Bahasa Jiwa Bangsa

Yakinlah Keupayaan Bahasa Melayu

07 August 2012

Sumber gambar: laman.dbp.gov.my
Jika anda mahu menggunakan bahasa anda sendiri, ada banyak perkara yang anda perlu lakukan. Jika mahu setanding dengan yang lain, anda perlu menerbitkan jurnal sains dan yang lain

Bahasa Bukan Penghalang Ekonomi 

Utusan Malaysia | 7 Ogos 2009 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Bahasa bukanlah halangan utama bagi Malaysia untuk mencapai ekonomi berlandaskan pengetahuan menjelang 2020 dan negara ini berada pada landasan yang betul ke arah mencapai status negara maju dalam kira-kira 10 tahun lagi. 

"Bahasa mungkin menjadi masalah tetapi ada cara untuk mengatasinya," kata wakil residen Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Kamal Malhotra di Putrajaya hari ini.

"Korea adalah contoh yang sangat baik tentang sebuah negara yang menggunakan bahasanya sendiri tetapi bagi teknologi tinggi, banyak jurnal sains dan yang lain telah diterjemahkan daripada bahasa Inggeris," katanya. 

Terdahulu, Malhotra menyampaikan ucapan pengenalan pada "Seminar Kandungan Pengetahuan dalam Sektor Ekonomi Utama di Malaysia Fasa II" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. 

"Anda perlu bina keseluruhan prasarana untuk menterjemah (sumber-sumber pengetahuan) ke dalam Bahasa Malaysia. Terjemahkan sumber-sumber pengetahuan terbaik, yang paling berkesan dari seluruh dunia," katanya. 

Beliau berkata sepanjang pengetahuannya, "ini tidak berlaku di Malaysia tetapi ini memang ada berlaku secara konsisten dalam tempoh yang panjang di Korea dan sudahpun berlaku dalam sejarah China dan Jepun". 

Pada seminar itu, hasil Kajian Kandungan Pengetahuan Fasa II menunjukkan bahawa kekangan kewangan dan kekurangan pekerja yang bertutur dalam bahasa Inggeris merupakan keterbatasan yang paling lumrah bagi menambah baik penggunaan kandungan pengetahuan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemahiran pekerja. 

Kajian itu dijalankan kerana Malaysia menetapkan wawasannya untuk menjadi ekonomi berlandaskan pengetahuan, justeru perlu dinilai kesediaan dan kemajuan pengetahuan negara ini dari semasa ke semasa pada peringkat industri. 

Kajian itu juga mendapati sektor pertanian paling berkemungkinan menunjukkan masalah-masalah yang disenaraikan manakala industri kelengkapan pengangkutan dan automotif berkemungkinan paling besar menunjukkan kekangan dalam bidang peningkatan ICT dan kemahiran. 

Fasa kedua penilaian kandungan pengetahuan adalah berdasarkan Kajian Kandungan Pengetahuan Fasa I, yang dijalankan pada 2007 di kalangan 2,433 firma dalam 21 industri. Kaji selidik itu dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Georgia Institute of Technology of America. 

Kajian fasa kedua menggunakan rangka kerja yang dimajukan dalam fasa pertama bagi menilai kemajuan tahap kandungan pengetahuan dan kekangan sektor ekonomi utama di Malaysia terhadap perkembangan ekonomi berlandaskan pengetahuan. 

"Jika anda mahu menggunakan bahasa anda sendiri, ada banyak perkara yang anda perlu lakukan. Jika mahu setanding dengan yang lain, anda perlu menerbitkan jurnal sains dan yang lain," tegas Malhotra. 

"Ini tidak bererti bahasa Inggeris tidak penting. Ia memang penting bagi komunikasi dalam dunia globalisasi tetapi ada isu-isu lain yang, barangkali, lebih penting," kata beliau. 

Seminar itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany, yang berkata, Malaysia sedang berada di landasan ke arah ekonomi berlandaskan pengetahuan menjelang 2020, tetapi ini bergantung kepada "azam politik'. 

"Bahasa Inggeris adalah komponen penting yang mencerminkan prestasi berhubung ekonomi berlandaskan pengetahuan dan keupayaan manusia. Jepun, China dan Korea menggunakan bahasa mereka sendiri untuk memacu ekonomi ke tahap negara maju," katanya. 

"Ini merupakan pendapat yang bercanggah. Yang satu menyatakan bahasa Inggeris menjadi masalah kerana pengetahuan diraih daripada bahasa itu, tetapi di sini bahasa Inggeris bukan masalah bagi pembangunan di negara ini," ujar beliau. - Bernama

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa