Santun Berbahasa

31 May 2015

Sumber: Mohd. Isa Abd. Razak

Tidak rugi jika kita menjadi pemimpin kepada sesuatu organisasi jika kita bertutur dengan santun kepada orang bawahan. Tidak luak sedikit pun pengaruh dan kepercayaan orang terhadap kita, jika kita berbahasa dengan santun, bak pepatah ‘ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya’. Apa guna jika kita menyumpah seranah, memaki-hamun, mengherdik seseorang kerana salahnya sedikit sahaja, atau belum tentu lagi salahnya? Sudah tentu kesannya dirasai oleh kedua-dua pihak yang terlibat.



Sumber: Sinar Harian [21 Mei 2015]

Santun Berbahasa itu Untung...

MOHAMMED HARON

PENULIS ada pengalaman mengiringi mantan Pengarah Pendidikan di sebuah negeri, melawat sebuah sekolah di pedalaman. Apabila sampai di pintu masuk sekolah beliau keluar dari kenderaannya kemudian bersalaman dengan pengawal keselamatan yang bertugas, lalu beliau menyapa “Apa khabar tuan?”. Pengawal keselamatan itu kelihatan  terkesima dan tidak menjawab pertanyaan tersebut, sebaliknya hanya mampu melemparkan senyuman. 

Penulis yang berada di belakang terdiam, senyum dan diserbu dengan pelbagai persoalan. Dalam hati kecil penulis, berasa takjub dan bangga kerana mempunyai seorang ‘ketua’ yang sangat baik perilakunya, memahami situasi dan sangat santun dalam berbahasa.

Panggilan ganti nama tuan untuk seorang pengawal keselamatan bunyinya agak janggal, namun terselit pengertian yang mendalam bahawa aspek kesantunan dalam berbahasa tidak merugikan sesiapa, malah untung berganda-ganda. Pengawal keselamatan itu akan membawa cerita tersebut sepanjang pengalaman hidupnya, lantas nama mantan Pengarah Pendidikan itu tetap mewangi.

Dalam situasi yang lain, contohnya pada perkhidmatan kaunter di pasar-pasar raya (kecil mahupun besar) kerap kali kedengaran apabila juruwang membahasakan pelanggan lelaki dengan panggilan pak cik, - “Pak cik ada duit kecil?”. Kita kadang-kadang terfikir mengapa pula lelaki yang masih muda dan segak begitu dipanggil pak cik?. Tidak pernahkah kita lihat bagaimana bangsa Barat menggunakan panggilan ‘sir’ untuk sesiapa sahaja bagi pelanggan mereka?.

Apabila dipanggil dengan panggilan pak cik terdetik dalam hati kita untuk bertanya balas juruwang itu, - “Bila pula saya kahwin dengan mak cik awak?”. Sebab itulah, seorang kawan saya memberitahu bahawa sejak beliau dipanggil dengan gelaran pak cik dia tidak berminat lagi mengunjungi pasar raya tersebut.

Siapa yang rugi? Alangkah manis dan santunnya jika pelanggan lelaki disapa dengan panggilan encik atau tuan, kita tidak akan rugi, malah untung bertambah-tambah kerana kunjungan pelanggan ada kaitan dengan kemanisan dan kesantunan sapaan tersebut.

Menurut Kamus Dewan (1984), santun bermaksud halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab atau sopan. Berbahasa dengan santun pula berkaitan menggunakan bahasa secara halus, nilai rasa yang baik, penuh kesopanan, berusaha menghindari konflik antara penutur dengan pendengar dalam proses berkomunikasi.

Awang Sariyan (2007) memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara.

Aspek kesantunan ini hendaklah selalu diamalkan melangkaui pelbagai bidang, dan  sudut komunikasi, agar menimbulkan kesan yang baik dalam perhubungan.

Hal ini perlu kerana bertepatan dengan budaya bangsa kita Malaysia yang terpuji dengan sifat lemah lembut dalam berbahasa dan bertutur kata. Aspek kesantunan berbahasa juga dituntut oleh semua agama di dunia, seperti yang muda berbahasa santun dengan yang tua, manakala yang di atas juga menyantuni yang di bawahnya.

Tidak rugi jika kita menjadi pemimpin kepada sesuatu organisasi jika kita bertutur dengan santun kepada orang bawahan. Tidak luak sedikit pun pengaruh dan kepercayaan orang terhadap kita, jika kita berbahasa dengan santun, bak pepatah ‘ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya’. Apa guna jika kita menyumpah seranah, memaki-hamun, mengherdik seseorang kerana salahnya sedikit sahaja, atau belum tentu lagi salahnya? Sudah tentu kesannya dirasai oleh kedua-dua pihak yang terlibat.

Akhir kalam, budayakan bahasa yang sopan, santun, baik dan benar sehingga tujuan komunikasi tercapai. Bahasa itu cerminan peribadi dan bangsa seseorang. Bahasa juga mewajarkan tingkat ketakwaan kita kepada ALLAH. Melalui penggunaan bahasa yang santun dan muluk orang akan mengenali siapa kita.

* Ruangan ini dikelolakan DBP Wilayah Timur

0 komentar :