Bahasa Jiwa Bangsa

“Gerko” Tiada dalam Kamus Dewan

09 March 2009

Sumber: Surat Pembaca Berita Harian |26 Februari 2009|
Artikel ini juga dipaparkan dalam blog penulis artikel ini di
(http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com)


MENURUT Kamus Dewan, kokurikulum ialah kurikulum yang sebahagian daripada kurikulum asas. Ungkapan kegiatan (aktiviti) kokurikulum pula dijelaskan sebagai kegiatan atau aktiviti, selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian kursus pendidikan pelajar di sekolah.

Pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an, ungkapan baru 'gerak kerja kokurikulum' mula digunakan di maktab perguruan. Akronim ungkapan itu ialah `gerko'. Ada satu lagi akronim digunakan di maktab perguruan, iaitu 'kokum'. Penggunaan akronim ini terbatas di beberapa maktab perguruan saja.

Sejak awal 1980-an, penggunaan perkataan gerko meluas. Perkataan itu tercatat dalam beberapa banyak dokumen bertulis di institut pendidikan guru (IPG). Misalnya, unit gerko, setiausaha gerko, dan sukatan pelajaran gerko.

Carian dengan Google baru-baru ini menunjukkan semua ungkapan ini tersebar di internet. Ungkapan 'unit gerko' mencatat kekerapan tertinggi, iaitu terdapat lebih 4,500 dokumen.

Dokumen terpenting yang menunjukkan luas dan mantapnya penggunaan perkataan gerko ialah sukatan pelajaran gerko. Dokumen kualiti `Pelaksanaan Gerko' dalam pengurusan sistem kualiti IPG pula mengukuhkan lagi penggunaan perkataan itu.

Selain itu, perkataan gerko tersebar luas di kalangan masyarakat melalui bahan bercetak terbitan IPG dan penerbit buku.

Rumusannya, perkataan gerko sudah wujud dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya sejak 30 tahun lalu. Penyebaran perkataan itu luas dan kekerapan penggunaannya tinggi.

Perkataan yang sudah lama wujud, luas penyebarannya dan tinggi kekerapan penggunaannya dapatlah dikatakan sudah mantap. Perkataan yang sebegini sepatutnya dapat dikesan dalam Kamus Dewan edisi terkini.

Namun, perkataan ini tidak ada dimasukkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Mengapakah perkara ini berlaku? Dewan Bahasa dan Pustaka mungkin ada jawapannya.

MOHD ISA ABD RAZAK,
Seremban,
Negeri Sembilan.


2 komentar :

Lumut Pagi said...

4,500 dokumen merupakan suatu kekerapan yang cukup tinggi. Maknanya juga, 'GERKO' terbit mungkin di 5 medium berbeza.Andainya itu yang terjadi, seharusnya sudah ada tercatat dalam KDE4. Mungkin di KDE5 agaknya cikgu..MUNGKIN..

Anonymous said...

Cik Lumut Pagi: Harap-harapnya begitulah.


Bahasa Jiwa Bangsa