Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan

07 December 2015

Kertas yang membincangkan tentang kedudukan dan peranan BM dalam konteks komunikasi perpaduan ini amat bermanfaat untuk dibaca. Artikel ini boleh diperoleh melalui UKM Journal Article Repository.

Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan: Kedudukan dan Peranannya dalam Konteks Komunikasi Perpaduan

Perkara 4(1) menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama persekutuan dan semua undang-undang yang diluluskan selepas merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu. Berpegang atas prinsip ini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diiktiraf dan berperanan dalam memupuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pemimpin terdahulu juga menyedari bahawa perlunya diwujudkan bahasa kebangsaan untuk menjadi bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum. Maka, hasil permuafakatan perlembagaan ini, telah diterima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang disentuh dalam Perkara 152. Dalam konteks masyarakat majmuk, kelihatan sukar untuk setiap etnik berkompromi dalam hal budaya dan agama kerana ia amat sensitif. Maka, hanya bahasa yang boleh dikompromi untuk dikongsi bersama iaitu bahasa Melayu sebagai alat penyatuan etnik di Malaysia. Justeru, artikel ini akan memperincikan lagi dan mengingatkan semula tentang kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan dengan merujuk kepada peruntukanperuntukan yang terdapat dalam perlembagaan dan kerelevanannya dalam memupuk perpaduan kebangsaan.
>> [Kertas kerja lengkap]

0 komentar :