Sumber: YADIM
-----
-----
MASALAH utama belia khususnya golongan remaja atau belia bermula dari pencarian jati diri. Mereka mengalami krisis identiti kerana untuk dikelompokkan ke dalam kelompok kanak-kanak, merasa sudah besar, namun kurang besar untuk dikelompokkan dalam kelompok dewasa. Hal ini merupakan masalah bagi setiap remaja dan belia di belahan dunia ini terutama di negara kita Malaysia.
Oleh kerana pergulatan masa remaja ini, maka remaja ataupun golongan belia mempunyai keperluan sosialisasi yang seoptima mungkin, serta diperlukan pengertian dan sokongan orang tua dan keluarga dalam menghadapi atau menjalani zaman remaja. Apabila keperluan remaja kurang diperhatikan, maka belia akan terjebak dalam perkembangan peribadi yang ‘lemah’, bahkan dengan mudah boleh terjerumus ke dalam belenggu penyalahgunaan dadah.
Hingga sekarang, penyalahgunaan dadah semakin luas di dalam masyarakat kita, terutama semakin banyak di kalangan para belia yang sifatnya ingin tahu dan ingin mencuba. Pelbagai alas an diberikan mengapa ramai yang terjerumus ke lembah terlarang dan berbahaya ini yang kemudian tidak mampu melepaskan diri lagi. Alasannya antara lain ialah perkara ini sudah dianggap sebagai suatu gaya hidup masa kini, dipujuk orang agar merasakan nikmatnya, ingin lari dari masalah yang ada, untuk merasakan kenikmatan sesaat, kebergantungan dan tidak ada keinginan untuk berhenti dan banyak lagi alasan lainnya.
Ada baiknya kita mengintip sedikit tentang dadah. Apa itu jenis-jenis dadah? Menurut pakar kesihatan, pada dasarnya dadah terbahagi kepada 4 kumpulan, iaitu:
1. Narkotik, terutama opiat atau candu.
2. Halusinogenik, contohnya ganja atau marijuana
3. Stimulan, contohnya ecstasy dan shabu-shabu
4. Depresan, contohnya ubat penenang.
Semua kumpulan mempunyai pengaruh tersendiri terhadap tubuh dan jiwa penggunanya. Opiat, yang menghasilkan heroin atau putauw menimbulkan perasaan seperti melayang dan perasaan enak atau seronok yang luar biasa, yang disebut euforia. Tetapi kebergantungannya sangat tinggi dan boleh menyebabkan kematian.
Marijuana atau ganja, yang termasuk dalam kumpulan halusinogenik, mengakibatkan timbulnya halusinasi sehingga pengguna kelihatan seronok berkhayal. Tetapi sekitar 40-60 perauts pengguna melaporkan berbagai-bagai kesan sampingan yang tidak menyenangkan, misalnya muntah, sakit kepala, otot berasa lemah, bingung, cemas, ingin bunuh diri, dan beberapa akibat lainnya.
Bahan yang tergolong dalam ‘dadah perangsang’ menimbulkan pengaruh yang bersifat merangsang sistem saraf pusat sehingga menimbulkan rangsangan secara fizikal dan psikologi. Ecstasy, contohnya, menyebabkan pengguna merasa terus bersemangat tinggi, selalu gembira, ingin bergerak terus, sampai tidak ingin tidur dan makan. Akibatnya hingga boleh menimbulkan kematian.
Sebaliknya, bahan yang tergolong dalam kumpulan depresan menimbulkan pengaruh yang bersifat menenangkan. Depresan atau yang biasa disebut ubat penenang, dibuat secara ilmiah di makmal. Berdasarkan indikasi yang benar, ubat ini banyak digunakan sesuai dengan arahan doktor. Dengan ubat ini, orang yang berasa gelisah atau cemas misalnya, boleh menjadi tenang. Tetapi bila ubat penenang digunakan tidak sesuai dengan indikasi dan arahan doktor, apalagi digunakan dalam dos yang berlebihan, akan menimbulkan akibat buruk lainnya.
AKIBAT PENYALAHGUNAAN DADAH
Pada dasarnya, akibat penyalahgunaan dadah boleh dibahagikan kepada akibat fizikal dan psikologi. Akibat yang terjadi tentu bergantung kepada jenis dadah yang digunakan, cara penggunaan, dan lama penggunaannya.
Beberapa akibat fizikal ialah kerosakan otak, gangguan hati, ginjal, paru-paru, dan penularan HIV/AIDS melalui penggunaan jarum suntikan bergantian. Sebagai contoh, sekitar 70 peratus pengguna dadah suntikan di China menghidap penyakit HIV/ AIDS.
Di Malaysia, sejak beberapa tahun terakhir ini jumlah kes HIV/AIDS yang menular melalui penggunaan jarum suntikan di kalangan pengguna dadah jelas meningkat. Akibat lain juga timbul sebagai komplikasi cara penggunaan dadah melalui suntikan, misalnya infeksi pembuluh darah dan penyumbatan pembuluh darah.
Di samping akibat tersebut di atas, terjadi juga pengaruh terhadap irama hidup yang menjadi kacau seperti tidur, makan, minum, mandi, dan kebersihan lainnya. Lebih lanjut, kekacauan irama hidup memudahkan timbulnya berbagai penyakit. Akibat psikologi yang mungkin terjadi ialah sikap yang apatis, euforia, depresi, kecurigaan atau kebimbangan tanpa, kehilangan kawalan perilaku, sehingga mengalami penyakit mental atau jiwa.
Akibat fizikal dan psikologi tersebut boleh menimbulkan akibat lebih jauh yang mungkin mengganggu hubungan sosial dengan orang lain. Bahkan acapkali pula merugikan orang lain. Sebagai contoh, pergaduan dan kemalangan jalan raya yang terjadi kerana pelaku tidak berada dalam keadaan normal, baik fizikal mahupun mental.
Penggunaan dadah boleh menimbulkan masalah kebergantungan. Kebergantungan terhadap dadah ternyata tidak mudah diatasi. Meski ramai belia yang berjuang untuk keluar dari kebergantungan terhadap dadah, namun acap kali gagal. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melancarkan program substitusi ubat dengan menggunakan metadon. Diharapkan dengan pemberian metadon ini penggunaan dadah suntikan dapat dikurangi atau dihentikan.
Penggunaan dadah suntikan amat berisiko menularkan penyakit Hepatitis C dan HIV. Kajian di RS Cipto Mangunkusumo, Indonesia mendapati bahawa angka kekerapan Hepatitis C di kalangan pengguna dadah suntikan mencapai 7%. Sedangkan kekerapan HIV pada pengguna dadah suntikan di Malaysia berkisar antara 60 – 90 peratus.
KEPENTINGAN SOKONGAN
Setelah beban fizikal pengguna dadah suntikan dapat diatasi, maka masih ada beban psikologi dan sosial. Beban psikologi dan sosial ini kadang-kadang amat berat sehingga boleh menyebabkan belia kembali menggunakan dadah suntikan. Oleh kerana itu, perlu diwujudkan lingkungan yang menyokong.
Di Malaysia terutamanya, lingkungan yang paling penting adalah keluarga. Kesediaan keluarga untuk menerima belia yang pernah menggunakan dadah suntikan merupakan sokongan yang amat berharga. Sebahagian belia dapat meneruskan pendidikannya dan memperoleh pekerjaan. Namun, sebahagian lagi tidak mungkin dapat meneruskan persekolahan dan harus menghadapi kenyataan bahawa mereka perlu berjuang untuk hidup dengan bekal pendidikan yang terbatas.
Hendaknya kita dapat meningkatkan berbagai potensi yang ada di tengah masyarakat. Kita perlu berganding tangan untuk mencegah belia menggunakan dadah. Adapun bagi belia yang telah menggunakannya, diperlukan layanan yang terpadu untuk membawa mereka kembali ke tengah masyarakat. Layanan tersebut rumit dan memerlukan usaha jangka panjang, tetapi semua usaha itu wajar kita laksanakan kerana masa depan negara, bangsa dan agama ada di tangan mereka.
0 komentar :
Post a Comment