Tatabahasa: Ketaksaan ayat

17 February 2009

Muhammed Salehudin Aman (Munsyi Dewan DBP)
Sumber: Akhbar Sisipan Tutor


Sepotong ayat dapat menerbitkan beberapa maksud yang tertentu. Hal ini demikian bergantung pada lagu bahasa atau intonasi ayat itu diucapkan. Ayat yang dapat menghasilkan pelbagai maksud dikatakan ayat yang mempunyai unsur ketaksaan (ambiguity). Dengan kata lain, ketaksaan ditakrifkan sebagai sifat binaan atau konstruksi yang dapat diberi lebih daripada satu tafsiran. Telitilah ayat yang berikut:
1. Ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia.

Ayat ini mengandungi unsur ketaksaan kerana dapat diertikan sebagai ibu kepada bapa (iaitu nenek) Mustafa telah meninggal dunia, atau kedua-dua ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia. Untuk dapat mengenal pasti perbezaan erti ini, kita perlu, secara intuisi, menyedari kewujudan dua jenis binaan ayat yang berbeza. Kita begitu mudah memahami maksud yang terkandung dalam ayat ini jika diucapkan dengan lagu bahasa (intonasi) yang berbeza bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan.


Dalam ayat 1 di atas, jika kita meletakkan tekanan pada kata ibu, kemudian diikuti dengan jeda (hentian sebentar), pastilah ayat ini menyatakan bahawa ibu kepada bapa Mustafa (nenek Mustafa) telah meninggal dunia.

Sebaliknya, jika tiada tekanan pada perkataan ibu dan tanpa jeda dalam mengucapkan ayat tersebut, maka maksud yang terkandung menyatakan bahawa kedua-dua ibu bapa Mustafa yang meninggal dunia, bukan neneknya.

Jelas bahawa dalam ujaran, intonasi dan jeda memainkan peranan sebagai penentu kepada maksud yang didukung oleh sesuatu ayat. Dalam bentuk tulisan, hal ini dapat dijelaskan dengan penggunaan tanda baca untuk menentukan ketaksaan ayat berkenaan. Marilah kita teliti ketaksaan ayat-ayat yang berikut ini:
2. Orang itu dibunuh jangan dibebaskan.
3. Saya makan nasi ayam.
4. Beri saya rantai beruk.
5. Saya makan roti John di bawah pokok.

Ada dua maksud yang tersirat dalam ayat 2. Pertama, orang itu jangan dibunuh, tetapi hendaklah dibebaskan. Maksud yang pertama ini dapat ditentukan dengan membubuh tanda koma bertitik (;) selepas perkataan jangan, menghasilkan ayat pasif Orang itu jangan dibunuh; dibebaskan. Koma bertitik wajar diletakkan di situ sebagai pemisah klausa/ayat yang dimulai dengan kata hubung “tetapi”. Koma bertitik itu juga meletakkan jeda berada di situ. Ayat asalnya ialah Orang itu jangan dibunuh tetapi (orang itu) dibebaskan, dengan frasa nama kedua orang itu digugurkan dalam klausa/ayat kedua kerana frasa nama ini merupakan frasa nama yang sama dalam klausa/ayat yang pertama.

Maksud yang kedua ayat kedua ini ialah bahawa orang itu dibunuh, dan jangan dibebaskan. Maksud ini ditentukan apabila tanda baca dibubuhkan selepas perkataan dibunuh.
2. (a) Orang itu dibunuh; jangan dibebaskan. atau
2. (b) Orang itu dibunuh! Jangan dibebaskan.

Ayat 3 menunjukkan satu penyataan saya beri kepada seseorang, bagi menerangkan perbuatan saya, iaitu saya sedang makan nasi; dan nasi yang saya makan itu ialah nasi ayam. Tidak ada sebarang tanda baca atau tekanan dalam ayat tersebut. Ayat ini diucapkan secara bersahaja menurut lagu bahasa ayat penyata bahasa Melayu menurut tingkat nada 2-4-2-3 sebagai lambang turun naik nada suara. Kedudukan tingkat nada ini ditunjukkan seperti yang berikut:
2 4 2 3
Saya ma kan nasi a yam

Jika tingkat nada terhenti sebentar selepas kata nasi: Saya makan nasi, ayam!, maka maksudnya berlainan daripada maksud yang pertama. Kali ini saya memberitahu ayam (bukan lagi manusia yang bertanya) yang saya makan nasi. Perhatikan betapa luas jurang perbezaan makna oleh ketaksaan unsur ayat tersebut.

Ketaksaan ayat ketiga hampir sama dengan ayat yang kedua, iaitu seseorang meminta ia diberikan rantai beruk (rantai untuk mengikat beruk) untuk maksud yang pertama; dan maksud yang kedua pula menyatakan bahawa ia (seseorang) memberukkan orang yang diminta menyerahkan rantai kepadanya.

Ayat 4 juga membawa maksud yang berbeza. Ayat ini menyatakan bahawa saya makan roti John di bawah pokok. Roti John ialah nama sejenis roti yang sangat digemari oleh anak muda kini. Sebaliknya, Jika dalam ucapan berlaku hentian selepas perkataan roti, kemudian disambungkan ujaran dengan ayat John di bawah pokok, maka ayat 4 ini menghasilkan dua ayat yang berbeza ceritanya. Cerita pertama mengisahkan saya makan roti, dan roti itu ialah roti John; dan kisah yang kedua pula menyatakan John berada di bawah pokok.

Demikian wajah ayat yang mengandungi unsur ketaksaan, kerana satu pola ayat tidak semestinya mempunyai satu makna. Satu pola ayat yang sama dapat diertikan dengan lebih daripada satu pengertian. Jadi, untuk dapat mengenali perbezaan erti ini kita perlulah menyedari kewujudan dua erti yang terkandung dalam satu ayat yang sama itu. Hanya intuisi berbahasa kita yang dapat menentukannya.

Sumber: http://witra.blogspot.com/2009/02/tatabahasa-ketaksaan-ayat.html

0 komentar:

Catatan Baru

Perihal








Blog P&P Bahasa Melayu (Prauniversiti dan menengah atas) ini dibangunkan pada 8 Februari 2009.
Mudah-mudahan usaha kecil ini akan memberi manfaat kepada semua.

------------------------
Jika ada pertanyaan, sila e-mel kepada ukharis[at]gmail[dot][com] (tukarkan kepada bentuk yang sesuai. Ini untuk tujuan keselamatan) ~ Bukhari Shafie

Koleksi Soalan BM STPM


2009
Pahang [BM 1] [BM 2] [Skema BM 1] [Skema BM 2]
Perlis [BM 1] [BM 2] [Skema BM 1] [Skema BM 2]

2008
Perlis [BM 1][BM 2]
Sabah [BM 1]