adakah mereka akan menjadi pasangan suami isteri yang bertanggungjawab pada usia yang sangat muda? Mereka yang terlibat dalam krisis moral disebabkan tidak bertanggungjawab.

Mereka tidak bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, bangsa dan agama. Adakah dalam masa yang sesingkat itu yakni selepas berkahwin, si suami boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik dengan kekangan kewangan, psikologi dan sebagainya? Masalah selepas berkahwin tanpa persediaan mental dan fizikal yang cukup akan menambahkan jumlah perkahwinan yang porak peranda.

Hasrat untuk mengurangkan pembuangan bayi luar nikah oleh MAIM dan JAIM memang baik. Tetapi kita kena realistik bahawa tidak semua hasrat yang baik akan memberikan hasil yang baik dalam erti kata sebenarnya. Biarlah semua perkahwinan itu berlaku selepas persiapan mental yang cukup, bukannya untuk mengelak anak luar nikah. Ini bermakna mereka yang berkahwin tergesa-gesa pada usia yang sangat muda tidak memikirkan perkahwinan itu sebagai sebuah institusi.

Kita juga harus ingat bahawa pasangan yang terperangkap dalam krisis sosial ini tidak semuanya memikirkan soal perkahwinan. Mereka tidak bersedia berkahwin, sebaliknya sekadar berseronok. Kalau dilonggarkan peraturan untuk berkahwin pada usia yang sangat muda, perkahwinan bukanlah matlamat mereka. Perkara yang tidak menjadi matlamat selalunya akan terabai. Saya fikir tentu ada pendekatan lain yang lebih ‘menyembuhkan’ bukan sekadar ‘melegakan’ untuk sementara waktu. Ingat, perkahwinan bukan sandiwara.

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa