Bahasa Jiwa Bangsa

Mencorak Nilai dan Sikap Bangsa Melalui Sastera

30 January 2016


Sumber: http://safaloha.blogspot.my/
“Keindahan yang mencorak nilai dan sikap sesuatu bangsa dilafazkan melalui bahasanya sebagai alat untuk menyampaikan nilai dan sikap tersebut. Melalui karya sastera, bangsa kita mengenal makna dan amalan berakhlak dalam kalangan masyarakat.

“Sastera tidak pernah merangsang keganasan, keburukan, kelemahan semangat untuk mencapai kehidupan lebih baik. Sastera sering menjadi penggerak kepada kehidupan murni dan berakal budi dalam amalan kehidupan masyarakat berbudaya murni, bersih dan berjati diri serta berdisiplin.




----------
Prof Arbak Othman: ‘Mencorak nilai dan sikap bangsa’

NOOR AINULYAKIN ISHAK
17 JANUARI 2016


SASTERA adalah pendedahan hakikat diri dan penilaian tentang diri dalam masyarakat yang kukuh jati dirinya dalam karya sejak berzaman-zaman lamanya, iaitu sejak abad ke16 lagi.

Begitulah pandangan dilontarkan ikon sastera kali ini, Prof Arbak Othman mengenai sastera.

“Karya yang mendefinisikan bangsa penulis karya dan bahasa karya kesusasteraan melafazkan cara dan nilai hidup yang dibawa dari zaman ke zaman berlandaskan agama Islam yang dianuti oleh pengkarya Melayu sendiri.

“Karya sastera mendefinisikan kepercayaan bangsa dan gaya hidup bangsa yang dikongsi sejak berzaman-zaman lamanya. Oleh itu sastera adalah keindahan terhadap kehidupan sesuatu bangsa yang dilestarikan melalui bahasanya dalam penulisan,” katanya kepada Zass.

Sebagai pengamal sastera sejak berpuluh tahun juga, beliau memberitahu sastera punyai keindahan tersendiri.

“Keindahan yang mencorak nilai dan sikap sesuatu bangsa dilafazkan melalui bahasanya sebagai alat untuk menyampaikan nilai dan sikap tersebut. Melalui karya sastera, bangsa kita mengenal makna dan amalan berakhlak dalam kalangan masyarakat.

“Sastera tidak pernah merangsang keganasan, keburukan, kelemahan semangat untuk mencapai kehidupan lebih baik. Sastera sering menjadi penggerak kepada kehidupan murni dan berakal budi dalam amalan kehidupan masyarakat berbudaya murni, bersih dan berjati diri serta berdisiplin.

“Karya sastera merangsang pertimbangan adil dan mulia dalam cara ia seharusnya kelihatan dalam perilaku dan tindakan bermasyarakat, membuat keputusan menyenangkan orang lain, selain memelihara ketenteraman hidup dengan sifat murni dan beradab sopan.

“Sastera menentang kehidupan mengamalkan perbuatan rasuah dan gejala kepentingan diri yang merosakkan masyarakat, lalu sering menjadi asas kritikan dalam cerpen, puisi dan novel-novel yang ditulis oleh sasterawan serta penulis,” katanya.

Ikon kali ini yang sudah berusia 72 tahun dan sejak 1972 bergiat dalam dunia puisi menambah, perubahan tetap ada antara sastera dahulu dan sastera kini.

“Sastera hari ini lebih banyak memfokuskan kepada niat untuk memperbaiki keadaan semasa yang kurang sihat. Perbuatan yang tidak jujur sering dikias dalam karya-karya seperti puisi dan cerpen.

“Karya sastera hari ini nyata sekali tidak gemar mengungkapkan perjuangan nasionalisme (perjuangan terhadap bahasa dan bangsa) lagi seperti hebat diperjuang sastera Asas 50.

“Hal ini mungkin bersebab daripada kekecewaan penulis hari ini yang tidak melihat kejayaan bahasa Melayu mengatasi kejayaan bahasa Inggeris yang dijulang perjuangannya oleh anak dan bapa bangsa Melayu sendiri. Dalam sastera dahulu, perjuangan bahasa dan bangsa Melayu demikian perkasa dalam media cetak seperti akhbar dan majalah,” katanya.

Teruskan perjuangan

Bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia ini juga memberitahu, untuk meningkatkan lagi minat sastera di kalangan masyarakat, tidak cukup menerusi galakan semata-mata.

“Minat sastera harus dilangsungkan melalui dasar pendidikan negara, seperti melalui kurikulum yang mewajibkan pembelajaran mata pelajaran sastera sebagai mata pelajaran wajib dalam semua aliran.

“Jika tidak, bukan sahaja minat, keinginan untuk berjinak-jinak dengan karya sastera akan mati, kerana imbuhan dan motivasinya tidak kelihatan dalam kerjaya.

“Selain itu, jika sastera Melayu tidak diberikan tempat yang penting dalam kurikulum persekolahan kebangsaan, rangsangan untuk dimajukan dan dimodenkan tetap tidak lahir dalam diri anak bangsa,” katanya.

Sebagai asalnya orang bahasa, beliau berkata, sastera harus terus diperjuangkan melalui kegiatan persatuan penulis seperti yang dilakukan pada hari ini, selain melakukan penulisan yang tidak henti-henti selagi hayat di kandung badan.

“Walaupun nasib orang sastera tidak seperti nasib orang sains dalam sistem pendidikan, orang sains akan menjadi saintis yang berbudi, berakhlak dan berjati diri tinggi jika mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan dunia yang dibentuk oleh ilmu serta orang sastera.

“Orang sastera sangat selesa dan mesra dengan sesiapa sahaja, orang sains yang berminat dalam penulisan puisi, cerpen dan novel sangat disanjung tinggi kerana mereka telah membuka mata kepada golongan belum celik tentang pentingnya sastera dalam kehidupan manusia semaju mana pun,” katanya.

KARYA
- Antologi Puisi Peta Cinta
-Novel Dari Dilema ke Destini.
-Kamus komprehensif bahasa Melayu / Arbak Othman, Nik Safiah Karim:Fajar Bakti, 2005
-Kamus bahasa Melayu: Fajar bakti, 1999.
-Kamus pelajar baru (edisi KBSM) / disusun oleh Arbak Othman: Fajar Bakti, 1990.
-Imbuhan dalam bahasa Melayu: Fajar Bakti, 1989.
-Nahu bahasa Melayu: Fajar Bakti,1989.
-Belajar tatabahasa dan Bahasa Malaysia: Fajar Bakti, 1985.
- Mengajar Tatabahasa: DBP, 1985.
-Tatabahasa Bahasa Malaysia: Suatu Pembaharuan: Penerbitan Sarjana (M), 1984.
-Tatabahasa Bahasa Malaysia: Sarjana Enterprise, 1981

------------------
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/rencana/prof-arbak-othman-mencorak-nilai-dan-sikap-bangsa-1.473613

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa