Tugasan: Cari punca asas masalah mat rempit

06 May 2009

Baca dan fahami rencana berikut. Kemudian senaraikan isi-isi penting. Hasil kerja akan dibincangkan dalam sesi pengajaran dan pemelajaran pada 13 April 2009.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Cari Punca Asas Masalah Mat Rempit

Sumber: Rencana Utusan Malaysia |6 Mei 2009|


PELBAGAI pihak telah menyuarakan kebimbangan dan kerisauan mereka mengenai isu mat rempit, peragut, perompak dan pelbagai aktiviti jenayah yang melibatkan remaja termasuk yang terjerumus ke dalam kancah perlumbaan haram.

Boleh dikatakan saban hari terdapat berita yang melaporkan orang awam menjadi mangsa kepada golongan penjenayah termasuk mat rempit.

Terdapat beberapa individu yang telah menulis kepada media menyatakan kemarahan mereka mengenai perkara tersebut, terutamanya mereka yang pernah menjadi mangsa kepada golongan remaja yang ganas tersebut.

Sungguhpun pihak polis telah meningkatkan operasi 'berbahaya' terhadap mat rempit - dengan beberapa anggotanya mendapat cedera - tetapi badan penguat kuasa ini dilihat belum lagi dapat menghentikan atau menghapuskan kegiatan tersebut.

Kebanyakan mat rempit adalah daripada kalangan remaja yang berumur di antara 15 ke 19 tahun. Soalan yang timbul ialah apakah yang terjadi terhadap bimbingan ibu bapa kepada remaja tersebut?

Kerajaan, terutamanya pihak Kabinet perlu mengambil langkah-langkah berpatutan dan berkesan untuk menangani dan menghentikan kegiatan negatif ini.

Pada pandangan saya, kita perlu mencari punca asas kepada masalah mat rempit ini. Adakah kerana mereka berasal daripada keluarga yang bermasalah dan tidak mendapat bimbingan daripada ibu bapa?

Atau mereka tidak ada tempat yang sesuai untuk beriadah daripada tekanan atau untuk melampiaskan tenaga mereka? Sekiranya benar, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan sukan atau rekreasi untuk kegunaan remaja dan anak-anak muda kita.

Kita memerlukan lebih banyak padang bola, gelanggang badminton dan bola keranjang, kemudahan sukan yang termampu oleh golongan remaja. Di bandar dan pekan kita perlu ada lebih banyak kemudahan bersukan dan beriadah.

Dalam hal ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan juga semua kerajaan negeri perlu memastikan pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan bersukan dan rekreasi yang mencukupi di bandar, pekan dan daerah.

Tujuannya untuk membantu membangunkan golongan remaja yang sihat tubuh badan dan mentalnya dan supaya mereka tidak menjadi mat rempit atau melakukan aktiviti yang negatif.

Kerajaan juga perlu menyemak semula semua peruntukan undang-undang yang relevan untuk memperkuatkan penguatkuasaan undang-undang dan membendung gejala mat rempit dan perlumbaan haram.

Di antara cadangan lain yang patut dipertimbangkan termasuklah mengklasifikasikan mat rempit yang melakukan kesalahan berulang sebagai 'remaja bermasalah' yang kemudiannya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney, di mana mereka akan diberikan kaunseling dan latihan kemahiran.

Kepada ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak yang masih di bawah jagaan mereka, mungkin terdapat alasan yang munasabah untuk mengenakan bon jaminan kepada ibu bapa tersebut terhadap perilaku anak-anak mereka.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF)


Bacaan tambahan:
i. Pendekatan Agama Tangani Mat Rempit

0 komentar :