![]() |
Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah |
Jika menganggap sastera Melayu sebagai lidah ibu, kini lidah ibu itulah yang hendak dikerat dan digunting. Jika pada masa hadapan bahasa Melayu itu dibunuh, orang yang membunuh bahasa itu adalah pemimpin Melayu dan orang Melayu sendiri
‘Jangan pinggir bahasa Melayu’
"JIKA menganggap sastera Melayu sebagai lidah ibu,
kini lidah ibu itulah yang hendak dikerat dan digunting. Jika pada masa hadapan
bahasa Melayu itu dibunuh, orang yang membunuh bahasa itu adalah pemimpin
Melayu dan orang Melayu sendiri," kata Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad
Kamal Abdullah.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Kemala, 74,
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan sastera Melayu dan
bahasa Melayu ketika ini di mana rata-rata pejuang sastera sepertinya turut
bimbang dengan keadaan bahasa ibunda negara ini.
Menurutnya, situasi pemimpin dan rakyat yang lebih
mendewa-dewakan bahasa lain terutama bahasa Inggeris sehingga mencampuradukkan
bahasa dalam sistem pendidikan penyebab bahasa Melayu semakin terpinggir.
"Sekarang ini jika sistem pendidikan kita bercampur
baur bahasa Melayu dan Inggeris, maka bahasa Inggeris pun tidak sempurna dan
bahasa Melayu pun lintang pukang, jadi habislah jati diri kita.
"Justeru, kenapa bahasa Melayu ini dijadikan ujian? Dua
tiga tahun tidak berjalan seperti dikehendaki, mereka berpatah semula. Hal
tersebut menyebabkan bahasa Melayu musnah.
"Sedangkan ramai profesor, golongan cerdik pandai lahir
dalam bahasa Melayu, mengapa ini boleh, mengapa kita nafikan perkara itu?
"Di negara seperti Jepun, China, Rusia, Belgium dan
Sepanyol sendiri, mereka masih mengekalkan pengajaran dalam sistem pendidikan
dalam bahasa ibunda mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di
Galeri Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Sasterawan Negara ke-11 ini tidak menafikan
kepentingan bahasa Inggeris untuk dikuasai.
"Ia masih penting, itu saya tidak nafikan. Namun
ajarkan sahaja dalam satu mata pelajaran seperti sebelum ini sehingga ia
berjaya dikuasai.
"Tidak perlu bahasa itu turut digunakan dalam subjek
Sains dan Matematik seperti yang mahu dilakukan sebelum ini. Dan sekali lagi
tahun depan akan adanya program Dwi Bahasa yang dilihat punyai matlamat sama
dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI).
"Saya antara tokoh sastera yang turut menurunkan
tandatangan bantahan ketika PPSMI dahulu," katanya.
Tegasnya juga, masyarakat Melayu negara ini dinasihatkan
agar tidak terus menerima sesuatu perubahan itu secara terus.
"Jangan ditelan bulat-bulat. Nanti bahasa Melayu bukan
sahaja menjadi bahasa nombor dua, tetapi bagi saya akan jadi nombor empat di
negara ini.
"Pertama bahasa Inggeris, kedua Mandarin, ketiga Tamil
dan bahasa Melayu jatuh ke tempat keempat. Walaupun kita ada kuasa untuk
mendaulatkan bahasa Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi
telah dipandang remeh.
"Sastera Melayu itu bersangkutan dengan bahasa Melayu,
jika diabaikan sehingga dipijak oleh bahasa lain, sama seperti kita membunuh
ibu kita sendiri, ia amat mendukacitakan," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nusantara Melayu Raya
Malaysia (Numera) berkata, segala kebimbangan dan cubaan untuk meminggirkan
bahasa Melayu boleh dihindari sekiranya pemimpin Melayu kita menjadi contoh
dalam mengembalikan sastera ini.
"Terutama dalam sistem pendidikan negara, ia perlu
diutamakan. Kemudian institusi kerajaan dan swasta perlu mempunyai pakar bahasa
sendiri dalam urusan surat menyurat yang betul dan bertugas memberi penghayatan
sastera kepada kakitangannya.
"Jika ia tidak dilakukan, apabila seseorang tokoh
sastera itu dinobatkan, ia akan tamat begitu sahaja tanpa diundang untuk
berkongsi mengenai sastera mereka dengan lebih mendalam di sesebuah institusi.
"Dengan adanya inisiatif tersebut, aspek seni, sastera
dan bahasa tidak mungkin akan dipinggirkan oleh masyarakat kita apabila mula
sebati dan diutamakan oleh setiap pihak seperti di negara lain," katanya.
Dalam Numera sendiri kata Datuk Kemala, mereka bukan sahaja
menghargai tokoh sastera, tetapi golongan muda juga diberi kesempatan mencipta
sastera baharu.
"Golongan muda bersyair dan bergurindam dengan ciptaan
sastera baharu yang dalam masa sama terus menghargai karya lama seperti Hikayat
Hang Tuah dan Sulalatus Salatin.
"Mereka turut menerapkan elemen agama dalam bidang
sastera kerana jiwa akan sempurna jika berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
"Secara tidak langsung, jati diri dan kewibawaan
sastera Melayu dapat dipertahankan oleh golongan sastera ini kerana mereka
sudah punyai roh menghayati sastera lama dengan pegangan agama yang
seiring," katanya.
Apa yang menyedihkannya, apabila bercakap mengenai Melayu
sahaja akan ada pihak mempertikaikannya dan mengatakan itu rasis.
"Masakan itu boleh jadi rasis. Sedangkan di Nusantara
ini, masyarakat Melayu dianggarkan terbesar iaitu 3 juta orang. Kita yang
sepatutnya menjadi tuan.
"Tetapi kita sedia dipijak-pijak oleh bangsa lain dan
lebih utamakan bahasa lain, itu sifat yang sungguh memalukan," katanya.
0 komentar :
Post a Comment