Bahasa Jiwa Bangsa

Isu Pengguna: Inflasi Tinggi : Kesan Rantaian Kenaikan Harga Minyak

15 March 2011

Bahagian 1.

Zaman inflasi tinggi (I): Kesan rantaian kenaikan harga minyak

Zaman inflasi tinggi kian menjelang, apabila harga petrol dan tol dijangka melonjak, menjejaki langkah kenaikan harga gula dan roti. Pengumuman kerajaan pada awal tahun ini, bahawa sistem "dua harga petrol" akan dilaksanakan pada 1 Mei, ditambah pula beberapa lebuh raya yang akan dikaji semula harga tolnya pada Januari tahun ini, dijangka akan menambah beban rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pada 7 Januari, bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu mekanisme harga petrol untuk memastikan subsidinya hanya dinikmati mereka yang berpendapatan rendah, atau betul-betul memerlukannya.

Harga petrol pastinya naik

Mereka yang menikmati subsidi bahan api ini akan membeli minyak dengan harga selepas ditolak subsidi, sementara mereka yang tidak lagi layak untuk menikmati subsidi, perlu membayar mengikut harga pasaran tanpa subsidi.

Menurut Ismail Sabri Yaakob, subsidi kerajaan untuk petrol RON95 buat masa ini adalah 30 sen/liter, lantas menurunkan harga minyak ini kepada paras RM1.80/liter. Dengan kata lain, rakyat tempatan mahupun warga asing yang tidak layak menikmati subsidi, akan membeli petrol dengan harga RM2.10 atau lebih tinggi.

Walaupun golongan berpendapatan rendah masih terlindung dengan subsidi menurut Ismail Sabri Yaakob, namun arus inflasi dijangka tidak dapat terelak lagi. Jika ditinjau dari pengalaman lalu, setiap kali kenaikan harga minyak akan memberi tekanan dari segi inflasi kepada semua lapisan masyarakat.

Misalnya, apabila harga minyak antarabangsa melonjak kepada US Dollar 130 pada tahun 2008, kerajaan Malaysia telah menaikkan harga minyak dari RM1.92 kepada RM2.70, bersamaan 78 sen atau 40.6%. Lantaran itu, kadar inflasi yang berada di bawah paras 3% pada awal tahun, telah melonjak kepada 8.5% pada Julai.

Menurut maklumat dari Kementerian Kewangan, sewa rumah, bekalan air dan elektrik, gas semula jadi dan bahan api yang lain mencakupi nisbah 21.4% dalam Consumer Price Index (CPI).

Kesan Inflasi daripada kenaikan harga minyak

Pada hakikatnya, kesan yang paling besar terhadap inflasi bukannya datang dari harga minyak, tetapi kesan rantaiannya, khususnya dalam sektor pengangkutan dan makanan. Antaranya, kadar inflasi mencecah kemuncak 8.5% pada Julai 2008, disebabkan kos pengangkutan yang melonjak secara mendadak sebanyak 22%. Kos pengangkutan mencatat 15.9% dalam CPI, malah sektor pengangkutan mencecah 41% dalam kepenggunaan sumber tenaga negara. Pendek kata, naik turunnya harga minyak memberi kesan yang besar terhadap sektor pengangkutan.

Pada masa yang sama, produk komersial dan perkhidmatan dalam setiap lapisan ekonomi melibatkan pengangkutan, yang membawa kesan rantaian terhadap semua keperluan harian, termasuklah makanan, pakaian, sehinggalah barang kehendak seperti kereta, rumah dan sebagainya.

Jikalau ditambah makanan dan minuman bukan alkohol (31.4%), pengangkutan (15.9%), dan sewa rumah, bekalan air dan elektrik, bahan api yang lain (21.4%), kesemuanya mencatat jumlah 68.7% daripada CPI.

Ringkasnya, apabila harga minyak bertambah dari RM1.80 kepada RM2.10, kos tambahan yang ditanggung oleh rakyat bukan hanya 30 sen/liter, tetapi inflasi yang berlaku berikutan kesan rantaian kenaikan harga minyak.

Inflasi lebih tinggi daripada perangkaan rasmi

Pada hakikatnya, inflasi yang menimpa rakyat sebenarnya lebih tinggi daripada perangkaan rasmi yang diumumkan. Misalnya, perangkaan rasmi yang diumumkan pada Julai 2008 adalah 8.5%, setelah kenaikan harga minyak secara mendadak dari RM1.92 kepada RM2.70.

Namun demikian, perangkaan yang tidak rasmi menunjukkan kos pembekal bahan mentah melonjak 10-20%, malah harga makanan di warong melonjak dalam lingkungan 25-40%. Bahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menaikkan harga elektrik pada kadar 26%, tahun 2008 dengan alasan penambahan kos bahan api.

Ketika ditemuramah, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) menyatakan kenaikan harga minyak melambungkan kos pengangkutan, menjurus kepada kenaikan harga bahan mentah dan berakhir dengan kenaikan harga makanan. Oleh itu, peniaga warong terpaksa menaikkan harga.

Secara puratanya, rakyat Malaysia membelanjakan 40% pendapatannya untuk makanan. Kenaikan harga minyak telah menyebabkan mereka berbelanja lebih (lebih daripada 50%) untuk makanan. Antaranya, disebabkan ketidaksempurnaan sistem pengangkutan awam, penduduk bandar perlu bergantung kepada kereta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Hidup semakin menyempit apabila kebanyakan penduduk bandar makan di luar, secara langsung telah menjadi golongan yang paling merasai bahang inflasi. Seandainya dikira mengikut pendapatan RM2,500 sebulan, kenaikan harga minyak dari RM1.80 kepada RM2.10 akan melonjakkan perbelanjaan petrol golongan menengah ini sebanyak 17%; ditambah pula kenaikan harga makanan sebanyak 5-10%. Jelas, pilihannya makin kurang, dengan pendapatan yang terhad ini.

(Sumber: http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10562)

Bahagian 2.

Zaman inflasi tinggi (II): Tol dijangka naik lagi

Menurut laporan kajian Maybank investment bank, terdapat 10 lebuh raya dalam negara yang akan dikaji semula harga tol-nya pada Januari tahun ini. Menurut kontrak konsesi lebuh raya, lapan lebuh raya sepatutnya menaikkan harga pada tahun 2009, tetapi ditangguhkan selama setahun.

Menurut jadual waktu, kadar tol lapan lebuh raya berikut akan dikaji semula pada Januari tahun ini, iaitu NKVE, Federal Highway R2, Kajang Ring Road, SPRINT, NPE, Besraya, Penang Bridge dan Ampang Elevated.

Selain itu, dua lebuh raya yang ditangguhkan kenaikan tolnya pada tahun 2008 dan 2009, dengan pampasan oleh kerajaan, iaitu PLUS’ North South Expressway dan East Coast Expressway 1, juga dijangka akan dikaji semula kadar tolnya pada tahun ini.

Antaranya, PLUS’ North South Expressway yang dijangka menaikkan kadar tol sebanyak 10% pada tahun 2008, telah ditangguhkan selama dua tahun, dengan pampasan daripada kerajaan sebanyak RM375juta (telah dibayar RM278juta). Di samping itu, East Coast Expressway 1 juga dibenarkan menaikkan tol pada kadar 10% tahun 2009 menurut perjanjian, tetapi ditangguhkan buat setahun.

Menurut laporan kajian bank pelaburan tersebut, hasil kaji semula kadar tol sepatutnya dihabiskan pada Disember tahun lalu, dan dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet seterusnya. Oleh kerana kadar tol isu yang "sensitif", yang perlu dikendalikan kerajaan secara berhati-hati, maka hasilnya diramalkan akan diumumkan pada akhir Januari atau awal Februari, tahun ini.

Seandainya kerajaan menyerap "penambahan" kadar tol tersebut, maka kerajaan perlu mencari keseimbangan, antara kesan kenaikan tol kepada ekonomi secara keseluruhannya, dengan mengurangkan subsidi untuk meringankan tekanan defisit (perbelanjaan melebihi pendapatan).

Kenaikan tol ringankan beban kerajaan

Kerajaan persekutuan terpaksa mengemukakan pakej ransangan ekonomi sebanyak RM67 bilion untuk berdepan dengan krisis ekonomi global. Lantaran itu, defisit belanjawan negara kita melonjak ke 7.4%, paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun kebelakangan.

Kerajaan Najib telah menyatakan niatnya untuk menurunkan paras defisit kepada 5.6% dalam Belanjawan 2010, dengan keutamaannya untuk mengurangkan kos operasi dan subsidi. Penganalisis OSK Research meramalkan bahawa kerajaan akan memilih untuk menaikkan kadar tol, sebagai langkah mengurangkan defisit, berasaskan keputusan mengurangkan subsidi gula baru-baru ini.

Seorang lagi penganalisis menyetujui pandangan ini, menganggap kerajaan mungkin memilih "biar sakit sekaligus"-iaitu mengangguk kepada kenaikan harga tol, agar meringankan beban subsidi kerajaan dalam isu tol sewenang-wenangnya.

Sememangnya, kenaikan tol adalah satu dasar yang tidak popular dalam politik, terutamanya untuk parti pemerintah, Barisan Nasional. Kerajaan Persekutuan mungkin memilih untuk melanjutkan tempoh kontrak, sebagai syarat tidak menaikkan harga tol, atau membayar subsidi kepada syarikat konsesi, sebagai syarat mengekalkan keadaan asal, malah menurunkan kadar tol.

Bagaimanapun, syarikat konsesi akan terlindung di bawah perjanjian yang berat sebelah, walau apa pun keputusan. Syarikat konsesi kekal sebagai pihak yang mengaut untung bersih. Kerajaan persekutuan pula perlu berdepan dengan dilema, antara mengorbankan rakyat atau mengorbankan dirinya.

Seandainya kerajaan memilih untuk mengekalkan kadar tol dengan bayaran pampasan (daripada kerajaan), maka kerajaan perlu menanggung beban subsidi yang berat. Sekiranya diambil contoh PLUS’ North South Expressway, kerajaan telah membayar pampasan sejumlah RM2.8370 bilion, bersamaan puratanya RM1.4185 bilion setiap tiga tahun. Seandainya dikira berdasarkan skala ini, dari tahun 2010 hingga 2038 (tamatnya tempoh kontrak konsesi), kerajaan perlu membayar pampasan sekurang-kurangnya RM13.71217 bilion kepada PLUS.

Namun, seandainya kerajaan memilih untuk mengorbankan rakyat, memberi lampu hijau kepada kenaikan tol, maka akan menjurus kepada peningkatan kadar inflasi dan menghakis daya beli pengguna, dan mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat.

Perlu diingatkan, punca utama kenaikan kadar tol bukannya berasal dari peningkatan kos atau tekanan inflasi, sebaliknya berasaskan haknya untuk menaikkan kadar tol setiap tiga tahun, sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian. Syarikat konsesi tetap untung walaupun tidak dikira pampasan yang dibayar. Misalnya, untung selepas cukai syarikat PLUS pada tahun 2008 ialah RM1 bilion, setelah ditolak wang pampasan, masih meraih untung bersih sejumlah RM270 juta.

Pada hakikatnya, kewujudan perjanjian syarikat konsesi adalah salah satu punca inflasi. Kadar tol lebuh raya hanya mencakupi 0.86% dalam CPI (Consumer Price Index), yang menjadi kayu ukur inflasi. Seandainya dilihat dari angka, jelas kesan tol terhadap inflasi adalah lebih rendah berbanding makanan dan bahan api.

Namun, kenaikan kadar tol akan memberi kesan kepada kos pengangkutan, yang sememangnya akan membawa kesan rantaian. Peningkatan kos akan menimpa perkhidmatan penghantaran dan pengangkutan awam. Secara umumnya, pengusaha pengangkutan akan memindah kos tersebut kepada pengguna. Jadi, kita tetap gagal mengelakkan diri daripada kesannya walaupun bukan pengguna lebuh raya.

Rakyat yang baru melalui kenaikan harga gula dan roti kini berkemungkinan besar berdepan dengan kenaikan harga minyak dan kadar tol, malah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST, Goods and Services Tax) yang bakal diperkenalkan. Tekanan inflasi semakin memberat. Seandainya tiada jaring pengaman sosial (social safety net), atau pendapatan gagal mengejar rentak inflasi, maka rakyat mungkin terjerat dalam bingkai "working poor", meskipun survive dalam zaman inflasi tinggi ini.

(Sumber: http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10570)

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa