Bahasa Jiwa Bangsa

Panggillah dengan panggilan yang sesuai

13 February 2009



Gunakanlah bentuk pemadan taraf yang sesuai. Apakah yang dikatakan pemadan taraf? Pemadan taraf itu adalah istilah yang diberi oleh Za’ba bagi memanggil orang. Contohnya, encik, tuan, cik, puan, saudara, pakcik, makcik, dan tuk.” Ini termasuk juga gelaran yang diberi kepada seseorang seperti Dato’. Tan Sri, Tun dan lain-lain.

Makna merendahkan diri

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan

Dalam menyapa orang kita lazimnya dipesan supaya merendahkan diri. Tetapi apa yang dilakukan bagi merendahkan diri ini?

Pertama, kita hendaklah merendahkan suara supaya tidak terlalu lantang. Suara yang terlalu lantang sehingga memeranjatkan orang atau nada yang ranggi, menyebabkan orang mempersepsi kita sebagai sombong.

Kedua, dan ini sangatlah penting. Gunakanlah bentuk pemadan taraf yang sesuai. Apakah yang dikatakan pemadan taraf? Pemadan taraf itu adalah istilah yang diberi oleh Za’ba bagi memanggil orang. Contohnya, encik, tuan, cik, puan, saudara, pakcik, makcik, dan tuk.” Ini termasuk juga gelaran yang diberi kepada seseorang seperti Dato’. Tan Sri, Tun dan lain-lain.

Apabila kita merendahkan diri, kita memanggil orang dengan pemadan taraf yang lebih tinggi daripada kita sendiri. Umpamanya, apabila kita pergi ke pejabat kerajaan atau swasta, maka sapalah orang yang kita lawan bercakap itu dengan panggilan yang lebih tinggi.

Sekiranya beliau itu seorang pegawai, maka panggilah beliau “Tuan” untuk lelaki, dan “Puan” untuk perempuan. Contohnya:

"Tuan Pengawai Daerah,”
"Puan Khalijah,” dan
"Encik Othman", dan lain-lain.

Sekiranya dia sudah bergelar Haji atau Datuk, maka panggillah mereka dengan pemadan taraf seperti:

“Tuan Haji ….”
“Datuk, …..”

Walaupun pegawai itu seorang muda, kita perlu memanggil beliau sebagai “Tuan” atau Encik.” Ataupun “Cik, Cik Puan” dan “Puan” untuk perempuan.

Dengan demikian kita telah merendahkan diri kita. Merendahkan diri dalam budaya Melayu itu adalah sangat dihormati dan dikehendaki.

Apabila kita memanggil seseorang pegawai misalnya dengan kata ganti nama diri “you” sahaja, kita telah menjatuhkan taraf sosialnya. Kita sudah meletakkan tarafnya sama paras dengan taraf kita. Ini adalah bersalahan dengan peradaban Melayu.

Bagaimana pula dengan panggilan “adik, abang, kakak, pakcik” dan “makcik?” Ini pun adalah suatu kesalahan berat. Orang akan memanggil kita sebagai kurang ajar.

Ini adalah kerana kita sudah merendahkan taraf mereka ke tahap kita sendiri, atau lebih rendah. Kita hanya menggunakan panggilan ini dalam kalangan keluarga sendiri.

Bukankah kita menggunakan bahasa mesra. Ya, justeru itulah. Kita tidak dibenarkan bermesra dengan orang yang tidak dikenali, atau orang yang bertaraf lebih tinggi daripada kita. Ini adalah kerana bermesra dengan orang atasan atau orang yang tidak kita kenali adalah biadab.

Cubalah gunakan panggilan “adik” kepada seorang perempuan muda yang jelita di hadapan suaminya! Nasib Tuan adalah baik sekiranya Tuan hanya menerima jelingan tajam. Begitu juga panggilan “mak cik” kepada seorang pegawai tinggi kerajaan atau swasta adalah sangat biadab.

Bukankah kita diminta bermesra! Ya, tetapi bukan dengan orang yang tidak dikenali. Dengan mereka kita perlu HORMAT.

Di Pejabat Tanah Bentong ada sebuah petua yang dipaparkan di dinding untuk semua pegawainya: Hormat itu bukan mengampu. Ini adalah sangat betul. sayangnya, petua itu sudah tidak kelihatan lagi sekarang.
.................

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa