Bahasa Jiwa Bangsa

Isu Pengguna: Harga Mahal Bagi Import Makanan

21 February 2011


Oleh Jamhariah Jaafar (jamhariah@bharian.com.my)
2011/02/21
-----

Malaysia tidak mampu kawal harga jika terus bergantung bahan mentah dari luar negara

KELUH kesah rakyat mengenai harga barangan semakin meningkat mendapat perhatian serius kerajaan. Apatah lagi rintihan itu sampai terus ke telinga pemimpin sehingga ia menjadi antara topik perbincangan mesyuarat Kabinet, minggu ini.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak, dipercayai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelemahan jentera kerajaan dalam membantu rakyat dari segi maklumat, pesanan berbelanja cara berhemah, pemantauan harga barangan serta penjelasan kukuh mengenai punca kenaikan harga.

Walaupun semua mata tertumpu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, setiap kali harga naik, perkara yang tidak begitu diketahui ramai bahawa banyak barangan terutama yang diimport berada di bawah bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Kenaikan harga barang bukan hanya melanda Malaysia tetapi ia berlaku di seluruh dunia. Malah penganalisis menjangka kenaikan yang berlaku sekarang tidak akan lagi mencatat penurunan kecuali kerajaan negara dunia mengurangkan kadar cukai seperti dilakukan Indonesia bulan lalu.

Indonesia mencatat kenaikan harga begitu serius sehingga harga cili turut melambung tinggi, membuatkan kadar inflasi republik itu berada pada kedudukan terburuk iaitu tujuh peratus bulan lalu. Keadaan itu membuatkan Kerajaan Indonesia menggantungkan duti import ke atas beberapa barangan utama, dengan tujuan untuk melegakan beban harga yang terpaksa ditanggung rakyat.

Kenaikan harga barang dunia tidak lagi disebabkan pasaran buruh atau duti import, sebaliknya membabitkan peningkatan permintaan global yang luar biasa sekali gus memberi kesan kepada kegunaan tenaga dan komoditi lain dalam pengeluaran sesuatu produk makanan.
Pada setengah tahun 2010 saja, harga makanan dunia melambung sehingga 32 peratus akibat bencana alam termasuk kemarau di Russia, Kazakhstan dan negara Eropah, di samping banjir di India, China dan Australia.

Seluruh negara dunia mencatat peningkatan kadar inflasi makanan kerana bukan saja pengeluaran tidak menentu akibat pelbagai bencana alam, bahkan permintaan menjadi luar biasa dan rakyat dunia tidak mempunyai pilihan kecuali membeli pada harga tinggi.

Keadaan menjadi lebih buruk dengan pengenalan bioteknologi, apabila permintaan terhadap bahan api etanol yang berasas sumber makanan seperti jagung dan tebu mengurangkan bekalan bahan mentah beberapa negara pengeluar dunia.

Peningkatan penduduk dunia pada kadar empat peratus setahun juga menjadi penyumbang utama kekurangan bekalan makanan, berikutan kapasiti pengeluaran makanan hanya bertambah satu hingga dua peratus setahun.

Senario membimbangkan membuatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) memberi amaran jika pengeluaran makanan utama gagal ditambah seimbang dengan permintaan dunia, kadar harga makanan boleh meningkat sehingga lebih 40 peratus dalam tempoh 10 tahun lagi.

Laporan Agricultural Outlook 2010-2019 menjangkakan:

Harga gandum boleh melonjak antara 15 dan 40 peratus; dan

Harga minyak sayuran dan susu pula lebih 40 peratus.

Kebimbangan terhadap ketidakcukupan makanan membuatkan beberapa negara pengeluar seperti Russia tidak lagi mengeksport gandum sejak Ogos 2010, manakala India melarang petani mengeksport bawang merah sejak Disember lalu.

Menurut laporan pakar ekonomi Credit Suisse, negara Asia turut menerima kesan serius peningkatan harga makanan dengan ramalan setiap negara (kecuali Jepun) boleh mencatat kenaikan sehingga 15 peratus menjelang pertengahan tahun ini.

Walaupun laporan itu menyebut, Malaysia adalah antara negara bakal mengalami impak minimum berbanding Hong Kong, China dan Indonesia, kenaikan harga global tetap akan mempengaruhi minda rakyat.

Penganalisis agensi berita AFP menulis: “Dari burger McDonald di Amerika Syarikat, sehingga kepada gula di Bolivia dan cili Indonesia, harga makanan seluruh dunia semakin melambung.

“Pengguna dan kerajaan patut bersedia menghadapi lonjakan harga lebih tinggi kerana ada pakar memberi amaran – permintaan semakin tinggi dalam kalangan penduduk negara sedang membangun akan memberi tekanan dalam tahun akan datang.”

Bencana lebih teruk akan menyusul cuaca buruk, permintaan luar biasa, rakyat dunia yang semakin cerewet dengan mutu makanan, kenaikan melampau harga komoditi lain akan memberi kesan dan tekanan semakin serius terhadap pengeluaran makanan dunia.

Malaysia tidak terkecuali daripada bencana ini, malah kesan kenaikan harga global mula dirasai. Walaupun kadar inflasi negara mencatat purata 1.7 peratus tetapi Indeks Harga Pengguna bagi Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol mencatat kadar lebih tinggi, dengan 1.2 peratus pada Januari, 2010, 3.1 peratus (Ogos) dan 2.8 peratus pada Disember.

Bagaimanapun, kadar ini masih terkawal kerana Malaysia adalah negara yang masih memberi subsidi kepada barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung untuk kegunaan am, LPG dan bahan api.

Kerisauan rakyat turut menjadi kebimbangan kerajaan. Pelbagai kempen dan usaha pengurangan harga dilaksanakan. Langkah mengadakan kawalan harga terutama makanan keperluan utama membuatkan kadar inflasi Malaysia masih di bawah kawalan. Perlu diingat, Malaysia adalah antara negara yang banyak bergantung kepada import makanan dan kerajaan tidak akan mampu untuk menyekat kenaikan harga yang berlaku di dunia.

0 komentar :


Bahasa Jiwa Bangsa