Sumber: YADIM
-----
-----
Krisis moral yang sedang berlaku dalam masyarakat menggusarkan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan mengharapkan ianya ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi kanak-kanak dilahirkan tanpa dicatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran mereka. Bencana ini bukan sahaja memalukan negara malah menyebabkan kanak-kanak terbabit menanggung aib apabila rakan-rakannya yang lain mengetahui dengan jelas bapa sedangkan mereka terkapai-kapai mencapai maklumat yang pasti.
Dalam jangka waktu lapan tahun (2000 hingga 2008) sudah ada sejumlah 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan sijil kelahiran tanpa nama ayah. Setiap tahun, kelahiran sedemikian semakin meningkat misalnya pada tahun 2007 terdapat sejumlah 16,100 telah meningkat kepada 16.541 setahun kemudian dan pada tahun lalu mencapai ke tahap 17,303. Jika mengambil kiraan purata, bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari atau 7 orang anak luar nikah dilahirkan bagi setiap dua jam.
Menurut baginda “nyatalah masalah anak luar nikah makin mengingkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tog sampah semakin menjadi-jadi. Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008.”
Krisis moral yang berlaku ini lebih parah lagi dalam masyarakat Islam apabila seramai 70,430 didaftarkan atas status tersebut antara tahun 1999 hingga 2003 berbanding Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395). Seharusnya perkara ini tidak melanda masyarakat Islam kerana kita dipagari dengan larangan yang jelas terhadap zina, iaitu melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Zina bukan sahaja menjadi krisis moral, malah turut mengakibatkan bencana sosial yang lebih besar. Islam melarang keras aksi tersebut malah hukuman yang berat telah ditetapkan ke atas pelaku zina sama ada ianya dilakukan oleh pasangan yang telah berkahwin atau tidak.
Perlakuan zina mempunyai kaitan yang jelas dengan pergaulan bebas dan ketiadaan kawalan sosial yang ketat. Fenomena ini berlaku setelah masyarakat mengalami perubahan kepentingan dan anjakan pemikiran apabila melihat kawalan sosial sama ada dalam bentuk teguran dan pencegahan sebagai suatu kongkongan atau kesibukan menjaga hal ehwal orang lain.
Tanpa kawalan ini juga memudahkan penggasiran nilai-nilai moral masyarakat atas alasan kebebasan. Kemunculan pelbagai bentuk media dalam suasana penuh persaingan telah menjadikan seks sebagai objek seni dan komersial. Kedua tujuan tersebut digabungjalinkan dengan menarik bagi tujuan melariskan jualan, kerana survivalnya amat bergantung kepada perolehan keuntungan.
Permulaan menggunakan media sebagai saluran komersial menyebabkan seks diekploitasikan dalam pelbagai bentuk dan ragam. Ada penerbitan yang khusus membicarakan seks tanpa tapisan atas alasan seks merupakan satu keperluan dan manusia sanggup berjuang hampir setengah mati untuk mendapatkannya. Bagi sesetengah orang, dengan memaparkan secara terbuka hal ehwal seks peribadi akan menjadikan ianya sebagai satu lambang yang penuh heroik, kerana tidak semua orang mampu meraihnya.
Atas desakan yang melonjak, menyanggah hukum moral adalah petanda sebuah perjuangan penuh heroik, maka telah lahir beberapa tokoh terkenal dalam eksploitasi seks sama ada sebagai penerbit majalah yang berjaya dan kaya raya, pelakon simbol seks, selebriti hebat diranjang, wanita paling seksi dan sebagainya. Ini terus menjadi sumber ilham kepada sesetengah orang sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai status tersebut, atau sekurang-kurangnya “mengambil bau”.
Bagi masyarakat barat, bersekedudukan bukan lagi menjadi kesalahan moral. Moral yang diperjuangkan oleh mereka ialah kebebasan dan persetujuan. Apa ada persetujuan, mereka bebas melakukan apa sahaja hatta berkongsi menjalani hidup bersama tanpa memikirkan ikatan perkahwinan yang sah. Hubungan seks bukan lagi terhad antara lelaki dan wanita, ia telah berkembang kepada sesama jenis atas prinsip kebebasan dan hak individu.
Fenomena itu semakin berkembang dan turut mempengaruhi masyarakat Malaysia oleh kerana batasan pemaparan media sudah semakin menipis. Meskipun kita mempunyai undang-undang yang membolehkan seseorang itu didakwa atas kesalahannya menyalahgunakan media dengan perbuatan jelek, ia sudah dianggap sebagai langkah pembetulan setelah kerosakan telah pun berlaku. Sebelum Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikuatkuasakan, Akta Penyiaran digunakan untuk meniliti kandungan media sebelum diluluskan siarannya.
Pertukaran regim undang-undang ini menyebabkan banyak pihak berpendapat, lakukan dulu, nilai kemudian telah menyumbang kepada meluasnya masalah sosial hingga ke tahap yang boleh menyebabkan bencana. Langkah pencegahan awal, nilai dahulu dan kemudian laksanakan telah berupaya membendung, kalaupun tidak mampu menghapuskan sepenuhnya kerana kerosakan moral yang diakibatkan olehnya mampu disekat lebih awal.
Hakikat itulah yang menjadi rasional kepada Islam melarang keras perbuatan yang diertikan sebagai salah laku dan menyimpang. Islam melarang keras pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim kerana ia memberikan ruang dan peluang aksi zina. Islam juga mengehadkan pendedahan mengenai hubungan seks, tidak boleh diperkatakan secara terbuka kerana ia boleh mempengaruhi emosi ingin tahu dan ingin mencuba kepada mereka yang mendengarnya, termasuk anak-anak remaja.
Dalam hal itu, Islam melarang anak-anak memasuki bilir tidur orang tuanya dengan bebas. Anak-anak perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu walaupun kedua ibu bapa tidak berada di dalamnya. Tetapi, dalam perubahan budaya semasa, pantang larang itu sudah semakin dilupakan. Malah ada kes ibu bapa sedang asyik menonton vcd lucah, anak tersembul di muka pintu. Ibu bapa menonton adegan bogel, anak masih boleh menontonnya sama walaupun dalam bilik yang berlainan sekiranya anak mempunyai sedikit kepintaran teknikal menyesuaikan gelombang siaran tv.
Ketika ini, pemaparan adegan lucah dan separuh bogel boleh diakses setiap masa melalui kecanggihan teknologi. Anak-anak boleh menyimpannya sama ada dalam kad memori yang boleh disembunyikan kerana saiznya semakin kecil. Setiap anak-anak boleh merakamkan adegan yang sama, sama ada aksi sendiri atau pun rakan-rakan dan berkongsi menontonnya melalui pindahan data dengan cepat dan mudah. Perlakuan inilah sebenarnya telah banyak menyumbang kepada perlakuan zina, malah ada bukti remaja seawal umur belasan tahun sudah mula melakukan seks pertama.
Sebenarnya kelucahan dalam media sudah lama bermula. Dari zaman teks klasik Hindu yang mendedahkan tentang selok belok melakukan hubungan kelamin, yang terkenal dengan Kamasutra, dalam masyarakat Melayu versi yang hampir sama telah diterbitkan dengan pelbagai tajuk dengan edisi bertulisan jawi dan kemudiannya dirumikan. Ia semacam menjadi satu kemestian bagi pasangan yang bakal dan baru berumah tangga, terutama dalam kelompok yang boleh membaca pada tahun 1970-an atau lebih awal. Tetapi, ketika itu pembacaannya menjadi lebih tersorok dan tidak secara terbuka.
Pada masa kini, orang membicarakan seks secara terbuka atas alasan kebebasan maklumat, kesihatan dan kegiatan riadah. Media seolah-olah tidak mahu ketinggalan untuk mengadakan ruangan soal jawab mengenainya, sama ada dikendalikan oleh seorang doktor perubatan ataupun tokoh agama. Kita boleh membacanya secara meluas, malah anak remaja pun sudah mengetahui beberapa istilah yang dahulunya menjadi taboo dalam masyarakat. Kini, bukan sahaja boleh disebut secara terbuka, malah boleh dibincangkan secara terbuka atas kepentingan pengetahuan.
Bagi membendung seks bebas dan pergaulan tanpa batas yang sedang berlaku dalam masyarakat, kita haris mengambil pendekatan berani dan penuh tegas. Pendekatan yang sudah menjadi kelaziman perlu kita ubah, kawalan sosial yang dianggap sebagai “penyibuk” perlu kita perkuatkan, ibu bapa hendaklah bertegas, manakala seluruh institusi penguatkuasaan dan sosial dilibatkan secara berkesan. Jika kita mahukan masyarakat kita kembali dengan imbangan moral dan nilai budaya yang kuat, tidak dapat dihancurkan oleh gelombang “budaya kuning” yang pernah kita geruni suatu ketika dahulu.
Kita perlu menghidupkan semula pendekatan amar makruf nahi munkar. Kita terjemahkans emula perlakuan dan aksi kita agar benar-benar menepati konsep tersebut. Kesilapan kita selama ini kita perbetulkan, kerana kitalah sebenarnya yang bertanggungjawab membimbing generasi masa kini yang bakal mengambil alih kita suatu hari nanti. Kita amalkan setiap apa yang dipertanggungjawabkan kepada kita dalam membina institusi keluarga.
Di dalam al-Quran, kita temukan tidak kurang 70 ayat yang berbicara mengenai kekeluargaan. Keluarga menjadi penting dalam pembentukan masyarakat dan seterusnya negara. Nilai-nilai moral menjadi pedoman dan landasan dalam setiap tingkah laku kita, kerana nilai-nilai itulah sebenarnya membezakan kita dengan lain-lain makhluk hidup, termasuk binatang. Nilai-nilai moral itulah juga menjadikan manusia sebagai kelompok makhluk hidup yang beragama.
Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku yang keji serta kotor termasuklah bahan-bahan pornografi. Bahkan, salah satu ciri-ciri orang yang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Mukmin ayat 5. Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin juga lebih penting daripada pengurusan hati.
Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah itu, manusia harus menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri dari daripada mendekati bahaya zina seperti pornografi sendiri. Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (Al-Isra’, ayat 32). Zina memberikan kesan yang sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu sendiri juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina itu. Dalam konteks zina, ajaran Islam menekankan unsur-unsur pencegahan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Al-Isra’: 32)
Kita wajib mendisiplinkan anak-anak dengan pendekatan perhubungan menolong. Anak remaja dilihat sebagai rakan dan bukannya dalam bentuk hubungan horizontal. Ketaatan anak akan menjadi lebih terarah apabila rasa hormat dan tautan kasih sayang dalam perhubungan disemai sepanjang masa. Jangan hanya bermusim, ibu bapa perlu mengubah perspektif keibubapaannya. Pendapat anak-anak perlu diambilkira, kerana dari situlah anak-anak merasakan dirinya turut dihargainya. Ibu bapa sebagai pembimbing dan bukan lagi berperanan sebagai penjaga.
Peranan penjaga penuh dengan larangan, maka kerana terlalu banyak larangan itulah anak-anak akan menjadi “malaikat apabila berada di rumah” tetapi bila berkesempatan berada di luar rumah, “berubah menjadi setan yang menggerunkan.”
Ingatlah pesanan Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)
Yusuf al-Qaradawi mengungkapkan sejumlah prasyarat untuk mengubah kemungkaran bersesuaian dengan hadis: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya…” dan seterusnya.
Kegilaan melihat gambar-gambar pronografi di internet merupakan tanda-tanda awal penyerapan ke arah penzinaan. Al-Quran dalam surah al-Isra’ ayat 32 menyebut tentang bahaya zina kerana ia satu perbuatan yang keji dan sesuatu yang buruk.
Akibat seks bebas memang besar dan buruk sekali. Zina boleh memungkinkan bencana sosial, termasuk kelahiran “anak haram”, dan pelbagai penyakit termasuk HIV/AIDS. Penyakit ini menular dengan cepat dan amat membimbangkan. UNAIDS dalam kajiannya pada tahun 2000, mendedahkan, jumlah penderita / pesakit AIDS sudah mencecah 34.3 juta pesakit.
Barangkali, secara keseluruhannya kita tidak mampu menyekat kebebasan internet, namun mahu tidak mahu kita harus mampu membebaskan diri kita daripada bahaya yang ‘ditawarkannya’.
- Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
0 komentar :
Post a Comment