Bahasa Jiwa Bangsa

Nasib Bahasa Melayu dari Kaca Mata Sasterawan Negara

14 October 2015

Sumber Gambar: Berita Harian


"Bahasa Melayu selalu dikambinghitamkan dan dijadikan mangsa kalau negara gagal melonjakkan ekonomi atau pendidikan" 




Ada Pihak Selalu Kambing Hitamkan Bahasa Melayu - Sasterawan Negara

Sasterawan Negara, Datuk Baharuddin Zainal mempersoalkan tindakan pihak-pihak tertentu yang sentiasa menyalahkan Bahasa Melayu apabila ekonomi dan pendidikan negara gagal berkembang.

"Bahasa Melayu selalu dikambinghitamkan dan dijadikan mangsa kalau negara gagal melonjakkan ekonomi atau pendidikan," katanya ketika merasmikan Malam Baca Puisi sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di laman Rumah PENA di sini, malam ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Baha Zain berkata kehebatan seseorang itu menguasai Bahasa Inggeris juga tidak boleh menjamin keperibadian yang cemerlang, bijaksana, berakhlak mulia atau kaya raya. Kepentingan pengajaran Bahasa Malaysia dalam mata pelajaran di sekolah perlu dipertahankan bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan sepanjang masa, katanya. 

Beliau berkata ramai tokoh korporat negara ini tidak terdidik di universiti yang menggunakan medium Bahasa Inggeris sepenuhnya namun mereka tetap berjaya. "Itulah kadang-kadang apabila bercakap tentang nilai pencapaian dan kejayaan ini, kita jangan berfikir simplistik," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Saleeh Rahamad berkata persatuan itu sentiasa memberi sokongan dan mengadakan pelbagai program bersempena Bulan Bahasa pada bulan ini yang bertemakan Bahasa Jiwa Bangsa.

"Kita merasa usaha berterusan itu perlu mengingatkan orang ramai bahawa Bahasa Melayu itu perlu dipertahan dan diperjuangkan, kalau tidak rempuhan daripada kuasa lain akan membunuh dan menjahanamkan Bahasa Melayu terutamanya dalam sistem pendidikan," katanya.

[Sumber Asal: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1178358 ]

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa