Isu Alam Sekitar: Nuklear: Pengajaran Buat Malaysia II

20 April 2011

Sinaran radiasi tidak dapat dilihat dan tidak boleh ditarik balik. Dalam sesuatu krisis nuklear, akan ada banyak soalan yang timbul tentang
sinaran radiasi. Sepertimana yang sedang dialami rakyat Jepun sekarang, ianya merupakan satu mimpi ngeri untuk memahami ketidakpastian tersebut. Antara persoalannya ialah:

1. Bagaimanakah anda tahu bila anda dalam bahaya?

2. Berapa lama bahaya itu akan berterusan?




3. Bagaimana anda boleh mengurangkan bahaya kepada diri dan keluarga anda?

4. Apakah tahap pendedahan yang selamat?

5. Bagaimanakah anda mendapat akses kepada maklumat penting dalam tempoh yang singkat, untuk menghalang atau meminimakan
pendedahan?

6. Apa potensi risikonya terhadap kesihatan dan akibat daripada pendedahan tersebut?

7. Maklumat manakah yang anda boleh percaya?

8. Bagaimanakah anda membina semula satu cara hidup yang sihat selepas ditimpa malapetaka nuklear?

Soalan-soalan ini adalah sukar untuk dijawab, malah menjadi lebih menyulitkan lagi apabila kerajaan dan industri nuklear mengawal ketat maklumat, operasi teknologi, penyelidikan saintifik, dan pengajaran bio-perubatan yang membentuk respons terhadap kesihatan awam.

Transparensi dan kebertanggungjawaban

Transparensi dan kebertanggungjawaban tidak serasi dalam satu industri yang ketagih menapis maklumat. Ini menjelaskan mengapa tidak ada konsensus yang jelas mengenai akibatnya kepada kesihatan manusia di peringkat tempatan dan global di Fukushima.

NONE
Tidak ada ambang yang selamat untuk sinaran radiasi. Dakwaan
bahawa pendedahan pada tahap radiasi yang rendah tidak memberi risiko kepada kesihatan, adalah satu mitos, yang diwar-warkan oleh kerajaan dan industri nuklear.

Semasa perlumbaan senjata nuklear ketika Perang Dingin, hasil kajian saintifik mengenai risiko kesihatan akibat luruhan nuklear yang bercanggah dengan cerita rasmi, telah ditapis. Ahli sains yang berintegriti dihukum atau disenaraihitamkan.

Pada 1994, suruhanjaya penasihat Amerika mengenai ujian radiasi terhadap manusia, menyimpulkan bahawa tulisan mengenai radiasi dan kesihatan sewaktu Perang Dingin, dibersih dan diskripkan untuk menenangkan bantahan orang awam.

Dekad penapisan rasmi memperkukuh lagi mesej teras palsu: Manusia telah berevolusi dalam sebuah dunia di mana sinaran latar radiasi memang telah wujud dan ianya semula jadi, dan sebarang kesan buruk terhadap kesihatan kerana pendedahan radiasi, berlaku sekali-sekala dan kemalangan berlaku akibat pendedahan pada tahap yang tinggi.

Terdapat sumber-sumber data lain yang lebih konklusif yang membolehkan satu tafsiran yang berbeza dibuat mengenai bahaya kesihatan akibat malapetaka nuklear. Ini termasuk beberapa rekod yang deklasifikasi mengenai eksperimen radiasi manusia oleh AS dan Rusia, rekod suruhanjaya korban bom atom, penyelidikan jangka panjang mangsa Chernobyl yang terselamat, dan prosiding Tribunal Tuntutan Nuklear Marshall Islands.

Dari rekod-rekod tersebut, beberapa fakta penting telah muncul. Misalnya, luruhan nuklear dan pencemaran radioaktif di lautan dan daratan, akhirnya akan memasuki rantaian makanan dan badan manusia, dan oleh itu, mengakibatkan risiko kesihatan yang signifikan.

Pendedahan kronik kepada radiasi, mengakibatkan lebih daripada sekadar risiko kanser. Ia mengancam sistem imunasi, memburukkan keadaaan terdahulu, menjejaskan kesuburan, meningkatkan kadar kecacatan kelahiran, dan boleh menyebabkan terencat pembangunan fizikal dan mental.
-----

0 komentar :